Jika sebelum ini fenomena filem adaptasi, Ombak Rindu telah memberi populariti terhadap bakat kelahiran Akademi Fantasia musim ke 8, Adira. Kini perubahan kecantikan paras rupanya turut menjadi buah mulut daripada pelbagai pihak.
Kecantikan yang dimiliki penyanyi remaja ini sering mendapat pujian terutama daripada peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan gadis ini sehingga ada yang mahu mengetahui rahsianya.
Bagaimanapun, ada juga di kalangan pihak-pihak tertentu mengandaikan bahawa penyanyi comel ini mengamalkan suntikan untuk kelihatan cantik.
Siti Adira Suhaimi, 21, mengakui kecantikan yang dimilikinya kini tidak ada sebarang kaitan dengan penggunaan suntikan tertentu malah dengan yakin dia mengatakan apa yang ada pada dirinya itu adalah semula jadi.
“Kulit saya memang cerah begini sejak dari kecil lagi dan sehingga kini saya tidak pernah mengambil sebarang suntikan untuk kelihatan lebih gebu. Lagi pun, masyarakat di Kundasang ramai yang ada kulit seperti saya.
“Dulu, saya banyak masa untuk ke pulau, mungkin sebab itu kulit saya tidak secerah sekarang. Oleh kerana jadual harian saya kini terlalu padat dengan aktiviti nyanyian, saya tidak ada masa untuk lakukannya malah, masa luang akan saya manfaatkan untuk berada di rumah bersama keluarga,” katanya.
Adira berkata, dia tidak memiliki sebarang rahsia kecantikan tertentu tetapi hanya mengamalkan pemakanan yang seimbang dan masa rehat yang secukupnya.
“Saya juga ada mengamalkan pengambilan ‘supplement’ sebagai penjagaan kesihatan. Bagi saya, peredaran usia membuatkan saya kini lebih memandang berat terhadap penjagaan diri supaya dapat mengekalkan tahap kesihatan yang ada kalanya tidak menentu.
“Khabar angin yang mengatakan saya ada ambil suntikan itu adalah tidak benar sama sekali. Walaupun mahu sentiasa kelihatan cantik, tetapi saya tidak akan melakukan suntikan itu,” ujarnya.
Teringin berlakon
Memiliki wajah yang menarik bagaikan satu platform buat anak jati Kundasang, Sabah ini terus mengukir nama dalam dunia muzik tanah air malah jika diberi peluang dalam lakonan, mungkin wajahnya bakal memeriahkan industri itu.
Namun, bagi Adira yang kini sibuk dengan persiapan program Mania berpendapat dirinya masih belum sesuai dengan bidang lakonan memandangkan pertuturannya masih lagi pekat dengan loghat Sabah.
“Saya memang ada pasang niat untuk ceburkan diri dalam lakonan tetapi buat masa ini, ia bukan masa yang sesuai. Saya mahu fokuskan kerjaya dalam nyanyian terlebih dahulu.
“Jika semua sudah stabil dan pertuturan saya juga sudah baik, tidak mustahil saya akan memulakan karier sebagai seorang pelakon pula,” katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu tema Ombak Rindu ini turut mengatakan, sejak bergelar penyanyi, hidupnya kini sudah berubah dan tidak seperti dahulu.
“Sekarang, saya bekerja keras menjalankan karier sebagai seorang penyanyi dan kini, banyak masa saya tertumpu kepada bidang ini.
“Kalau dahulu saya banyak masa untuk meluangkan masa bersama teman pergi bercuti, kini saya hanya akan menghabiskan masa yang terluang untuk berada di rumah supaya dapat rehat yang secukupnya,” katanya.
Tidak serik bercinta
Sudah pasti, pakej lengkap yang dimiliki anak bongsu daripada lapan beradik ini menjadi tumpuan buat setiap jejaka. Namun, Adira yang menganggap diri dan bakatnya masih lagi hijau dalam industri nyanyian menolak tepi soal percintaan dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya seni suara.
“Saya bukan fobia tapi belum masanya lagi untuk saya menjalinkan hubungan percintaan dengan mana-mana lelaki. Lagipun, usia saya masih muda dan banyak lagi yang perlu saya perbaiki dalam karier ini.
“Tetapi, saya akui masa itu akan tiba dan saya tidak akan menolaknya. Jika ia datang pada masa yang tepat, saya tidak akan berselindung,” katanya.
Bertanyakan mengenai perkembangan semasa, Adira mengatakan sedang sibuk dengan persiapan single ke lima selain daripada program Mania yang disiarkan di saluran Astro Ria setiap minggu.
“Selain single, kami juga masih lagi dalam perbincangan untuk pembikinan album pertama saya yang masih lagi berada dalam perbincangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: