
Menteri Pelancongan dan Warisan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg (gambar) sambil menyuarakan rasa kecewa terhadap kementerian Pengangkutan yang belum memberikan lampu hijau kepada MASWings meskipun mendapat kelulusan kerajaan Brunei untuk terbang ke sektor itu berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada kerajaan persekutuan tidak lama lagi.
“Ini agak ironis. Anda boleh merasionalisasikan syarikat penerbangan, namun jangka mendiskriminasi dan menjejaskan keseluruhan industri memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada Malaysia dan kami telah membuat sumbangan besar kepada pembangunan nasional,” katanya kepada pemberita selepas penutupan mesyuarat agung dwitahunan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara Sarawak (MITSA), di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, kawasan itu tidak mendapat perkhidmatan ketika ini selepas Royal Brunei Airlines menamatkan laluan Kuching-Bandar Seri Begawan.
Setelah dimaklumkan mengenai perkara itu beberapa hari lepas, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan wajar melihat keperluan kedua-dua negeri itu, terutama dalam kawasan BIMP-EAGA.
Mengenai berita bahawa syarikat penerbangan Firefly akan menamatkan penerbangan di Sarawak dan Sabah, beliau berkata langkah itu mungkin akan memberi implikasi negatif terhadap usaha negeri berkenaan mempromosikan
pelancongan, terutama destinasi yang tidak mempunyai laluan terus,
Difahamkan rundingan berjalan antara syarikat induk, MAS dan AirAsia susulan rasionalisasi antara dua syarikat penerbangan itu yang tidak membolehkan Firefly bersaing dengan syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan.
Abang Johari juga berkata kementerian itu akan berbincang dengan MAS mengenai kemungkinan membeli pesawat amfibia Twin otter generasi baharu MASWings, lengkap dengan pelampung untuk mendarat atas air dan darat bagi menambah nilai terhadap produk pelancongan berasaskan alam sekitar Sarawak seperti Batang Ai dan tasik Bakun.
“Ia dijangka menelan kos tambahan US$100 juta. Kementerian Pelancongan akan memberi tempoh masa dua tahun bagi membangunkan infrastruktur dan rangka tindakan berasaskan pengalaman industri pelancongan Maldives,” katanya.
Beliau akan mengetuai delegasi para pegawai pelancongan negeri melawat Maldives pada 19 September ini bagi mengkaji produk pelancongan negara itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: