|
|
Di tengah kesibukan kota metropolitan, Kevin Wong sempat meluangkan masa berlari selepas sahaja tamat waktu bekerja. Bagi sesetengah orang, waktu petang ini diluangkan untuk berehat.
Tambahan pula, bulan ini dipenuhi dengan jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia. Tidak menghiraukan apa yang berlaku, Kevin meneruskan lariannya. Dapat berlari sekurang-kurangnya 10 kilometer sudah memadai. Terlibat dalam acara maraton terbesar dan bertaraf dunia, Standard Chartered KL Maraton (SCKLM) 27 Jun ini, Kevin melakukan persiapan awal untuk stamina.
Sebelum terlibat dalam acara maraton tiga tahun lalu, Kevin terlibat dalam acara sukan seperti futsal. Bekerja keras melawan kolestrol, Kevin memang gemar dengan aktiviti lasak ini. Namun, di sebalik kecergasan Kevin, dia sering tercedera kerana bermain futsal. Justeru itu, dia mengambil keputusan untuk berhenti bermain futsal dan mencuba aktiviti sukan lain.
Kebetulan pada tahun 2007, majikannya, Standard Chartered menawarkannya untuk turut serta dalam acara Maraton Standard Chartered di Singapura. Sejak dari itu, Kevin menumpukan latihan untuk acara maraton.
Di samping menjaga kesihatan, aktiviti seperti ini menggalakkan dia bangun awal setiap pagi.
"Jika orang lain sedang enak dibuai mimpi, saya pula akan bangun pagi untuk latihan. Saya perlu banyak melakukan senaman untuk mengurangkan tahap kolestrol saya. Keluarga saya memang mempunyai masalah tahap kolestrol. Pada umur lewat 30, saya berpendapat sukan membantu mengatasi masalah ini. Saya beranggapan, berlari adalah yang terbaik," ujarnya.
Berkongsi masa latihannya, Kevin melakukannya tiga atau empat kali seminggu. Kebanyakan waktu latihan dilakukan pada waktu pagi.
Bagi memastikan stamina stabil, Kevin akan berlari sekurang-kurangnya enam hingga tujuh kilometer.
Katanya, pada waktu latihan dia akan mencuba laluan berbukit kerana dia tahu berat badan yang dimilikinya sekarang menyukarkannya.
Dua minggu sebelum acara maraton sebenar, Kevin akan menjaga pemakanan terutamanya mengurangkan makanan berminyak dan manis.
Namun, Kevin berlari bukan semata-mata untuk mendapatkan pingat emas. Baginya, dia perlu menamatkan larian separuh maraton sebelum pukul 9 pagi.
Di sebalik penglibatan Kevin dalam maraton, dia bersyukur kerana keluarganya banyak memberi sokongan.
Selain isteri dan anak-anak, adik-beradik Kevin turut memberi sokongan kepadanya untuk aktif dalam acara maraton.
"Kebetulan adik saya turut menyertai maraton ini. Bagi kami, ia bukanlah untuk pingat tetapi kepuasan diri sendiri termasuk memperbaiki kesihatan. Pada awal penglibatan saya dengan maraton, saya banyak buat kajian termasuk cara latihan. Saya mempunyai saiz badan besar, justeru itu saya perlu mengawal pemakanan dengan mengamalkan diet sihat. Dalam badan kita, terdapat kolestrol jahat dan baik. Jika kita menjaga pemakanan dan aktif bersukan, kolestrol baik akan bertambah dan mengawal kolestrol jahat," ujarnya.
Ditanya kenapa memilih sukan larian, Kevin berkata, aktiviti ini menenangkan dia.
Dengan berlari, Kevin dapat merehatkan minda. Jika banyak konflik kerja yang perlu difikirkan, berlari dapat membantu dia mengosongkan fikiran. Bahkan, dia mendapat idea baru menyelesaikan konflik tersebut.
Maraton juga banyak mengubah kehidupannya.
Kevin kini lebih penyabar dan menjadi lebih positif.
"Bagi mereka yang baru mencuba sukan ini, jangan paksa diri. Masing-masing perlu tahu had potensi diri yang ada," katanya yang turut mencuba minuman isotonik untuk menambah tenaga.
Dalam pada itu, SCKLM berjaya menyasarkan lebih kurang 16,500 penyertaan daripada 60 negara bagi mengambil bahagian dalam lima kategori yang dipertandingkan.
Edisi kedua ini akan berlangsung pada 27 Jun depan dan antara kategori yang dipertandingkan ialah maraton 42.195 kilometer (km), separuh maraton 21km, larian 10km, larian keluarga 5km, larian kanak-kanak 3km dan 80 meter.
Larian akan bermula di Dataran Merdeka mengikut kategori seawal pukul 5 hingga 8.30 pagi. Sementara itu, terdapat juga gerai-gerai jualan menarik untuk dilawati pengunjung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: