SEKALIPUN mewarisi kepandaian memasak daripada ibu sendiri, Noraida Mohd Sulung, 42, mengambil masa selama 13 tahun untuk memastikan produknya berjaya memenuhi cita rasa pelanggan sekali gus memantapkan kejayaannya dalam dunia perniagaan.
WARISAN KELUARGA...Noraida (kiri) bersama ibunya, Imah yang menjadi pendorong utama dirinya dalam bidang perniagaan.
Kedainya yang turut menjual produk Industri Kecil Sederhana (IKS) daripada pengusaha kecil-kecilan sekitar Kuantan, dirasmikan Pengerusi Giat Mara Malaysia, Datuk Shahiruddin Moin, Februari lalu.
Menceritakan detik awal pembabitannya dalam dunia perniagaan membuat makanan tradisional, anak bongsu daripada 12 beradik itu berkata, perniagaannya bermula dengan membuat sos cili dan sos tomato sekitar 1980-an bersama beberapa rakan di Kampung Pandan, Kuantan.
Menurutnya, perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan itu memberi satu kelebihan apabila bengkelnya menjadi contoh produk IKS yang berjaya hasil bimbingan Jabatan Pertanian dan Mardi.
Bagaimanapun, katanya, perniagaannya yang semakin berkembang itu terpaksa dihentikan sementara kerana menerima tempias kegawatan ekonomi yang melanda negara sekitar 1997 hingga 1998.
"Operasi bengkel tergendala dan kami mengalami kerugian kerana harga bahan mentah terutama lada dan tomato melambung sehingga tiga kali ganda.
"Bayangkan, lada yang dijual pada harga RM2.50 terpaksa dibeli dengan harga RM7.50 sekilogram," katanya menceritakan detik niaga paling pahit dalam hidupnya.
Enggan menyerah kalah, sebaik mengundur diri dari bengkel itu, Noraida meminta izin ibunya memulakan perniagaan membuat kuih bahulu menggunakan resipi tradisi turun temurun warisan keluarga mereka dengan modal permulaan RM1,000 untuk pembelian mesin pengisar dan ketuhar pembakar.
Bersama ibunya, Imah Samin, 80-an, Noraida memulakan perniagaan membuat dan menjual bahulu di rumahnya di Kampung Pandan, Kuantan sebelum berpindah ke lokasi perniagaan di Jalan Gambut pada 1997.
"Hasad dengki dalam perniagaan tetap ada dan saya turut mengalaminya tetapi bagi saya, selagi kita jujur dan amanah serta berpegang kepada agama, semuanya dapat diatasi.
"Alhamdulillah, berkat doa ibu dan adik-beradik, saya sampai juga ke tahap saya kini," katanya yang pernah menjuarai pertandingan gubahan dan masakan peringkat kebangsaan ketika berusia 14 tahun.Dengan dibantu lima pekerja remaja lelaki, syarikatnya terus mengorak langkah meningkatkan prestasi jualan dengan menerima tempahan untuk majlis perkahwinan, majlis rasmi, hamper dan cenderamata untuk jabatan kerajaan serta swasta selain tempahan orang perseorangan.
Lebih membanggakan wanita bersemangat waja ini apabila dua anaknya, Siti Khadija, 22, dan Mohamad Kamarul, 20, turut membantu mengembangkan perniagaannya dari segi pengurusan kewangan dan kepakaran membuat kuih bahulu.
"Saya terharu kerana mereka sedia bekerja dengan saya walaupun mampu membina rangkaian perniagaan sendiri," katanya.
Anaknya yang lain Muhamad Maal Sobirin, 25, Muhamad Firdaus, 15, Nur Kamaliah, 13, dan pasangan kembar berusia enam tahun, Mohamad Nabil Aiman dan Nur Nabilah Ainah.
Walaupun sibuk, Noraida tetap mengambil peluang mengikuti pelbagai kursus anjuran Giat Mara, Risda, Pertubuhan Peladang Kawasan Kuantan, Jabatan Pertanian, Mardi dan badan sukarela bagi memperbaiki mutu rasa, bentuk serta teknik pembungkusan produk yang dihasilkan.
"Sehingga kini sudah lebih 40 kursus di pelbagai bidang masakan, pemakanan, gubahan dan kecantikan disertai. Saya juga mengadakan bengkel masakan dan latihan kemahiran kepada individu yang berminat.
"Saya gembira dan bangga kerana hasil didikan saya, ada peserta sudah memiliki perniagaan sendiri yang diusahakan secara kecil-kecilan, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan keluarga," katanya yang pernah menyertai program lawatan sambil belajar di Thailand, Jepun dan Indonesia bagi meningkatkan lagi mutu produk keluaran syarikatnya.
Noraida juga meletakkan sasaran syarikatnya untuk menjadi syarikat yang kukuh, cekap dan berdaya saing.
"Malah saya sedang berusaha untuk memasarkan produk saya ke luar negara dan kini masih mencari peluang bagi tujuan itu.
"Saya memerlukan sokongan daripada semua pihak sama ada institusi kewangan, agensi kerajaan dan swasta dalam usaha mencari pasaran di peringkat antarabangsa. Ia bukan sesuatu yang mustahil untuk melakukannya," katanya yang juga berkemahiran membuat pelbagai jenis kek dan biskut.
"Berpegang pada prinsip 'saya boleh' sejak hari pertama menceburkan diri di bidang perniagaan, saya percaya produk makanan tradisional mampu diketengahkan di pasaran luar negara.
"Ini kerana setiap kali pameran dan promosi jualan yang saya sertai, pelancong asing amat menggemari produk makanan yang ditawarkan," katanya yang juga berkemahiran membuat pelbagai jenis kek dan biskut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: