SEBELUM ini, peminat terbiasa menyaksikan Ana Raffali yang sinonim dengan imej baju kurung atau berkebaya menghibur bersendirian di atas pentas kecil. Ditambah penyatuan vokal lunak sambil memeluk serta memetik gitar kesayangan, itu ciri khas penyanyi dan komposer berbakat besar tersebut tatkala membuat persembahan.
Lebih setahun menemani umum dengan karya-karya terlahir dari isi hatinya, barangkali ada di antara kita tidak mengetahui kelibat wanita berusia 25 tahun itu sebenarnya sentiasa dibayangi pemuzik iringan bagi mengukuhkan persembahan dan bunyi-bunyian muzik ciptaannya.
Tanpa berselindung, pemilik nama berdaftar Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali yang baru setahun jagung dalam lapangan seni meluah keterujaan kerana meraih sokongan daripada para pemuzik digawangi individu-individu profesional dikenali sebagai The Marhaens.
"Para pemuzik ini terdiri daripada kawan-kawan baik Aidit Alfian yang amat menyukai muzik dibawakan oleh saya. Paling terharu, mereka sendiri menyerah diri mahu menyumbang kepakaran masing-masing ketika saya bikin album dan menjayakan persembahan berskala besar.
"Kumpulan pemuzik ini ditubuhkan sejak dua tahun lalu ketika awal saya mengikat kontrak dengan Aidit Alfian Records. Terus terang, mereka tidaklah sentiasa mengikut saya menjayakan undangan nyanyian kerana masing-masing ada komitmen kerja selain bermain muzik.
"Walaupun muncul dengan dibantu The Marhaens, pada penghujungnya, Ana Raffali ingin dikenali sebagai penyanyi dan komposer. Saya anggap kehadiran pemain-pemain muzik yang dirasakan macam ahli keluarga ini sebagai bonus," katanya ketika ditemui pada pelancaran album debutnya, Ketika Aku Kecil di ibu negara Selasa lalu.
Ana yang mula dikenali dengan lagu hasil nukilannya, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur itu menyambung bicara, The Marhaens ibarat alumni yang memiliki 13 pemuzik iaitu Aidit, Andy Flop Poppy, Alfa Booty, Geeka, Rohnie, Rumie Booty, Mie, GG, Cha'a, Iqbal, Bobo, Pito dan Nazrin.
"Mereka sebelum ini banyak membantu saya membuat persembahan. Biasanya, saya akan ditemani oleh enam pemain muzik. Kalau buat pertunjukan pentas biasa, saya sebaliknya hanya ditemani minimum seorang ahli sama ada Aidit atau orang lain. Bergantung kepada kelapangan setiap daripada mereka.
"Hubungan kami agak rapat apatah lagi selain bertindak selaku pemuzik sokongan sejak 2008, The Marhaens juga membantu penghasilan album pertama saya. Seperti diberitahu tadi, mereka sudah menjadi sebahagian keluarga yang mengiringi perjalanan karier seni saya.
"Mungkin selama ini peminat tidak nampak pengorbanan sebenar The Marhaens kerana mereka banyak terlibat di belakang tabir. Buat saya sendiri, setiap usaha dan penat lelah para pemuzik ini pastinya tidak mampu saya lupakan sehingga bila-bila," ungkap Ana yang mengagumi aura M. Nasir sebagai komposer dan penyanyi terbilang.
Album perdana
Mempersembahkan album Ketika Aku Kecil sejak lebih sebulan lalu, anak kelahiran Kuala Lumpur yang menjadi 'artis pertama' Aidit menganggap naskhah sulung itu menzahirkan signifikan kepada dirinya.
Menurut graduan jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, album tersebut berperanan sebagai perkenalan dirinya yang masih baru kepada orang ramai.
"Saya masih baru dan kecil dalam bidang ini. Justeru, saya memerlukan sokongan daripada para peminat. Dan album Ketika Aku Kecil menjadi wadah terbaik saya memulakan langkah sebagai penyanyi dan penggubah lagu.
"Sejujurnya, lagu-lagu dalam album ini diluah ikhlas dari hati sendiri. Ia turut menjelaskan perangai sebenar saya yang suka berangan. Bukan itu saja, ia berkisar pengalaman dilalui oleh rakan-rakan di sekeliling," tuturnya yang menyatakan darah seni itu sudah mengalir deras dalam setiap ahli keluarganya menerusi variasi cabang.
|
|
Hanya menonjolkan enam lagu dalam album Ketika Aku Kecil, Ana bagaimanapun sudah berpuas hati dengan segala perancangan dilakukan oleh Aidit Alfian Records.
"Biar sikit saja jumlah lagu dalam album ini. Secara tidak langsung, saya dapat hasilkan album berkualiti kepada peminat. Saya juga menyasarkan naskhah ini dijual secara menyeluruh termasuk orang luar bandar," akui Ana yang tidak menganggap kehadirannya dalam bidang ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan rakan-rakan seangkatan seperti Yuna dan Zee Avi.
Album Ketika Aku Kecil edaran Universal Music Malaysia yang mula menemui khalayak sejak awal Mei lalu menampilkan enam lagu. Lagu-lagu itu terdiri daripada Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Cuba Jangan, Tolong Ingatkan Aku, Ketika Aku Kecil, Biarkan Kau Terlepas dan Bentes.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: