Tuesday, April 24, 2012

Coffee+More kafe di lebuh raya


CHEF Abdullah (kanan) bersama petugas lain menunjukkan sebahagian daripada masakan yang disediakan di kafe Coffee+More di hentian R&R Seremban arah utara.


SEKIRANYA anda menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) apa kata singah sebentar di kafe Coffee+More yang terdapat di beberapa hentian rehat dan rawat (R&R) bagi menghilangkan penat-lelah selepas memandu jauh.

Selain menyediakan pelbagai jenis kopi yang mampu menyegarkan badan, anda juga boleh memilih pelbagai hidangan makanan istimewa yang mampu menambat selera.

Mula beroperasi sejak Oktober tahun lalu kafe yang diuruskan oleh SMTC Highway Mart Sdn. Bhd. itu boleh dikunjungi di hentian R&R Seremban arah utara dan selatan serta di R&R Tapah Arah selatan.

Pengurus Pembangunan Perniagaan SMTC Highway Mart, Zuhairi Alias berkata, antara hidangan yang menjadi tarikan di kafe berkenaan termasuklah beberapa jenis kopi istimewa selain pelbagai hidangan yang lazat.

Katanya, kafe ini menyediakan kopi jenis Arabica yang terdiri daripada gabungan biji kopi Brazilian Santos dan Papua New Guinea yang dipanggang khas.

“Ramai pelanggan kami memilih minuman kopi seperti cappuccino dan vanilla latte kerana ia mampu menyegarkan badan yang penat dan mengantuk selepas perjalanan yang jauh.

“Sekiranya anda lapar, kami juga mempunyai beberapa hidangan lazat seperti nasi ayam toot-toot, good old mi rebus dan juga rojak pasembor,” katanya.

Air kesihatan buah tunjuk langit

Menurut Zuhairi, nasi ayam toot-toot merupakan hidangan istimewa dari Thailand dihasilkan oleh Chef Abdullah Mamat yang berpengalaman selama 35 tahun sebagai ketua tukang masak di beberapa hotel terkenal di negara ini dan Thailand.


KAFE yang bersih dan lengkap dengan WiFi memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya Plus.


“Antara keistimewaan hidangan ini adalah ia dihasilkan daripada pelbagai rempah asli untuk menghasilkan rasa dan aroma yang sungguh berbeza.

“Selain itu pelanggan juga boleh mencuba minuman kesihatan power fruit chillers yang diperbuat daripada buah tunjuk langit,” jelasnya.

Ujar Zuhairi, buah tunjuk langit sukar dimakan atau diminum kerana rasanya yang pahit, tetapi mereka berjaya menghasilkan minuman daripada buah itu dengan rasa yang manis.

“Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya buah ini mengandungi pelbagai khasiat seperti mengembalikan tenaga, membantu pertumbuhan sel tisu dan bertindak sebagai agen kecantikan serta antipenuaan.

“Walaupun rasa minuman ini agak manis, tetapi ia sesuai untuk mereka yang menghidap penyakit kencing manis kerana kami menggunakan gula semula jadi,” katanya.

Tambah Zuhairi, pihaknya sangat mementingkan keselesaan para pengunjung dan atas sebab itu Coffee+More dengan susun atur dan warna yang ceria.

“Kita sedia maklum pelanggan kami adalah pengguna lebuh raya Plus dan ramai antara mereka berhenti untuk berehat sebentar selepas penat memandu.

“Di Coffee+More mereka boleh berehat dengan suasana yang nyaman selain layanan mesra daripada petugas-petugas kami.

“Setiap kafe kami mampu memuatkan sehingga 60 orang pelanggan pada sesuatu masa, malah lengkap dengan kemudahan WiFi secara percuma,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: