
SEORANG remaja perempuan berwajah gempal, dilihat berjalan keseorangan selepas pulang dari sekolah. Pada masa itu, dia dilihat melonggarkan sedikit skirt pakaian seragamnya yang pendek itu untuk menutup perutnya yang sedang membesar.
Thandi baru berusia 16 tahun dan dia kini mengandung empat bulan. Dia ialah antara remaja perempuan berusia belasan tahun di Afrika Selatan yang terlibat dengan seks pada awal usia. Masalah itu dikhuatiri meningkat sebanyak 21 peratus sejak beberapa tahun lalu dan ia juga meningkatkan kebimbangan terhadap jangkitan HIV.
Di Afrika Selatan, kebanyakan sekolah membenarkan para pelajar hamil untuk terus menghadiri persekolahan selagi mereka mampu. Di kebanyakan sekolah, remaja perempuan dengan perut memboyot di bawah pakaian seragam mereka sudah menjadi satu senario biasa.
“Saya mendapat tahu bahawa saya mengandung dua bulan lalu. Saya belum beritahu sesiapa lagi, hanya teman lelaki saya. Dia fikir saya bergurau,” ujar Thandi yang belajar dalam gred sembilan. Dalam perasaan segan, dia memberitahu bahawa telah beberapa kali mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan teman lelakinya selama lapan bulan kerana amat mempercayai teman lelakinya.
Sembunyikan kehamilan
Teman lelakinya itu tidak pernah mengambil ubat kontraseptif tetapi hanya menggunakan kondom - hanya jika dia sempat mendapatkan satu.
“Saya akan cuba menyembunyikan kehamilan saya supaya saya boleh meneruskan pengajian. Jika saya memberitahu ibu bapa saya, mereka akan memaksa saya berhenti sekolah,” katanya.
Dia cuba untuk mengelakkan keaiban kepada keluarganya. Kebanyakan keluarga di Afrika Selatan mempunyai tanggapan bahawa seseorang yang sudah bersedia menjadi ibu bermakna kanak-kanak dan pendidikan mereka sudah tamat.
Di kawasan luar bandar, stigma itu lebih serius. Sekolah tinggi Mavalani di sebuah perkampungan Giyani di wilayah utara Limpopo, seramai 24 gadis didapati hamil dengan purata dua orang dalam setiap kelas.
Daripada mereka, 11 orang menuntut dalam gred 11 iaitu tinggal dua tahun sahaja untuk menamatkan pengajian sekolah tinggi. Ia satu berita yang memalukan bagi masyarakat di situ.
Pada bulan lepas, sekumpulan pelajar bertindak membaling batu ke arah kereta pengetua sekolah selepas dia mengemukakan kebimbangan terhadap masalah kehamilan remaja dalam media nasional.
Menurut Badan Penyelidikan Sains Kemanusiaan (HSRC) iaitu sebuah badan pemikir kerajaan, insiden kehamilan remaja kian meruncing.
Daripada setiap 1,000 gadis di sekolah pada tahun 2004, 51 orang disahkan hamil. Angka itu meningkat kepada 62 orang pada tahun 2008.
Begitupun, laporan daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), statistik itu masih rendah jika dibandingkan dengan beberapa buah negara lain seperti Nigeria, Uganda, Somalia dan Swaziland. Itali berada di tangga ketujuh.
Hakikatnya, isu itu masih berisiko tinggi memandangkan Afrika Selatan direkod sebagai negara dengan penduduk HIV positif terbesar dunia iaitu seramai 5.7 juta daripada 48 juta orangnya dijangkiti virus itu.
Perkara itu suatu cabaran berganda yang mendorong pegawai kesihatan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap perebakan virus AIDS dan kehamilan yang tidak dirancang.
Pada bulan Mac lalu, kerajaan negara itu melancarkan program mengesan HIV secara sukarela di sekolah. Namun bagi Esther Etkin, seorang jurucakap untuk Lovelife iaitu badan inisiatif pencegahan HIV tajaan kerajaan, generasi muda di Afrika Selatan memerlukan lebih daripada sekadar ujian HIV.
Menurut HSRC remaja kulit hitam dari kawasan bandar yang miskin paling berpotensi hamil pada usia awal dan terdedah kepada HIV.
Kemiskinan jadi punca
Dengan kadar pengangguran secara rasmi pada 24 peratus tetapi dianggarkan melebihi 40 peratus, remaja perempuan ini dilihat mudah berdampingan lelaki berusia untuk tujuan wang. Fenomena itu antara lain berpunca daripada kemiskinan, pengangguran dan tahap pendidikan yang rendah.
Walaupun pengguguran diterima di Afrika Selatan, tindakan itu membawa satu stigma dahsyat. Ramai gadis remaja memilih untuk melahirkan anak demi membuktikan nilai kewanitaan dan keibuan selain memberi makna kepada hidup, terutamanya selepas perjuangan menentang undang-undang minoriti kulit putih, kata Etkin.
“Kami perlu memastikan program-program kesedaran yang dianjurkan selari dengan budaya tempatan. Kami amat menekankan soal pendidikan berterusan terutamanya selepas kelahiran anak,” kata Etkin.
Lovelife menangani masalah kehamilan itu menerusi penganjuran pementasan di sekolah-sekolah dan drama-drama di televisyen bagi menunjukkan cara remaja-remaja menangani masalah berkaitan seks.
Bagi Thandi, dia sekadar berharap bayinya menjadi pengukuh hubungannya dengan teman lelakinya dan seterusnya menuju ke gerbang perkahwinan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: