Friday, June 11, 2010

Misi mengurangkan emisi karbon


MENGURANGKAN pelepasan gas rumah hijau antara langkah yang dapat membendung kesan perubahan iklim. - Gambar hiasan


MENYEDARI perubahan iklim dunia, Malaysia menetapkan sasaran mengurangkan emisi karbon dioksida (CO2) kepada 40 peratus menjelang tahun 2020.

Komitmen secara sukarela itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen akhir tahun lalu.

Ia dilihat sebagai langkah positif negara bergerak ke arah ekonomi karbon rendah. Perubahan iklim dan pemanasan global secara tidak langsung memberi kesan kepada survival ekonomi Malaysia selaku negara membangun.

Perubahan cuaca tidak menentu seperti taburan hujan, ribut petir dan hakisan di beberapa lokasi di pesisiran pantai di negara ini akan menjejaskan aktiviti ekonomi di kawasan terbabit.

Sehubungan itu, negara tidak mempunyai pilihan kecuali mengurangkan pelepasan gas rumah hijau termasuk CO2 bagi membendung kesan perubahan iklim dan pemanasan global.

Timbalan Setiausaha Bahagian Konservasi Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr. Gary W. Theseira berkata, dalam konteks ini kerajaan mengenal pasti tiga strategi utama bagi mengurangkan emisi karbon menjelang tahun 2020.

"Satu daripada strategi itu ialah pengurusan sisa pepejal," katanya dalam pembentangan mengenai komitmen Malaysia dalam pengurangan gas rumah hijau itu pada Persidangan dan Pameran Pengurusan Sisa 2010 di ibu negara baru-baru ini.

Persidangan dan Pameran bertemakan 1Green Malaysia itu dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Environmental Management and Research Association of Malaysia (ENSEARCH).

Mengulas mengenai strategi pengurusan sisa pepejal, Dr. Theseira berkata, kerajaan menetapkan sasaran kitar semula kepada 22 peratus menjelang tahun 2020 berbanding kadar kitar semula negara yang berada pada tahap lima peratus ketika ini.

Proses pereputan sampah

Selain itu melalui pembinaan lebih banyak tapak pelupusan sanitari, kerajaan juga menetapkan sasaran 75 peratus gas metana (CH4) yang dihasilkan di tapak pelupusan, diserap dan dijana sebagai tenaga elektrik.

CH4 ialah antara gas rumah hijau, selain CO2 yang mengancam lapisan ozon dan menyebabkan kesan pemanasan global dengan sebahagian besarnya dihasilkan melalui proses pereputan sampah dalam tempoh tertentu.

Berbanding tapak pelupusan biasa yang beroperasi secara terbuka dengan risiko bau, penyakit dan pencemaran alam sekitar, tapak pelupusan sanitari mempunyai sistem paip menyerap CH4 sebelum ditukarkan kepada tenaga elektrik.

Selain strategi pengurusan sisa pepejal, dua strategi bagi mengurangkan emisi karbon ialah meningkatkan kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.

Menjelang tahun 2020, permintaan tenaga elektrik negara dijangka mencecah 20,000 megawatt. Sehubungan itu kerajaan menetapkan sasaran meningkatkan kecekapan tenaga kepada tiga peratus berbanding kecekapan sekarang.

Peningkatan kecekapan tenaga dijangka memindahkan sembilan juta tan CO2 manakala tenaga boleh diperbaharui dijangka mengurangkan 11 juta tan CO2 dan pengurusan sisa pepejal pula akan mengurang sebanyak 10 juta tan.

"Keseluruhan tiga sektor itu akan mengurangkan 30 juta tan CO2," katanya.

Seorang lagi panel pada persidangan itu yang juga pakar dalam pengurusan sisa pepejal daripada Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. P. Agumuthu berkata, pengurusan sisa pepejal perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Dianggarkan di antara 11 peratus hingga 12 peratus daripada pengeluaran CH4 di peringkat global berpunca daripada tapak pelupusan yang tidak diuruskan dengan baik.

Agumuthu berkata, pengurusan sisa pepejal juga dikenal pasti sebagai antara tiga penyebab utama penyusutan kualiti alam sekitar dalam kebanyakan negara Asia termasuk Malaysia.

Dalam konteks Malaysia, 90 peratus sampah yang dihasilkan di negara ini dilupuskan di 290 tapak pelupusan sampah dengan sebahagian kecilnya ialah tapak pelupusan sanitari yang mesra alam.

Daripada jumlah itu, hanya 176 tapak pelupusan masih aktif. Sebelum ini, pakar pengurusan sisa pepejal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Ir. Dr. Hassan Basri menyifatkan pengurusan sisa pepejal negara agak kritikal untuk jangka panjang ekoran hanya tujuh daripada 290 tapak pelupusan sampah ialah tapak pelupusan sanitari.

Ini bermakna kurang 2.5 peratus daripada keseluruhan tapak pelupusan sisa diuruskan dengan baik dan selebihnya beroperasi secara terbuka dengan risiko pencemaran air dan udara.

Pencemaran air dikaitkan dengan air larut resapan (lechate) ke dalam sumber air bawah tanah manakala pencemaran udara disebabkan pembebasan CH4 yang terhasil daripada proses pereputan sampah.

Pakar dan aktivis alam sekitar pula menyifatkan kerancakan ekonomi juga menyebabkan persaingan guna tanah yang tinggi, sekali gus menyebabkan pembinaan tapak pelupusan sampah baru sebagai proses yang rumit.

Hal ini juga selari dengan peningkatan populasi yang semakin meningkat. Dalam konteks ini, Agumuthu berkata, semua pihak termasuk kerajaan tidak mempunyai pilihan selain memandang serius terhadap pengurusan sisa pepejal bagi menentukan kelangsungan alam sekitar dan ekonomi negara.

Langkah terbaik ialah mengurangkan jumlah sisa seperti kitar semula dan pengasingan sampah selain menambah baik infrastruktur yang ada.

"Pengurusan sisa pepejal mempunyai potensi mengurangkan sehingga 20 peratus pengeluaran gas rumah hijau di peringkat global," katanya. Beliau berpendapat, sudah tiba masanya Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dikuatkuasakan bagi memastikan pengurusan sisa pepejal negara lebih efisien.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: