
BANYAK tanda tanya yang hadir ketika sesi fotografi bersama muka baru ini dilakukan. Siapa gadis manis berwajah Pan Asia yang muncul menadahkan wajah untuk dipersembahkan itu? Begitu juga banyak respons yang diterima sewaktu namanya disebut.
Siti Saleha, nama yang bakal menjadi sebahagian daripada himpunan bakat lakonan industri hiburan tanah air.
Dia wajah masa depan dengan nama yang begitu klasik.
Inilah bunga yang baru mahu menguntum mekar. Baunya masih perlukan bantuan angin untuk ditebarkan.
Siti Saleha yang senang disapa Saleha ini sudah terbiasa dengan pelbagai riak wajah ketika dia menyebut nama penuhnya.
Nama nenek
Katanya, sudah alah bisa tegal biasa dengan kekerutan wajah khalayak apabila dia memperkenalkan diri.
Ramai yang menyebut nama itu seakan tidak kena dengan wajahnya yang terpancar wajah anak mat saleh.
Gadis berusia 20 tahun ini memiliki darah Inggeris daripada ibunya, Tracey Johnson atau Aishah Rahman yang mengahwini ayahnya, seorang lelaki penuh keMelayuan, Mohd. Baharom.
Namun, ada cerita menarik di sebalik nama yang sedap didengar itu.
“Nama itu diberikan kepada saya oleh ayah sempena nama nenek saya.
“Tetapi kalau nama Siti, saya sendiri tidak tahu asal-usulnya. Nama yang memang Melayu dan bagi saya, ia kedengaran manis.
“Saya tahu ayah saya mahu mengekalkan akar umbi sejarah keluarga melalui nama. Namun, di rumah masih ada terbias nama-nama manja.
“Saya kadangkala digelar Sally oleh rakan-rakan,” ujarnya yang bangga membawakan nama itu.
![]() |
| TERDEDAH dengan dunia pengiklanan komersial sejak di bangku sekolah menjadi bekalan berbaloi untuk Saleha meluncur laju masuk ke persada lakonan arus perdana. |
Mengimbas kembali sejarah seni gadis kelahiran Kuala Lumpur ini, dia sebenarnya sudah menunaskan bakatnya ke dalam dunia peragaan dan komersial sejak usia 12 tahun.
Ketika anak-anak lain sibuk mengelek buku, dia sempat meluangkan masa menjual wajah bagi tujuan komersial. Maxis, Astro dan roti Gardenia antara produk yang meminjam wajah comel Saleha.
Bakat dalam peragaan diteruskan di samping pencarian duit sendiri sejak usia muda remaja. Entah bagaimana katanya, jalannya terbelok ke cabang lakonan.
Hanya dengan menghadiri satu uji bakat atas permintaan agensinya, dia sempat memperjudikan debut lakonan dalam siri 5 Jingga yang pernah ditayangkan di TV3.
Waktu itu usianya baru masuk 18 tahun. Bagi Saleha itu adalah rezeki yang tidak perlu diragu untuk dikuak pintunya.
“Saya bukanlah gadis pasukan sorak di sekolah. Tidak seglamor itu tetapi saya dapat merasakan suasana itu malah belajar asas lakonan melalui drama pertama saya.
“Ternyata percubaan itu membuatkan saya jatuh cinta dengan dunia lakonan,” ujarnya yang gembira diberi peluang berlakon beriringan dengan Jehan Miskin, Sasha Baseer dan Tony Eusoff.
Habil dan Qabil
Rezekinya tidak hanya di situ, ternyata percubaan pertama dengan cinta yang sudah berputik membuahkan hasil seterusnya dengan membintangi drama 50 episod, Kecuali Cintamu.
Katanya, drama itu benar-benar membentuk kesabarannya menjadi pelakon. Dia sempat merasakan tungkus-lumus menyiapkan 50 adegan dalam masa satu hari.
Dia juga muncul dalam siri Kasut Tumit Tinggi di saluran Astro. Serentak dengan itu, dia mula yakin untuk meluaskan percubaan dan getar dirinya menghadap realiti bergelar pelakon. Muncul dalam Stage Therapy, teater Inggeris itu seakan merawat gementarnya di atas pentas.
“Sukar sebenarnya menjadi pelakon teater tetapi saya cuba dan ternyata saya dapat melawan rasa takut di atas pentas,” ujarnya yang turut muncul dalam siri Awan Dania 2.
Kini dia bangga berada di bawah pucuk pimpinan Faizal Ishak, salah seorang anak didik pengarah terkenal Khabir Bhatia.
Drama Habil dan Qabil yang menghimpunkan pelakon hebat seperti Aaron Aziz, Zed Zaidi, Rashidi Ishak dan Abby Abadi turut menyelitkan namanya untuk memperjuangkan sebuah penceritaan yang mengambil sedikit sikap anak-anak Nabi Adam tersebut.
“Saya teruja dapat bekerja dengan produksi Khabir Bhatia dan ini kali pertama lakonan saya bakal muncul di saluran TV3. Bagi saya ini satu pencapaian yang besar.
“Walaupun hanya akan muncul di pertengahan siri, namun saya gembira.
![]() |
| SERIUS mahu menjual bakat sebagai anak seni, Saleha tidak mahu memilih soal tawaran. Lebih banyak karya yang menyenaraikan namanya, lebih banyak ilmu yang dapat diserap ke jiwa. Namun, jika diberi pilihan, Saleha gemarkan genre seram, itu lebih seronok, katanya. |
“Saya percaya saya seorang yang cepat belajar sebagai pelakon,” tegas seorang pelakon yang juga pelajar di Kolej Inti ini.
Jujur gadis yang bakal muncul dalam filem akhir tahun ini berbicara tentang masalah utamanya bergelar pelakon.
Tanpa segan silu dia menyatakan dia ada masalah bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul.
“Itu masalah utama saya. Memang susah apabila menjadi anak kacukan apabila saya sebenarnya gagal berbahasa Melayu dengan betul.
“Saya sering diketawakan kerana slanga bahasa Melayu yang tidak betul.
“Untuk mengatasinya, saya dinasihatkan oleh rakan-rakan supaya berkawan dengan orang Melayu lebih daripada biasa,” ujarnya yang lebih gemar bercakap bahasa Inggeris di rumah.
Ujarnya, dia mahu kelihatan semula jadi apabila membawakan watak gadis Melayu.
Bukan cuba menidakkan jati diri sebagai anak Melayu namun darah Inggeris yang dibawa daripada salasilah sebelah ibunya membuatkan lidahnya pelat sedikit.
Namun, Siti Saleha yakin itu bukan masalah yang perlu dikendongnya sepanjang hayat.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: