Friday, April 27, 2012

Bekas anggota 1RAMD tubuh persatuan

Sebahagian bekas pegawai Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja.

PENGISYTIHARAN penubuhan Persatuan Bekas Warga Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (PBW1RAMD) meriah apabila lebih 1,600 bekas anggotanya hadir pada majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Presiden persatuan itu, Lt. Kol. (B) Ahmad Kushairi Zainuddin berkata, kira-kira 74 tahun yang lalu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1RAMD) ditubuhkan dan ia menjadi tonggak utama kepada penubuhan batalion RAMD lain.

Menurutnya, RAMD pernah melahirkan insan ternama seperti Leftenan Datuk Adnan Saidi yang berjuang menentang kemaraan tentera Jepun di Bukit Chandu, Singapura semasa Perang Dunia Kedua.

1RAMD turut berasa megah dan bangga apabila tiga anggotanya dianugerahkan pingat Pahlawan Gagah Berani (PGB).

Tidak ramai anggota 1RAMD yang mengetahui bahawa salah seorang bekas Pegawai Memerintahnya iaitu Lt. Kol. (B) Datuk Abdul Hamid Ibrahim adalah Presiden Pertubuhan Veteran Sedunia yang berpusat di Paris sehingga sekarang dengan jumlah keahlian veteran seramai 35 juta mewakili 93 negara di dunia.

Semasa bertugas di Sarawak pula 1RAMD berjaya membunuh 26 pengganas komunis dan menawan berpuluh lagi dalam Ops Jala Raja.

Kejayaan itu merupakan rekod cemerlang dalam operasi yang mengambil masa penempatan selama kira-kira setahun.

Idea penubuhan persatuan itu tercetus apabila beberapa bekas anggota 1RAMD mengadakan perbincangan di Banting, Selangor pada akhir 2010.

Berikutan itu beberapa perjumpaan tidak rasmi diadakan dan kemuncaknya berlaku apabila satu perjumpaan besar-besaran diadakan di Felda Hot Springs, Trolak, Perak 29 Mac tahun lalu.

Ahmad Kushairi berkata, penubuhan persatuan itu melengkapkan lagi tugas-tugas dan fungsi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) terutama dalam menyalurkan bantuan kepada anggota yang memerlukannya.

''Dalam tempoh tiga bulan lalu persatuan telah menghulurkan bantuan berupa dua kerusi roda kepada anggotanya di Lanchang, Temerloh,'' katanya ketika berucap pada majlis pelancaran persatuan itu di Kem Sungai Besi baru-baru ini.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, penubuhan persatuan tersebut tepat pada waktunya dan selari dengan hasrat beliau yang ingin melihat lebih banyak persatuan seperti itu ditubuhkan untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat dan bekas anggota tentera.

Katanya, beliau juga gembira mengikuti perkembangan kewujudan persatuan itu kerana tulang belakang kepada idea penubuhan persatuan tersebut datangnya daripada peringkat bawahan iaitu Lain-Lain Pangkat (LLP) manakala bekas pegawainya pula melengkap dan merealisasikan kewujudannya.

"Bayangkanlah jika semua 25 batalion RAMD mempunyai persatuan masing-masing sudah pasti suara mereka sentiasa didengari dan dihormati.

"Saya sangat memahami bahawa sebahagian besar ahli-ahli persatuan ini sama ada kumpulan pengurusan atasan mahupun bawahan terdiri daripada mereka yang diklasifikasikan sebagai warga emas.

"Namun begitu usia lanjut tidak bererti reput minda, tambahan pula bekas 1RAMD pernah diasuh dengan disiplin yang sangat tinggi," ujarnya.

Pada majlis sama beliau turut menyampaikan anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 50 individu terpilih sebagai tanda penghargaan tinggi kerajaan kepada mereka yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara.

Ahmad Zahid turut menasihatkan ahli persatuan itu merebut peluang pelbagai kursus yang diberikan kepada bekas anggota tentera dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing agar kehidupan mereka lebih selesa.

"Saya yakin bekas anggota tentera mampu mencapai bidang diceburi selagi mereka mengamalkan semangat kesungguhan bekerja dan berdisiplin tinggi," katanya.

Sementara itu, bekas anggota 1RAMD, Ujang Mormin, 91, berkata, ketika Allahyarham Datuk Leftenan Adnan Saidi mengetuai pertempuran dengan Jepun di Bukit Chandu, Singapura, 70 tahun lalu, beliau turut bermati-matian bertempur dengan musuh di Bukit Gap bagi mempertahankan kubu terakhir Tanah Melayu.

Beliau yang menerima PJM pada majlis itu dipercayai antara perajurit yang terlibat dalam pertempuran dengan tentera Jepun bagi mempertahankan kubu terakhir tentera British di Singapura pada 1942.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: