Tuesday, April 19, 2011

Variasi menu di Throw-Throw Burger Corner


AMIRUL HAFIZ ABDUL RAZAK (kiri) bersama Azwan Ali Ibrahim sedang menyediakan burger untuk pelanggannya.


KEBIASAANNYA kita hanya dapat menikmati burger ayam, daging lembu dan telur di gerai-gerai burger di tepi jalan.

Namun, bagi pengunjung yang pernah berkunjung ke Throw-Throw Burger Corner yang terletak bersebelahan stesen minyak Shell, Jerantut, Pahang, anda pasti terpegun melihat menu yang disediakan di gerai tersebut.

Pemiliknya, Amirul Hafiz Abdul Razak, 25, menampilkan kelainan dengan menyediakan hidangan burger berasaskan daging rusa, arnab, kambing dan burung unta.

Bagi menarik lebih ramai pengunjung ke gerai miliknya, Amirul Hafiz telah memperkenalkan burger dinosaur, pattaya dan burger kukus.

“Saya ingin mencari kelainan daripada peniaga lain selain mengubah cita rasa penggemar burger di sini yang sebelum ini hanya menikmati sajian daging lembu dan ayam selain telur.

“Gerai yang berwarna merah juga telah berjaya menarik perhatian orang ramai untuk mendekati gerai saya sekali gus mencuba menunya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada masa sama, keunikan turut ditampilkan pada setiap daging yang dimasak. Setiap bahan makanan itu akan diperap di dalam sos lada hitam terlebih dahulu sebelum dihidangkan kepada pelanggan.

Menurutnya, beliau tergerak hati untuk mencipta menu baru selepas mencuba burger istimewa yang dibeli di gerai milik kawannya di daerah yang sama.

Disalut dua telur

Sebaik pulang ke gerainya yang beroperasi sejak Januari lalu, Amirul Hafiz telah mencipta menu baru iaitu burger disalut menggunakan dua biji telur dan diberi nama burger pattaya.

“Saya tidak menyangka burger pattaya mendapat sambutan hebat dalam kalangan pelanggan.

“Disebabkan tidak cukup tenaga untuk menjalankan perniagaan seorang diri, saya telah melatih seorang pekerja, Azwan Ali Ibrahim, 20, berasal dari Semporna, Sabah untuk membantu saya setiap hari,” ujarnya yang mempunyai Sijil Pengendalian Makanan dari Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP).

Selepas kejayaan mencipta burger pattaya, Amirul Hafiz yang gemar memasak sejak berusia 12 tahun telah mencipta satu lagi menu yang kini amat digemari para pelanggannya iaitu burger dinosaur.

Beliau berkata, burger dinosaur dinamakan sedemikian kerana ia menggunakan roti yang lebih besar untuk mengapit tiga keping daging dan sayur serta disaluti telur.


Amirul Hafiz (tengah) bersama Azwan (kanan) dan Sakinah mempamerkan pelbagai jenis burger lazat di gerai mereka.


“Semakin hari semakin ramai pelanggan yang datang untuk mencuba burger dinosaur kerana ia boleh dijadikan hidangan keluarga memandangkan saiznya yang lebih besar,” katanya.

Amirul Hafiz memberitahu, idea untuk menghasilkan burger besar itu dicetuskan oleh sepupunya, Sakinah Syed Ali.

“Sepupu saya (Sakinah) begitu tertarik dengan iklan burger bersaiz besar dalam majalah dan menyuruh saya membuatnya sebagai menu baru. Sekarang hasilnya amat membanggakan kerana menu ini mendapat sambutan baik,” ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.

Sambutan memberangsangkan

Pada mulanya, beliau mengakui tidak yakin untuk mencipta resipi baru kerana bimbang gagal menarik minat penggemar burger khususnya di daerah Jerantut.

Namun siapa sangka, kreativiti menu baru yang diperkenal olehnya berjaya menarik ramai pelanggan tanpa mengira usia dan kaum.

“Sebelum ini, saya menjual kira-kira 80 biji burger sahaja setiap hari namun sejak kemunculan menu-menu baru, jualan harian kini mencecah 150 biji.

“Saya sangat bersyukur kerana berkat usaha dan dorongan daripada pelbagai pihak, gerai saya mula dikenali ramai,” jelasnya dengan nada gembira.

Ditanya mengenai perancangan pada masa depan, anak muda itu memasang impian untuk membina sebuah gerai berkonsepkan kabin ala Inggeris dengan menyediakan pelbagai makanan Barat.

“Saya tidak berminat untuk membuka restoran kerana saya lebih suka kedai yang berbentuk kabin seperti yang terdapat di negara Barat kerana lebih senang diuruskan,” katanya yang turut berkebolehan sebagai ahli silap mata.

Selain menjalankan perniagaan di gerainya, Amirul Hafiz turut menerima tempahan daripada orang ramai dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 019-990 3996.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: