Wednesday, June 23, 2010

Usah salah guna kuasa talak


Air mata sudah tidak berguna apabila talak telah dijatuhkan.


Talak bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Kalau lafazkan secara ‘main-main’ pun jatuh, lafaz dalam keadaan marah pun jatuh dan secara bergurau pun jatuh. Walaupun talak dibenarkan oleh Islam namun ia adalah perkara yang sangat dibenci.

Talak yang dijatuhkan secara spontan tanpa bersebab atau tiba-tiba tanpa difikirkan semasak-masaknya antara penyebab seseorang lelaki menjadi gila talak.

Pensyarah di Jabatan Undang-undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Madya Dr. Datin Paizah Ismail berkata, kecuali jika seseorang lelaki itu telah memikirkan dengan penuh kewarasan mengapa dia hendak menjatuhkan talak ke atas isterinya, mungkin kejadian gila talak itu tidak akan berlaku.

‘‘Tetapi bila lelaki tidak berfikir panjang dan terus mentalakkan isteri, akan timbul sesalan setelah dia kembali tenang.

Pada waktu itu, sudah terlambat dan tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Apa lagi jika telah menjatuhkan talak tiga.

“Jadi jangan bermain-main dengan talak walaupun kuasa talak diberikan kepada lelaki,’’ ujar Paizah.

Beliau menambah, lelaki harus mengawal perasaan dan jaga perkataan yang keluar daripada mulut walau macam mana marah sekali pun.

Perkara titik-bengik jangan diperbesarkan sehingga boleh membawa kepada permasalahan yang lebih besar dan sukar dibendung.

Walaupun lelaki mempunyai kuasa namun dia mesti bersikap terkawal, gunakan kebijaksanaan, akal fikiran dan fikir semasak-masaknya supaya keputusan yang dibuat itu munasabah dan tiada kekesalan.

Pepatah yang mengatakan terlajak perahu boleh diundur, terlajak perkataan buruk padahnya sememangnya ditujukan kepada hal-hal seperti talak ini.

‘‘Talak satu boleh rujuk, dua pun boleh rujuk tetapi bila sudah tiga, memang betul-betul jadi gilalah. Sebab itu dalam Islam kata talak dibolehkan tetapi ia paling dibenci.

‘‘Bila sudah talak tiga, hendak rujuk semula susah. Harus mengikut prosedur yang ketat dan bermacam-macam lagi dan mungkin juga ia akan kekal begitu apabila si isteri sudah berjumpa dengan pasangan yang sesuai dengannya. Bekas suami ini akhirnya menghadapi tekanan dan timbullah istilah gila talak.

‘‘Lelaki yang gila talak ini biasanya menghadapi tekanan emosi dan tertekan. Apabila tidak dapat dikawal maka dia akan mengambil jalan singkat seperti mencederakan isteri, pasangan, orang lain atau keluarga,’’ kata Paizah lagi.

Menurut Faizah, sebelum mengambil keputusan hendak bercerai, berbincang dahulu secara baik, minta pendapat keluarga dan orang tengah. Jika boleh selamatkan rumah tangga, cubalah selamatkan demi anak-anak.

Kenang semula bagaimana susahnya hendak menyimpul ikatan perkahwinan dan jangan dengan mudah hendak merungkai ikatan yang dijalin bertahun-tahun.

Beliau berkata, apabila seseorang itu berkahwin, dia harus mengetahui pantang larang.

Jangan jadikan perkara serius seperti talak sebagai mainan atau gurauan sehingga boleh tersasul. Jangan lihat ini sebagai perkara yang remeh kerana ia sebenarnya besar dalam kehidupan.

‘‘Isteri pula apabila melihat suami yang sedang marah harus pandai menyejukkan hati suami. Jangan kedua-duanya sama marah kerana api bersama api boleh terbakar dan membakar. Jika seorang api, seorang lagi mesti bersifat air.

‘‘Bagi si suami pula, jika sedang marah, jangan ikut perasaan. Cari jalan untuk meredakan kemarahan. Jika sedang berdiri, duduk. Jika panas, mandi, jika lapar, makan. Insya-Allah hati dapat disejukkan,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: