Sunday, April 22, 2012

Anugerah jururawat cemerlang


(Dari kanan) Ketua Pegawai Jururawat Hospital Pantai, Datin Punithavathy Navaratnam, Tan Suet Guan dan Penolong Pegawai Eksekutif, Stanley Lam berbincang pada taklimat media Anugerah Jururawat Hospital Pantai di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


BAGI mengenang jasa dan pengorbanan golongan jururawat di Malaysia, Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL) buat kali pertamanya akan memperkenalkan Anugerah Jururawat Cemerlang bersempena dengan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa.

Pengiktirafan itu adalah yang pertama dibuat oleh pihak hospital dalam Kumpulan Hospital Pantai.

Idea bagi mewujudkan anugerah tersebut dicetuskan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif HPKL, Tan Suet Guan.

"Objektif utama anugerah ini adalah untuk mengiktiraf kejururawatan sebagai profesion yang mulia.

"Ia juga diharap menarik minat serta menjadi dorongan kepada golongan jururawat muda untuk berusaha mengekalkan bakat dan prestasi yang berterusan demi kejayaan industri penjagaan kesihatan," jelasnya pada sidang akhbar memperkenalkan Anugerah Jururawat Cemerlang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Suet Guan, anugerah itu juga adalah untuk menginstitusikan profesion kejururawatan dan mengiktiraf nilai yang disampaikan oleh hampir 100,000 jururawat di negara ini.

Beliau menambah, Anugerah Jururawat Cemerlang adalah usaha inovatif HPKL yang menyokong usaha kerajaan di bawah program transformasi ekonomi (ETP) untuk mengukuhkan penjagaan kesihatan berkualiti dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.

"Saya percaya kualiti perkhidmatan dan penjagaan kesihatan menjadi penting dalam kedudukan Malaysia sebagai pusat serantau kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan.

"Secara tidak langsung kita membantu memenuhi sasaran pertumbuhan hasil kerajaan sebanyak 10 peratus setahun bagi tahun 2011 hingga 2015 dalam industri pelancongan kesihatan," katanya.

Terdapat lima kategori anugerah yang bakal diberikan antaranya, Bintang Harapan bagi peringkat umur 20-30 tahun dan Pencapaian Sepanjang Hayat untuk umur 40 tahun ke atas.

Manakala kategori lain termasuk Pasukan Terbaik Tahunan, Staf Harapan, dan Jururawat Paling Popular.

Anugerah akan diadili tujuh panel hakim yang iaitu penerima Anugerah Jururawat Kebangsaan, Yon Said; Ketua Editor Jurnal Jururawat Malaysia, Datuk Dr. Bibi Flowrina Abdullah, wakil dari PHKL dan wakil dari perunding bebas.

Penghakiman berdasarkan sikap dedikasi, tidak mementingkan diri sendiri dan sumbangan dalam perkhidmatan.

Para pemenang akan diumumkan pada 11 Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: