Friday, June 11, 2010

Hab haiwan Afrika Selatan




MULAI hari ini perhatian masyarakat dunia tertumpu kepada Afrika Selatan. Umum mengetahui negara yang mempunyai 11 loghat bahasa itu menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

"Kami bukan sahaja tuan rumah yang menawarkan kehangatan perlawanan bola sepak sebagai pasukan yang hebat, bahkan kami turut mengajak pelancong memeriahkan dan memberi sokongan kepada pasukan pilihan melakukan pelbagai aktiviti menarik dan mengujakan seperti menyaksikan hidupan liar dengan lebih dekat.

"Pada pendapat saya Piala Dunia 2010 bukan bola sepak semata-mata. Tapi, ia melibatkan aktiviti menyeronokkan dengan meluangkan masa berkunjung ke Taman Negara Kruger khususnya," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kruger, Abe Sibiya.

Menyorot sejarah Afrika Selatan 16 tahun lalu, negara yang mempunyai keluasan tanah 122 juta hektar itu lebih selesa meminggirkan diri berbanding menerima kunjungan dunia luar. Namun segala-galanya berubah setelah Afrika Selatan bebas daripada kepompong dasar aparteid komuniti kulit putih.

Sebaik berjaya melangsungkan pilihan raya secara demokratik sekitar tahun 1994, Afrika Selatan yang terkenal dengan lubuk spesies hidupan liar bersiap siaga membuka pintu untuk pelancong asing. Apa yang membanggakan, pada tahun yang sama seramai tiga juta pelancong dicatatkan berkunjung ke sana.

Pada tahun 2006 saja, Afrika Selatan mencatatkan kehadiran hampir 7.4 juta pelancong. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan lebih sepuluh peratus berbanding tahun 2004. Ini termasuklah 1.3 juta pelancong dari Eropah dan 275,000 lagi dari Amerika Utara.

Menurut bekas Timbalan Presiden Afrika Selatan, Phumzile Mlambo-Ngcuka, industri pelancongan di negara itu telah mengatasi sektor ekonomi dan perindustrian lain termasuklah perlombongan emas.

Hidupan liar


KEHADIRAN pelancong asing ke Afrika Selatan membantu meningkatkan industri pelancongan negara tersebut.


"Industri pelancongan adalah pendapatan utama bagi kami. Peningkatan pelancong asing ke Afrika Selatan sebenarnya membantu meningkatkan ekonomi negara," ujar Phumzile Mlambo-Ngcuka.

Meskipun Afrika Selatan mencatat kadar jenayah yang agak tinggi berbanding negara-negara lain tetapi sehingga kini ia masih menjadi tumpuan pelancong. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah mendedahkan di antara tahun 1998 hingga tahun 2000, Afrika Selatan berada pada tahap kedua bagi kes bunuh manakala kes rogol pula mencatat jumlah kes teratas.

Namun haiwan liar yang dibiarkan bebas di beberapa buah taman negara dan persekitaran semula jadinya antara faktor yang menambat hati pelancong berkunjung ke Afrika Selatan. Kewujudan hidupan liar yang banyak disifatkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menarik pengunjung ke Afrika Selatan. Dijangkakan bilangan pelancong akan bertambah sepanjang berlangsungnya perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Menurut Pengarah Zoo Negara Malaysia, Dr. Mohamad Ngah, jika dikaji asal usul kebanyakan hidupan liar bermula di Afrika Selatan. Kawasan yang luas, berbatu-batu dan cuaca panas antara faktor yang ideal untuk kehidupan serta jangka hayat haiwan-haiwan liar.

"Dengan adanya haiwan liar yang unik telah menjadikan Afrika Selatan terkenal sebagai negara yang mempunyai taman negara haiwan liar dan pakej safari terbaik. Safari bermaksud individu yang berada di dalam kenderaan sambil melihat kumpulan haiwan yang bergerak bebas.

"Segelintir masyarakat berasa gerun untuk berkunjung ke ke kawasan seperti itu kerana gusar diancam atau dicederakan oleh haiwan-haiwan liar. Tapi jangan bimbang kerana kebanyakan safarinya dikawal oleh renjer yang terlatih. Lagipun haiwan liar, contohnya harimau, tidak akan mengganggu manusia sekiranya kita tidak mengancam atau sengaja mengganggunya," terang Mohamad kepada Kosmo!.


AFRIKA SELATAN membantah aktiviti memburu secara haram.


Mohamad turut melahirkan rasa kecewa apabila hidupan liar di Afrika Selatan semakin pupus dan berkurangan berbanding tahun 1960-an. Keadaan itu berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pemburu haram yang menangkap dan membunuh haiwan-haiwan liar berkenaan.

"Pemburu berebut-rebut ke Afrika Selatan untuk memburu haiwan liar yang menjanjikan pulangan jutaan dolar. Kepelbagaian hidupan liar dan landskap yang luas telah menarik minat 9,500 pemburu asing setiap tahun.

"Kebanyakan spesies di sini sukar ditemui di tempat lain. Misalnya, spesies antelop yang berbeza dan haiwan besar," tutur Ketua Eksekutif, Persatuan Pemburu Profesional Afrika Selatan, Gary Davies.

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berjalan bersebelahan haiwan liar istimewa yang dikenali sebagai Big Five seperti harimau bintang, singa, gajah, badak sumbu dan kerbau, peluang melawat Taman Negara Kruger usah dilepaskan.

Taman tersebut turut didiami oleh 142 spesies mamalia dan 507 spesies burung. Ia merupakan taman negara ketiga terbesar dan salah satu taman tertua di Afrika Selatan. Sejak memulakan operasi pada tahun 1898, taman seluas 19,000 kilometer (km) persegi itu dianggarkan menerima kehadiran 1.4 juta pelancong setiap tahun.

Hab pelancongan haiwan di Afrika Selatan tidak hanya terhad di Taman Negara Kruger, sebaliknya ia boleh dinikmati di Cape Town iaitu destinasi pelancongan yang bercirikan Eropah dan Afrika. Di sana pengunjung berpeluang melihat haiwan di darat mahupun di laut.

Salah satunya pusat burung kasawari di Outshoorn. Pelancong berpeluang menunggang burung kasawari dan berdiri di atas sebiji telur kasawari yang saiznya menyamai 24 biji telur ayam jika dikumpulkan. Telur kasawari mengambil masa dua jam untuk direbus.

Tarikan pelancongan melihat haiwan termasuklah akuarium bertaraf dunia atau melihat ikan paus di perkampungan kecil di tepi pantai, Hermanus.


KUMPULAN gajah antara hidupan liar yang boleh ditemui di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan.


Pemangsa paling ditakuti

Namun di sebalik keterujaan para pelancong dari pelosok dunia untuk bermesra dan menyaksikan hidupan liar dengan lebih dekat, segelintir penternak di Cederberg, Afrika Selatan pula menganggap hidupan liar terutamanya harimau bintang sebagai ancaman utama pada haiwan ternakan. Mereka mendakwa kewujudan harimau bintang dalam jumlah yang banyak di kawasan tersebut telah menyebabkan ternakan peribadi mereka dimakan dan dilarikan.

Enggan membiarkan situasi itu berlanjutan sehingga mendatangkan kerugian, sesetengah peladang sanggup membunuh harimau bintang yang masuk ke kawasan ladang mereka. Insiden itu didedahkan sendiri oleh Program Tindakan untuk Alam Sekitar dan Kemanusiaan (CAPE) menerusi laporan kajian yang dijalankan pada bulan Januari lalu.

Dalam laporan tersebut, CAPE mendapati para peladang telah memasang perangkap buatan sendiri ataupun menembak harimau bintang yang cuba menjadikan haiwan ternakan sebagai makanan mereka. Namun dalam keterangan CAPE, sebahagian harimau bintang yang sihat sebenarnya cenderung untuk sengaja membunuh ternakan berbanding untuk memakan ternakan berkenaan.


PARA pelancong merakamkan foto haiwan liar yang bebas bergerak di kawasan lapang safari di Afrika Selatan.


Kesan pembunuhan tanpa kawalan itu telah menyebabkan jumlah harimau bintang semakin susut. Secara tidak langsung keadaan tersebut mendorong kumpulan pencinta haiwan di Afrika Selatan berusaha mempraktikkan alternatif terbaik bagi menangani masalah kepupusan harimau bintang.

Kaedah konvensional menggunakan anjing gembala biri-biri dianggap cara terbaik untuk tujuan itu.

Pada masa yang sama kumpulan pencinta hidupan liar itu turut bertindak menyedarkan para penternak bahawa kehilangan harimau bintang dalam jumlah yang besar menjejaskan industri pelancongan di negara tersebut.

Pengasas Unit Amanah Cape Harimau Bintang dan Zoologi, Quinton Martins berharap kaedah yang dipraktikkan oleh aktivis haiwan liar dapat menyelamatkan harimau bintang terus dibunuh kerana kewujudan harimau bintang turut menyelamatkan keseimbangan ekosistem.

"Walaupun harimau bintang antara pemangsa yang paling ditakuti di Cederberg tetapi spesies ini mendatangkan kebaikan pada keseluruhan ekosistem di sini," jelas Quinton Martins yang mengusahakan unit tersebut bersama isterinya, Nicole.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: