Datuk Shake bawa elemen Perancis dalam persembahan

Sekian lama berhijrah ke luar negara tidak menyebabkan penyanyi bertaraf antarabangsa, Datuk Shake lupa kepada tanah air sendiri. Buktinya, penyanyi ini sanggup terbang dari Perancis bagi mengadakan persembahan eksklusif di Malaysia untuk mengubati rindu peminat kepada suara emas milik bapa kepada empat anak ini.

Malah, pemilik nama sebenar Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh ini juga berhasrat mahu terus berada di Malaysia sehingga hujung tahun ini bagi kembali aktif memperjuangkan muziknya dalam industri muzik tempatan.

Kunjungan Shake ke Malaysia kali ini, bukan bersifat sementara seperti tahun-tahun yang lalu yang hanya datang mengadakan persembahan sahaja. Sebaliknya, suami kepada Melina ini sedang merangka beberapa perancangan untuk mengadakan banyak lagi persembahan di sini.

Terbaru, beliau baru sahaja menghiburkan peminat sempena sambutan Minggu Setiausaha A Serenade In The Sky with Datuk Shake yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur (Menara KL) bertemakan Perancis, Ooh La La!, Rabu lalu.

Berkat pengalaman mengadakan persembahan selama bertahun-tahun yang ditimba di negara orang nyata ‘menonjolkan’ kehebatan penyanyi ini menyampaikan lagu dalam tiga bahasa.

Berselang seli menyanyikan lagu Melayu, Inggeris dan Perancis, Shake nyata tidak ‘kalah’ dalam berkomunikasi bersama peminat biarpun kelihatan sedikit janggal untuk menuturkan sepenuhnya ayat dalam bahasa Melayu.

Akui berdepan dengan sedikit kesukaran menyanyikan kembali lagu-lagu Melayu, Shake bagaimanapun sanggup ‘belajar’ balik bagi mengingati patah perkataan setiap baris lagunya.

“Sebelum mengadakan persembahan, saya lakukan latihan menyanyi kembali lagu-lagu Melayu dalam album saya sebelum ini. Bukannya apa, kadangkala saya ada ‘tergelincir’ mengingati sebutan setiap patah perkataan dalam lagu.

“Tambahan pula, ini merupakan kali pertama saya menyanyikan lagu, Kau Bungaku dalam persembahan kerana ada permintaan untuk menyanyikan lagu itu,” katanya yang fasih berbahasa Perancis.


Sebak sampaikan lagu Umi

Setiap kali mengadakan persembahan istimewa di Malaysia, pastinya lagu wajib pilihan peminat adalah lagu Umi.

Biarpun berulang kali menyanyikan lagu itu, namun tatkala mendendangkannya di Menara KL, beliau kelihatan sebak.

Sewaktu ditanya mengenai hal itu, Shake mengakui sedikit emosional semasa menyampaikan lagu itu kerana memberi sepenuh perasaan untuk menghayati bait-bait pada lagu tersebut.

“Ya, saya tersentuh. Siapa tidak sedih jika emak sudah tiada. Tambahan pula, saya rasa pengalaman menyanyikan lagu sambil memahami lirik pada usia sebegini adalah berbeza.

“Jika pada usia muda pemahaman untuk menyanyi dan memahami lirik lain daripada pemahaman dan nyanyian di usia sekarang ini yang nyata lebih mendalam berdasarkan pengalaman kita timba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Datuk Zuraidah Mohd Said berkata, pihaknya gembira melihat sambutan menggalakkan yang diterima.

“Ini adalah kali kedua Datuk Shake mengadakan persembahan di Menara KL setelah 11 tahun tidak beraksi di sini. Berdasarkan imej dan reputasinya yang berjaya mencipta nama di luar negara, tidak hairanlah mengapa ramai peminat masih lagi mahu melihat persembahan Datuk Shake secara langsung,” katanya.

Antara lagu yang dinyanyikan Shake adalah seperti Kita Bertemu Lagi, Ku Masih Menanti, Lina, Pulanglah, Umi, Anugerah Dari Kegagalan, Kau Bungaku dan lagu Perancis, Rien N’est Plus Beau Que L’amour (Nothing Is More Beautiful Than Love). Selain dihiburkan dengan nyanyian, penonton turut terhibur dengan celoteh Didie Alias sebagai pengacara majlis.

Dalam perkembangan lain, penyanyi ini bakal mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha di Hotel Equatorial Pulau Pinang, hari ini.

Menurut Shake, beliau gembira mendengar sambutan hangat penduduk Pulau Pinang mengenai kedatangannya menjayakan persembahan di sana.

“Alhamdulillah, penganjur beritahu saya 1,000 tiket di Pulau Pinang habis dijual. Saya tidak sabar ke sana bagi menghiburkan peminat saya,” katanya yang akan membawa tema, From Paris With Love.