Monday, June 21, 2010

Tabah hadapi dugaan


Shamsiah Suniey


TIADA siapa yang inginkan kegagalan dalam rumah tangga, apatah lagi mahligai yang dibina adalah atas dasar suka sama suka.

Namun bagi Shamsiah Suniey, 48, kegagalan yang dilalui dalam rumah tangga tidak dijadikan sebagai penghujung sebuah cerita dalam kehidupannya.

Biarpun kehidupannya pernah menderita suatu ketika kerana ditinggalkan suami, namun ibu tunggal ini berjaya membuktikan tanpa sokongan dan dorongan dari kaum lelaki, dia juga turut berjaya dalam kehidupan.

Kini bertindak sebagai pemandu pelancong di sebuah syarikat pelancongan membuatkan dia bersyukur kerana ujian yang diberikan oleh-Nya membuatkan dia berjaya.

''Saya tidak pernah menyesal diuji sedemikian rupa, malah dengan ujian seberat ini membuatkan saya semakin tabah menghadapi cabaran,'' ujarnya memulakan cerita.

Katanya lagi, selepas bercerai kehidupan dia dan anak-anak sangat susah. Kehidupan mereka anak-beranak diibaratkan kais pagi makan pagi. Sebelum berkecimpung dalam bidang pelancongan, dia bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat. Menerusi pendapatan tersebut dia menyara empat orang anak yang masih kecil.

Jelasnya, semasa dia bercerai, anak sulungnya baru berusia 16 tahun manakala anak bongsu pula berusia empat tahun.

''Tiada kata hendak digambarkan pada ketika itu, saya sentiasa kekurangan wang, malah kami terpaksa makan bercatu,'' ujarnya mengenangkan kisah lalu.

Dia terpaksa bangun awal semata-mata menyediakan bekalan kepada anak-anak bagi mengurangkan kos hidup.

Kehidupan sebagai ibu tunggal katanya, amatlah perit, malah pandangan orang sekeliling juga mampu melemahkan lagi diri sendiri jika tidak kuat.

Biarpun kehidupan mereka susah, namun dia tidak pernah meminta-minta daripada orang lain.

''Pelbagai dugaan telah saya harungi, namun anak-anak adalah adalah nyawa dan banyak memberi semangat kepada saya.

''Pernah kami sekeluarga tidak menyambut hari raya kerana ketiadaan wang. Ketika itu, perasaan kasihan mengenangkan anak-anak, biarlah saya tidak menyambut raya dengan pakaian baru tetapi bukan kepada anak-anak,'' katanya.

Namun kini selepas menyertai program anjuran di Jabatan Pembangunan Wanita dalam bidang pelancongan, kehidupan semakin berubah.

''Kini saya boleh membuktikan saya mampu membesarkan anak-anak sendirian,'' ujarnya bangga.

Katanya lagi, biarpun memegang status ibu tunggal, namun tidak mengehadkan untuk seseorang itu berjaya.

Biarpun tugas pemandu pelancong biasanya menjadi tumpuan kepada kaum adam namun ia tidak menghalang untuk golongan wanita mencubanya.

''Bidang ini memberikan ketenangan pada saya dan ia juga memberikan peluang kepada saya untuk lebih dekat dengan masyarakat,'' ujarnya.

Katanya lagi, dia yakin bidang pelancongan ini jika diberikan peluang, mampu mengorak lebih jauh.

Kini, Shamsiah boleh menarik nafas lega, selepas hampir 10 tahun berjuang membesarkan anak-anak dia berjaya sehingga ke peringkat ini.

Anak sulungnya kini berusia 26 tahun. Malah dia juga turut menjejaki langkah ibunya menyertai bidang pelancongan.

''Menjadi ibu tunggal memerlukan kekuatan dan kesabaran, harus diingat niat kita bekerja hanya untuk mencari rezeki kepada anak-anak,'' ujarnya tenang.

Ceritanya lagi, dahulu terpaksa menumpang di rumah saudara mara dan berulang-alik menaiki bas, dia kini lega kerana mampu memiliki rumah dan kereta sendiri.

''Ini semua hasil titik peluh saya, malah jika diizinkan Tuhan saya akan mengerjakan ibadah Haji penghujung tahun ini,'' katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: