Thursday, June 10, 2010

Wanita Iran makin berani bersolek


Wanita Iran kini semakin berani tampil di khalayak umum dengan bersolek dan mengenakan pelbagai fesyen terkini.


MENGENAKAN solekan antara perbuatan yang diharamkan ketika revolusi Islam di Iran pada 1979. Begitupun hari ini produk kosmetik daripada gincu bibir hinggalah pewarna kuku kembali membanjiri Iran. Malah negara itu merupakan pasaran produk kecantikan kedua terbesar di Asia Barat.

Pada era revolusi tersebut mana-mana wanita yang didapati melanggar undang-undang itu akan didenda atau ditangkap dan disumbat ke penjara.

Kini selepas keputusan untuk membenarkan kembali barangan kosmetik diimport pada pertengahan tahun 1990-an, kebanyakan wanita Iran tidak melepaskan peluang untuk bergaya terutama di kalangan anak-anak gadis yang tinggal di bandar.

Mengikut kajian yang telah dilakukan, rakyat Iran membelanjakan hampir AS$2 bilion (RM7 bilion) setahun untuk kosmetik dan memegang 29 peratus pasaran di Asia Barat.

Kebanyakan produk kecantikan di Iran hari ini merupakan barangan yang diimport atau dibawa masuk secara haram memandangkan Iran merupakan sebuah negara yang hanya mengeluarkan sejumlah kecil kosmetik.

Hampir kesemua kosmetik popular seperti Yves Saint Laurent, Guerlain, L‘Oreal, Bourjois dan sebagainya boleh didapati di pasar raya pinggir bandar dan pusat membeli-belah di bandar besar.

‘‘Kebanyakan pakar menganggarkan kira-kira AS$700 juta (RM2.4 bilion) hingga AS$750 juta (RM2.6 bilion) nilai produk kecantikan diimport secara haram ke Iran,’’ kata Ketua Biro Kaunter Perdagangan, Abbas Najafi.

Sementara itu, Vista Bavar, orang yang bertanggungjawab mempromosikan kosmetik jenama Eropah di Iran, turut mempunyai pendapat yang sama dengan Abbas malah menekankan bahawa kebanyakan produk kosmetik yang terdapat di Iran adalah barangan seludup.

‘‘Kementerian Kesihatan amat menitik beratkan kriteria-kriteria seperti produk yang diimport disahkan berkualiti dan memenuhi piawaian.

‘‘Tetapi faktor 50 peratus bebas cukai dan birokrasi berlebihan berlawanan dengan peraturan import,’’ tambah Bavar lagi.

Mereka yang terlibat di dalam perniagaan kecantikan itu mengakui bahawa barangan seludup biasanya tidak berkualiti.

‘‘Beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran di sini telah dibanjiri dengan produk-produk China yang berkualiti rendah di mana ia tidak memenuhi piawai yang sebenar,’’ ujar sumber yang tidak mahu namanya dipaparkan.

Tambah beliau lagi, produk China hanya meliputi 30 peratus daripada barangan yang diimport secara haram.

Tumpuan produk China ini adalah di kawasan luar bandar serta di kalangan rakyat berpendapatan rendah.

Mengikut tinjauan yang dilakukan oleh sebuah institut kajian ekonomi swasta, sebanyak 14 juta wanita Iran di kawasan bandar yang berumur antara 15 dan 45 tahun membelanjakan secara purata AS$7 (RM24) sebulan untuk membeli kosmetik.

Malah mereka sanggup membelanjakan sehingga AS$300 (RM1,050) daripada gaji bulanan yang puratanya antara AS$600 (RM2,100) hingga AS$700 (RM2,400).

Tatacara berpakaian yang diperkenalkan ketika era revolusi, di mana rambut dan seluruh badan ditutup sepenuhnya ketika di khalayak umun, tidak penghalang untuk mereka mengenakan solekan dengan trend terkini

‘‘Bahkan disebabkan mereka (wanita) Iran memakai tudung, kebanyakan remaja-remaja perempuan Iran menumpukan sepenuh perhatian kepada muka mereka.

‘‘Ramai anak gadis menghabiskan masa berjam-jam di hadapan cermin semata-mata untuk bersiap.

‘‘Jika di negara Eropah lebih mementingkan cara pemakaian, di Iran pula remaja wanita lebih gemar tampil dengan bersolek,’’ kata seorang jurujual kosmetik di bandar Iran, Mina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: