KUALA LUMPUR: Penyanyi popular tahun 1980-an Datuk Shake membuat keputusan untuk berada di negara ini selama setahun dengan alasan untuk mengubati kerinduan terhadap pada peminatnya.
Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh berkata sudah tiba masanya untuk dia bergiat aktif di industri muzik tempatan dan sedang merangka beberapa perancangan sehingga hujung tahun ini.
"Sebenarnya sejak dulu lagi saya merancang untuk menetap lama di Malaysia dengan mengadakan beberapa persembahan dan promosi televisyen.
"Tetapi kerana jadual nyanyian yang terlalu padat di Perancis, membuatkan keinginan itu ditolak seketika dan akhirnya inilah masa yang sesuai untuk mengubat hati para peminat.
"Pada masa sama saya ingin menarik perhatian golongan muda dengan lagu-lagu lama saya serta karya baru," katanya yang ditemui pada sidang akhbar Minggu Setiausaha From Paris With Love di Hotel Seri Pasifik, di sini, Isnin.
Tambah Shake dia sedang merancang untuk mengadakan sebuah konsert jelajah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti di beberapa buah lokasi dalam negara.
"Terlalu banyak perkara yang ingin saya lakukan demi 'memujuk' hati peminat-peminat yang merajuk kerana kurang membuat persembahan di sini.
"Insya-Allah, saya sememangnya mahu mengadakan konsert jelajah pada tahun ini. Mungkin selepas Aidilfitri ini," ujarnya.
Sementara itu, Shake juga akan mengadakan persembahan khas buat para setiausaha serta peminat sempena minggu setiausaha yang disambut sepanjang April berkonsepkan From Paris With Love di Hotel Equatorial, Pulau Pinang.
Ia akan diadakan pada 21 April depan.
Di bawah anjuran Persatuan Setiausaha Universiti Utara Malaysia (UUM), penyanyi kelahiran Johor ini akan mengadakan persembahan selama satu jam 20 minit bersama-sama dengan dua penyanyi undangan iaitu Tomok dan Idayu.
"Pada persembahan nanti saya akan membawakan lagu-lagu popular untuk diperdengarkan.
"Selain itu saya juga akan membuat beberapa kejutan seperti imej pakaian saya yang akan menarik perhatian ramai.
"Tak sabar rasanya mahu mengadakan persembahan pada minggu setiausaha ini kerana hanya Malaysia sahaja yang ada satu majlis khas buat orang yang bekerjaya itu dan ini merupakan kali pertama saya menghiburkan mereka," tuturnya.
Tiket dijual dengan harga RM250 seorang dan RM2,500 semeja (bagi 10 orang) dan tempahan boleh dibuat dengan menghubungi urus setia di talian 04-9283001/3021/3201.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: