Sunday, April 22, 2012

Ekspedisi KBS hayati perjuangan umat terdahulu

tergambar keceriaan ahli KBS dua tahun lalu sebaik berjaya merentasi Sungai Mekong, di sempadan Thailand dan Kemboja.

TIGA daripada anggota ekspedisi pernah ditumbuk dengan kuat di bahagian perut oleh pihak berkuasa ketika ditahan dan dibawa ke balai polis untuk menjalani soal siasat.

"Anggota kembara juga pernah dihalau oleh anggota tentera di salah sebuah negara yang dilalui supaya keluar dari negara tersebut ketika menunggu rakan lain yang tersesat jalan.

"Peserta perlu menunggu hampir lima jam di tepi jalan di luar kotak sempadan sebuah negara untuk melintasi negara tersebut ketika dilanda cuaca sejuk melampau dengan ditemani ribut salji tebal sebelum diizinkan masuk."

Begitulah antara detik cemas yang terpaksa ditempuhi oleh 15 peserta ekspedisi Kembara Bumi Suci (KBS) pada dua tahun lalu untuk meneruskan pengembaraan melalui laluan darat menuju ke Tanah Suci Mekah.

Seorang ahli kembara, Firdaus Mohammad Zainal, 38, ketika menceritakan pengalaman pada ekspedisi dua tahun lalu berkata, walaupun dihujani dengan pelbagai ujian dan cabaran, sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka untuk menjejaki Tanah Suci Mekah dengan menaiki motosikal.

Malah ia dijadikan iktibar untuk memperbaiki kelemahan demi meneruskan misi pengembaraan buat kali ke dua, bermula Sabtu ini.

Segala halangan tersebut dianggap cabaran daripada Allah SWT untuk menguji kesabaran dan keimanan hambanya yang ingin menuju ke rumah Allah.

Menceritakan detik cemas yang dilalui, Firdaus berkata, tiga daripada anggota ekspedisi pernah ditahan pihak berkuasa sebuah negara di Asia Barat ketika mengambil gambar satu pergolakan yang kebetulan berlaku ketika itu.

Ahli kembara dibawa ke balai polis dan dikuarantin selama hampir lima jam untuk proses soal siasat kerana disyaki sebagai perisik.

"Pelbagai persoalan ditujukan kepada mereka. Kejadian menjadi semakin tegang apabila salah seorang daripada mereka ditumbuk di bahagian perut semasa proses soal siasat dijalankan oleh anggota polis tempatan.

"Bagaimanapun, kami sangat bersyukur kerana dilepaskan selepas berjaya membuktikan tujuan sebenar kami adalah untuk meneruskan pengembaraan menuju ke Tanah Suci Mekah," katanya.

Firdaus berkata demikian ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia di pejabat operasi PM Production, Shah Alam, baru-baru ini.

Pada masa sama katanya, negara sama itu juga membuatkan hatinya terharu dan tersentuh kerana mendapat layanan baik daripada seorang peniaga restoran Islam.

"Selepas tuan kedai mengetahui tujuan rombongan kami, dia terus belanja kami semua makan dan hanya meminta supaya mendoakan keselamatannya apabila tiba di tanah suci nanti," ujarnya.

Firdaus berkata, memanfaatkan sepenuh minatnya yang mendalam terhadap aktiviti permotoran, ia digunakan untuk kekal bersemangat dan bersedia melalui segala pahit getir yang bakal mendatang.

Tidak mensia-siakan juga pekerjaan yang dilakukan sekarang, beliau yang juga bertugas sebagai penerbit FM Production turut merakam detik pengembaraan tersebut untuk ditonton semua lapisan masyarakat.

"Saya sangat gembira mengikuti kembara lalu kerana minat yang mendalam terhadap aktiviti permotoran. Selain itu, saya ingin berkongsi pengalaman bersama orang ramai mengenai kegetiran serta pahit manis yang dilalui sepanjang perjalanan.

"Kembara itu juga sangat menarik kerana ia memberikan pengajaran yang sangat banyak. Oleh itu, sayang jika tidak didokumentasi dan didedahkan kepada masyarakat umum. Inilah sebab saya ingin mengikuti KBS kali kedua pula," katanya.

Dihalau keluar

Pada pertemuan yang sama, Firdaus menceritakan anggota kembara juga pernah dihalau oleh anggota tentera di salah sebuah negara yang dilalui supaya keluar dari negara tersebut.

"Kejadian berlaku sewaktu ahli kembara ingin keluar dari negara tersebut. Selepas semua urusan pemeriksaan pasport selesai, kami menunggu beberapa rakan lain yang tertinggal.

"Kemudian kami mendapat tahu yang mereka telah tersesat jalan. Bukan itu saja, Allah SWT berikan dugaan kepada mereka, motor mereka pula rosak ketika mencari jalan.

"Ini membuatkan kami terpaksa menunggu lebih lama di sempadan. Dengan tidak disangka, beberapa anggota tentera negara tersebut telah menghalau kami keluar dengan cara yang agak kasar," katanya.

Cuaca yang pada masa itu terlalu sejuk turut menambah cabaran dan menguji kesabaran peserta ekspedisi.

Keimanan peserta terus diuji. Selain melalui laluan sejauh ratusan kilometer setiap hari, cuaca buruk tidak menentu turut menyukarkan perjalanan.

Panas terik, hujan lebat, sejuk melampau, ribut salji dan laluan berdebu menambah lagi cabaran yang perlu ditempuhi peserta.

Tambah Firdaus, kerana cuaca sejuk yang melampau, dengan ribut salji yang kuat, memaksa ahli kembara masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda yang satu-satunya ada pada masa itu seramai yang boleh untuk memanaskan badan.

"Bayangkan, seramai sembilan peserta muat masuk ke dalam sebuah kereta itu, sedangkan ia hanya memuatkan lima orang sahaja. Apa boleh buat, itu saja cara untuk memanaskan badan.

"Manakala selebihnya menghidupkan motosikal dan memegang enjin semata-mata mengelak daripada dicengkam kesejukan itu," jelasnya.

Hikmah ikut serta

Bagaimanapun, setiap negara yang dilalui meninggalkan kenangan tersendiri. Pahit manis dirasai dan dikongsi sesama peserta.

Antaranya, peserta akan melalui sebanyak 12 negara yang masing-masing pastinya mempunyai keunikan budaya dan tradisi tersendiri. Segalanya dapat dipelajari dalam menambahkan pengalaman yang sedia ada.

Peserta juga dapat melihat struktur binaan dan tinggalan sejarah yang didirikan oleh sahabat nabi dan ulama terdahulu dalam usaha mengembangkan syiar Islam.

Benar seperti yang dikhabarkan. Segala yang keluar daripada mulut kita adalah doa. Lebih-lebih lagi perjalanan itu menuju ke Baitullah, apatah lagi niatnya adalah kerana Allah SWT.

Bayangkan betapa sukarnya peserta kembara mengekalkan setiap pergerakan dan mengawal niat, tidak kira perbuatan rohani mahupun jasmani.

Dan pastinya setiap peserta mempunyai pengalaman dan 'keajaiban' tersendiri. Tidak terkecuali bagi Firdaus.

"Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT selepas pulang daripada kembara ini, seperti satu keajaiban yang berlaku, rezeki datang dengan melimpah ruah.

"Sebelum diterbitkan episod kembara bumi suci ini, saya agak risau kerana tiada syarikat yang sudi membeli hasil rakaman kami. Namun, saya tetap teruskan rakaman ini dan mengambil risiko untuk meneruskan rakaman.

"Bagaimanapun, apabila sudah selesai mengerjakan umrah dan tiba ke tanah air, seperti satu keajaiban yang berlaku. Tuhan telah mengurniakan satu rahmat yang menjadikan rezeki saya melimpah ruah," katanya.

Menurutnya, rakaman pengembaraan tersebut telah dibeli oleh sebuah stesen televisyen. Rakaman itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai walaupun telah ditayangkan beberapa kali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: