Tuesday, April 3, 2012

Boleh berjaya jika buang sifat malas

MANFAAT...gunakan tempoh pengajian untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar dan jangan terjebak dengan aktiviti yang boleh menggugat penumpuan. - Gambar hiasan.
MANFAAT...gunakan tempoh pengajian untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar dan jangan terjebak dengan aktiviti yang boleh menggugat penumpuan. - Gambar hiasan.

KETIKA terpilih menjadi warga institusi pengajian tinggi (IPT), pastinya tersemat azam dan semangat menggunung untuk mengapai kecemerlangan.

Malangnya, belum pun berakhir sesi pengajian, ada yang ‘tersungkur’ atau hanya mampu mendapat keputusan cukup makan.

  • Foto

    TUMPUKAN PERHATIAN...belajar tidak boleh dilakukan secara lewa kerana akan menjejaskan tumpuan sekali gus memberi kesan terhadap keputusan peperiksaan. - Gambar hiasan.

  • Foto

    LEBIH BAIK...daripada membuang masa, lebih baik menghabiskan masa dengan mentelaah dan memperbaiki keputusan sedia ada.

  • Foto

    SALING MENCARI...sama ada graduan atau tidak, ramai kini sedang bergelut untuk mencari pekerjaan.

  • Foto

    TERCAPAI...alangkah gembiranya apabila usaha bersungguh-sungguh akhirnya berjaya memberi keputusan cemerlang sekali gus berupaya menawan hati majikan.- Gambar hiasan.

Membimbangkan lagi, mereka bersikap acuh tidak acuh seperti tidak kisah dengan keputusan nyawa-nyawa ikan itu dan menganggapnya budaya normal.

Malah, ada berfikiran dangkal mendakwa nilai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) bukan jaminan mendapat pekerjaan dan hanya menjadi pra syarat industri menilai kelayakan gaji.


Persoalannya, sejauh manakah budaya dan fikiran dangkal ini membelenggu fikiran mahasiswa.Benarkah CGPA bukan lagi sandaran utama pemilihan majikan dalam menawarkan pekerjaan?


Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Azni Zain Ahmed, berkata mahasiswa yang menganggap budaya cukup makan sebagai normal hanya menggadaikan masa depan dengan sia-sia.

Beliau berkata, budaya itu perlu dikikis kerana hanya menjadikan golongan terbabit mudah berpuas hati dan tidak sanggup berusaha.

“Ini memberi persepsi salah tiada bezanya nilai pencapaian antara seorang mahasiswa dengan yang lain.

“Sepatutnya zaman ini semuanya berorentasikan persaingan dan kesusahan. Jika terleka dan terlalai, orang lain dengan mudah memperoleh atau mengambil kesempatan.

“Jelas budaya ini tidak berfaedah dan harus dicantas segera dari minda mahasiswa,” katanya.

Lebih aib apabila mahasiswa Melayu dikatakan paling ramai terjebak dengan budaya ini hingga mencalarkan nama baik sesetengah pihak.

Enggan menuding jari, beliau mengakui budaya itu sering dikaitkan dengan mahasiswa Melayu kerana tanggapan mereka istimewa berbanding bangsa lain.

Rentetan itulah, mereka mudah bersikap lewa, gemar berfoya-foya serta tidak fokus pada pelajaran.

“Diulit rasa istimewa itu, mereka lupa tujuan asal masuk universiti sementara momokan keistimewaan itu jugalah menjadikan mereka besar diri dan menganggap ada kelebihan dalam industri.

“Hakikatnya itu hanya angan-angan dan merugikan. Keistimewaan dalam sesuatu aspek bukan jaminan memperoleh layanan istimewa daripada orang lain.

“Perubahan yang serba pantas menjadikan mereka yang beringat saja akan berjaya. Bagi yang alpa, tidak berdisiplin, tidak pandai merancang pasti akan berputih mata kelak.

“Apatah lagi ramai graduan dan bukan graduan juga bergelut mencari masa depan menjadikan hanya yang terbaik sebagai pilihan,” katanya.

Saban tahun ribuan graduan menamatkan pengajian namun graduan Melayu yang cemerlang boleh dibilang jari.

Meskipun mewakili kelompok terbesar, mereka hanya mampu lulus cukup makan sekali gus menyumbang peningkatan kadar pengangguran semasa.

Situasi itu, katanya, mewujudkan persaingan tidak sihat kerana kemampuan akademik tidak boleh dinilai lebih tinggi.

“Hakikat pahit inilah juga terpaksa ‘ditelan’ dan diterima kebanyakan IPT setiap kali majlis konvokesyen. Bukan kemahuan institusi mengeluarkan sebahagian besar graduan cukup makan.

“Bukan juga tiada usaha dilakukan sebaliknya mahasiswa tidak pandai menggunakan kesempatan itu dengan belajar bersungguh-sungguh.

“Mereka meletakkan misi belajar di tempat kedua manakala kebebasan tempat pertama. Kesudahannya keputusan merudum,” katanya.

“Di kampus, kebergantungan terletak pada rakan dan diri sendiri. Sebab itu perlunya mempunyai prinsip hidup kuat bagi menangkis godaan.

“Malangnya pengaruh rakan menjadi parasit dan sukar dihapuskan. Akibat tidak beringat, keputusan hanya cukup makan dan melayakkan mereka tamat pengajian semata-mata,” katanya.

Beliau bagaimanapun kurang bersetuju dengan tanggapan mahasiswa Melayu tergolong pada tahap sederhana dan memasuki IPT kerana keistimewaan status.

Menurutnya, pemilihan kemasukan adalah berdasarkan sistem meritokrasi dan bukan lagi kuota.

“Mereka pandai, menepati syarat kelayakan dan diperakui mampu mengikuti kursus ditawarkan, justeru tiada sebab boleh memperoleh keputusan cukup makan.

“Masalahnya, mereka ada sifat malas. Bukan semua tapi jika malas, pelajar paling bijak pun akan gagal.

“Sikap inilah yang menjadi kayu pengukur pencapaian mahasiswa Melayu selain mentaliti ‘biar lulus cukup makan asalkan pinjaman tidak digantung,” katanya.

Beliau mengakui, mahasiswa Melayu sedikit “manja” dan semuanya perlu disuap dan dihidangkan di depan mata.

“Rasionalnya, bukan orang lain yang membuatkan mereka kecundang tapi diri sendiri,” katanya,

Beliau turut memberi contoh bagaimana mahasiswa Melayu di luar negara boleh cemerlang kerana mereka mempunyai pegangan jati diri yang kuat.

“Bukan mahu mempersenda atau mengatakan di institusi tempatan tidak bagus, cuma inilah senarionya. Mereka berada dalam zon selesa.

“Kita ada mahasiswa cemerlang dan berwibawa cuma jumlahnya terlalu sedikit dan tidak nampak. Yang menjadi topik bualan ialah mereka yang ketara keterlaluan.

“Jangan perjudikan nama baik mahasiswa lain yang tidak bersalah. Berubahlah demi masa depan diri sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: