CAMERON dipasangkan dengan bekas kekasihnya, Morrison dalam filem komedi romantik ini.
DIA menjadi ibu untuk kali pertama dalam kemunculan filem terbaru, What To Expect When You’re Expecting.
Perkembangan itu pula nampaknya besar kemungkinan akan berlaku di alam nyata apabila Cameron Diaz dilaporkan bersedia menjadi ibu sebenar.
Aktres berusia 39 tahun itu membayangkan dia akan mula berkeluarga tidak lama lagi walaupun setakat ini namanya tersenarai sebagai selebriti Hollywood yang tidak pernah melahirkan zuriat.
Ditemui majalay InStyle, Cameron berkata, masyarakat meletakkan tekanan tertentu ke atas wanita bagi mendesak golongan terbabit bertindak mengikut corak tertentu.
“Saya tak pernah kata tidak mahu anak.
“Saya cuma belum ada anak sendiri, tetapi tiada sesiapa tahu apa yang akan berlaku dalam hidup saya,” katanya.
Sebelum ini, Cameron pernah keluar dengan sejumlah nama besar dalam industri hiburan Hollywood, termasuk aktor Matt Dillon dan Jared Leto, penyanyi Justin Timberlake serta bintang sukan sofbol dari New York Yankees Alex Rodriguez.
Pun begitu, Cameron berkata, dia seakan-akan tidak percaya seleranya terhadap pasangan lelaki begitu rencam.
“Saya tak pernah menyangka akan menamatkan hubungan dengan semua lelaki yang menjadi pacar, tetapi perpisahan itu berlaku juga akhirnya,” katanya.
Pernah membintangi filem The Mask, Cameron memang mencatatkan banyak kisah cinta gagal, selain tidak pernah berkahwin.
Katanya, dia masih yakin kepada cinta walaupun mengakui hatinya sering terluka apabila hubungan yang dibina tidak berakhir seperti diharapkan.
“Saya rela dikecewakan beribu kali daripada tidak dapat bercinta langsung,” katanya.
Menurut Cameron, dia mempunyai begitu banyak cinta untuk diberikan kepada lelaki yang sesuai.
Dalam filem terbarunya, peminat dapat melihat bagaimana keadaan Cameron hamil kerana selama ini, dia tidak pernah begitu.
Dalam What to Expect When You’re Expecting, Cameron dapat dilihat memeluk bayi yang baru dilahirkannya.
Beberapa pemerhati berkata, peranan itu memang sangat sesuai dengan Cameron.
Dia membawa watak Jules - seorang wanita yang bercita-cita mahu menjadi penyanyi dan hos program menghilangkan berat badan.
Barangkali Cameron memang seorang aktres yang benar-benar hebat.
Justeru, dalam filem berkenaan - yang turut memaparkan wajahnya tanpa mekap - ada adegan yang begitu meyakinkan dibawa Cameron.
Dengan rambut perangnya diikat ke belakang, wajah keibuannya terserlah ketika memandang bayi yang baru dilahirkannya, manakala si bapa begitu teruja melihatnya.
Ironisnya, watak bapa kepada bayi dalam filem berkenaan dibawa aktor serba boleh, Matthew Morrison, yang pernah dikaitkan sebagai kekasih Cameron satu ketika dulu.
Melalui klip promosi filem berkenaan, Morrison, 33, memberikan ciuman penuh kasih sayang ketika meraikan kedatangan anak mereka.
Pada 2009, Cameron kelihatan langsung tidak berminat untuk membesarkan anak apabila dipetik sebagai berkata: “Saya fikir wanita takut untuk mengatakan bahawa mereka tidak mahu anak kerana mereka akan dipulaukan.”
Kata Cameron, dia mengenali ramai rakan wanita yang enggan membesarkan anak berbanding kelompok yang mahukan anak.
“Mahu tahu sejujurnya? Kita tak perlukan lebih ramai anak kerana manusia yang ada di dunia ini sudah cukup ramai,” katanya.
Filem terbaru Cameron itu menceritakan kehidupan lima pasangan yang bersedia menjadi ibu bapa.
Selain Cameron dan Morrison, filem komedi romantik itu turut dibintangi ramai pelakon handalan, seperti Jennifer Lopez, Chris Rock, Chace Crawford dan Dennis Quaid.
Jennifer membawa watak Holly, seorang wanita yang mahu mengambil anak angkat bersama pasangannya, Alex (lakonan Rodrigo Santoro).
Bintang Gossip Girl, Chace Crawford, diberikan watak pemilik kedai makan bergerak, Marco, yang bertemu semula selepas terpisah sejak sekian lama.
Pasangannya dalam filem itu dibawa bintang Twilight, Anna Kendrick (sebagai Rosie).
Model majalah Sports Illustrated, Brooklyn Decker, membawa watak wanita hamil hasil hubungannya dengan “lelaki jauh lebih tua” bernama Ramsey (dilakonkan Dennis Quaid).
Penyanyi pop Britain, Cheryl Cole, membuat kemunculan istimewa sebagai dirinya sendiri bagi menghakimi pertandingan tarian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: