Thursday, June 10, 2010
Sindiket raih RM1b
KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya empat sindiket perjudian bola sepak secara online tanpa lesen di negara ini dikenal pasti bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu, membabitkan wang pertaruhan lebih RM1 bilion.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, polis menubuhkan satu pasukan pada April lalu, bagi memantau sindiket terbabit yang dipercayai didalangi beberapa individu, termasuk yang bergelar Datuk dan mengandungi pakar teknologi maklumat.
Menurutnya, sindiket perjudian haram bola menerusi Internet, yang turut membabitkan beberapa individu bergelar ‘datuk’ dikesan polis, selepas satu pasukan khas ‘Unit Penggempur’ ditubuhkan sejak sebulan lalu bagi memantau aktiviti pertaruhan bola sepak sempena Kejohanan Piala Dunia 2010.
Beliau berkata, hasil pemantauan yang dilakukan pasukan itu melalui operasi ‘Ops Soga’, mendapati kebanyakan sindiket terbabit didalangi warga tempatan yang mempunyai kepakaran tinggi.
Menurutnya, sindiket ini dikenal pasti bergiat aktif sejak tahun lalu dan turut mempunyai hubungan dengan rangkaian sindiket sama dari negara luar.
“Polis akan bekerjasama dengan pihak Interpol (Polis Antarabangsa) bagi memperoleh maklumat tertentu berhubung sindiket negara luar yang disyaki terbabit selain operasi secara berterusan akan dibuat dari semasa ke semasa.
“Selain itu, beberapa individu bergelar Datuk, termasuk seorang yang pernah ditahan kerana kes sama sebelum ini, turut dikenal pasti terlibat dalam sindiket perjudian kali ini,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Mohd Bakri berkata, polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak, termasuk golongan atasan bergelar Datuk atau Tan Sri.
“Kita sangat menekankan undang-undang dan undang-undang tidak mengenal :siapa. Jika mereka didapati bersalah, hukuman setimpal dengan kesalahan akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.
:Beliau berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya, kebanyakan kumpulan sindiket judi bola haram ini, menggunakan modus operandi dengan membuat pertaruhan sebanyak RM1 bilion untuk Piala Dunia kali ini.
Katanya, sindiket ini juga akan menawarkan bayaran tinggi kepada mana-mana individu yang mempunyai kepakaran tentang teknologi maklumat, untuk menyertai kumpulan mereka bagi memastikan pertaruhan berjaya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Bakri berkata, bagi tempoh Januari sehingga Mei lalu, 6,004 serbuan dilakukan pihaknya berkaitan judi haram menerusi Internet.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: