DIA pernah mencipta nama menerusi dua program realiti TV, Malaysian Idol musim kedua (MI2) pada 2005 dan One In A Million (2006). Sekalipun gagal menjadi juara, Farah Asyikin Zulkifli tidak pernah berputus asa.
Ketika hadir pada Bengkel Cipta Ekspres 2010 anjuran Music Author's Copyright Protection (MACP) Berhad di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini, Farah tiba-tiba menarik perhatian khalayak bukan kerana vokal tetapi penampilan yang sudah menjurus kepada baju kurung.
Seperti hadirin di situ, mungkin segelintir peminat Farah juga pelik dan bertanya mengapa penyanyi popular menerusi lagu 1,000 Penipuan dan Hello ini tiba-tiba menampilkan imej lebih sopan? Farah berkata, dia sebenarnya selesa dengan penampilan sebegitu yang membawa identiti gadis Timur. Dia akui sebenarnya ada banyak koleksi baju kurung dalam simpanannya yang dipakai sehari-hari.
"Mungkin tidak ramai tahu saya sebenarnya suka baju kurung tapi saya jarang memakainya ketika mengadakan persembahan.
"Ini kerana penganjur tidak mahu saya membuat persembahan dengan baju kurung kerana ia tidak sesuai dengan konsep. Bagaimanapun, realitinya, saya suka berbaju kurung dan berharap imej baru saya ini akan dapat diterima peminat," katanya.
Farah akui dia memang berhasrat dapat mengikis imej seksi yang sering dilabel kepadanya selama ini. Dia percaya 'penghijrahan' baru ini akan memberi impak positif kepada perkembangan seninya.
"Sebelum ini semua cakap saya suka seksi kalau di pentas atau membuat fotografi. Sejak dikatakan seksi, saya mula rasa tidak selesa. Bagi saya seksi lebih dikaitkan dengan seksual.
"Saya sendiri bukan sengaja mahu berlagak seksi atau mahu menunjuk saya baik. Pada saya, baik itu terletak pada hati. Saya percaya kalau seseorang itu tidak suka pakai baju kurung, dia tidak boleh memaksa dirinya atau berpura-pura," jelasnya.
Pada majlis yang sama, penyanyi yang sinonim dengan baju kurung, Ana Raffali turut hadir sebagai peserta. Namun Farah menafikan yang dia cuba meniru atau mencabar imej Ana. "Saya rasa hampir semua gadis Melayu ada baju kurung. Rasanya tidak salah kalau saya juga memakai baju kurung," ujarnya ringkas.
Mengenai perkembangan seni, Farah berkata dia ingin mencuba menyanyikan lagu berkonsepkan spiritual.
Pada acara itu, Farah turut menunjukkan bakat menghasilkan lirik menerusi dua lagu baru - Melayang ciptaan komposer Julfekar bersama Aizat dan 3 ciptaan Andy Flop Poppy bersama Nik Nizam."Pop rock memang jiwa saya cuma kali ini saya mahu membawa pembaharuan dalam lagu saya. Pada program Nasi Lemak Kopi O di TV9, baru-baru ini, saya pernah menyanyikan lagu ciptaan saya sendiri berjudul Penjagaku.
"Dalam lagu itu, saya tampilkan zikir dalam lagu yang saya anggap sebagai terapi dalam berdepan masalah. Nyata, peminat yang menonton program itu memberikan respon positif kepada saya.
"Saya sebenarnya tidak kisah apa kata orang terhadap lagu baru saya. Apa yang ingin saya sampaikan itu datang dari jiwa saya sendiri. Sebelum ini, saya ada juga menyanyikan sebuah lagu baru, Ada Mu tapi ia tidak dimainkan oleh radio.
"Mungkin lagu sebegini dianggap bosan namun saya menganggap lagu-lagu ini mampu menenangkan fikiran," katanya.
Farah berkata, walaupun sudah sedekad berjuang dalam bidang nyanyian, dia tidak pernah menganggap berada di puncak populariti. Dia percaya setiap penyanyi mempunyai prestasi pasang surut dan seharusnya terbuka menerima cabaran.
Malah, Farah berhasrat meluaskan pengalaman seni dan menyerlah bakat dalam diri menerusi penciptaan lagu. Bengkel Cipta Ekspres 2010 adalah pengalaman pertamanya yang disifatkan banyak memberi pendedahan baru.
"Mencipta lagu dalam masa dua hari memberi cabaran pada saya bersama peserta lain. Sepanjang terbabit dalam acara ini, ia memberi pengalaman menyeronokkan walaupun ada ketika tertekan memikirkan idea.
"Namun, saya melihat rakan satu kumpulan iaitu Julfekar, Aizat, Andy dan Nik memberikan kerjasama dan komitmen yang baik. Setiap peserta mempunyai bakat dan ego masing-masing tetapi bila bekerja dalam satu kumpulan, ia memerlukan kerjasama," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: