|
|
PENDAKIAN ke puncak gunung kelima tertinggi di Malaysia, Gunung Mulu yang terletak di Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak begitu mencabar fizikal dan minda.
Seramai sembilan pendaki terpaksa meredah subuh seawal pukul 3.15 pagi apabila jadual asal dipinda oleh pemandu arah yang dikenali sebagai Epol.
Perubahan terpaksa dilakukan bagi mengelakkan pertembungan dengan kumpulan pendaki dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kem 3.
Pertembungan itu perlu dielakkan kerana kawasan kem itu hanya mampu menampung 15 orang pada satu masa.
Hari pertama: Tiba dengan pesawat ATR 72-500 MasWing pada pukul 2.55 petang. Sebaik saja tiba di Mulu Park diperkenalkan dengan Epol. Namun kami diberitahu hanya boleh memulakan perjalanan keesokan hari kerana sudah lewat.
Hari Kedua: Perjalanan memang santai. Peserta meninggalkan Mulu Park pada pukul 10.30 pagi dan singgah di tepi sebatang sungai yang jernih airnya untuk menikmati nasi lemak.
Perjalanan diteruskan ke Kem 1 dan tiba pada pukul 1.56 petang.
Kem itu yang terdiri daripada sebuah pondok mempunyai kemudahan yang cukup asas dan terletak di di tepi sungai.
Ia dilengkapi paip air, sinki, tempat memasak, kabinet menyimpan barang dan tandas.
Oleh kerana hari masih awal, kami menyediakan makan malam awal dan menikmatinya pada pukul 6 petang.
Selepas itu, 'terpaksalah’ tidur awal kerana perlu bangun sebelum subuh untuk berkemas dan memulakan perjalanan ke Kem 4.
Hari ketiga: Tepat pukul 2 pagi, jam loceng milik Nizam Ahmad (Shakey’s ) berbunyi sekali gus membangkitkan mereka yang masih lena. Kem 1 ditinggalkan pada pukul 3.15 pagi.
Menurut Zaidi Bidin yang pernah mendaki Gunung Mulu sebanyak dua kali sebelum ini, perjalanan hari ketiga jauh dan mencabar kerana perlu menempuh laluan berbukit untuk ke Kem 3.
Memang benar apa yang dikata. Cuma para peserta bernasib baik dan tidak perasan jurang yang berada di sebelah mereka kerana mendaki pada waktu malam.
Dalam perjalanan itu, peserta singgah di Kem 2 pada pukul 4.25 pagi. Terdapat aliran anak sungai dan kesempatan itu digunakan untuk memenuhkan botol air serta berehat selama 10 minit.
Tiada kemudahan pondok kerana menurut Epol, jaraknya dekat dengan Kem 1, selain kawasan lapang yang terhad. Lokasi itu juga menjadi sumber air sungai terakhir. Selepas itu, bekalan air yang diperoleh adalah daripada tangki air hujan di Kem 3 dan Kem 4.
Kegelapan dan kedinginan subuh terus diredah. Saya berjalan bersama Jurimah Mohd. Ariffin (Ju) dan memang diakui agak tertekan kerana merasakan laluan yang ditempuh begitu ‘kejam’.
Tiada langsung laluan rata. Hati berasa sedikit lapang sebaik sahaja bertembung dengan sekumpulan pendaki dari Unimas yang ketika itu dalam perjalanan pulang menuju ke Mulu Park.
“Sudah dekat sangat. Di depan sana Kem 3,” ujar seorang daripada mereka ketikaberselisih. Kami sampai di Kem 3 pada pukul 7.52 pagi. Peserta berehat dan bersarapan sebelum meneruskan perjalanan ke Kem 4.
Perjalanan itu juga sangat ‘kejam’ kerana terpaksa menempuh laluan berair. Hujan menambah kesejukan. Lebih tersiksa apabila kasut dan stokin basah kerana laluan dipenuhi lopak-lopak air.
Berkat kesabaran dan kecekalan hati, peserta akhirnya sampai di Kem 4 pada pukul 2.15 petang. Zaidi, Shakey's, Suhaini Mohd Saad (Sue), Kamariah Ismail (Kak Kay) dan Haziana Mohd (Zian) tiba lebih awal.
Penatnya hanya Tuhan yang tahu dan setelah dicongak, rupa-rupanya perjalanan yang ditempuh telah dari Kem 1 ke Kem 4 mengambil masa 11 jam.
Sebaik sampai terus diadakan perbincangan untuk ke puncak. Antara cadangan ialah meneruskan perjalanan pada petang itu juga.
Ada pula yang mahu mendaki pada waktu subuh.
Memandangkan hujan tiba-tiba mencurah-curah dan badan pula sudah tidak larat untuk terus ‘diseksa’, maka kata sepakat dicapai iaitu pendakian ke puncak diadakan sebelum waktu subuh esok.
Hari keempat: Ini merupakan hari yang paling perit. Seawal pukul 3.20 pagi, peserta mula meredah kabus dan suhu dingin menuju ke puncak. Laluan masih becak, manakala cerun yang dipanjat lebih tegak .
Akar-akar pokok yang berselirat dan gaung di tepi laluan membuatkan kami begitu berhati-hati mengatur langkah.
Kami juga berhadapan dengan laluan bertangga yang dipacak di tebing cerun tegak 90 darjah.
Lautan bintang di langit menyejukkan sedikit hati yang mula tercalar dek penangan laluan yang ‘kejam’.
Memandangkan Zaidi dan Shakey’s berjalan laju, mereka berdua meninggalkan saya, Ju dan Zian di belakang. Yang lain, entah ke mana ‘hilangnya’. Perjalanan ini lebih sukar.
Tali temali disediakan untuk membantu pendaki melepasi cerun gunung yang tegak di mana kiri dan kanan laluan adalah gaung dengan jatuhan ratusan kaki ke lantai tanah.
Ketika berhempas pulas memanjat tebing, saya dapat melihat dengan jelas awam gemawan yang memutih di bawah telapak kaki saya.
Satu ketika, saya gagal ‘melonjakkan’ diri ke atas sehinggakan lutut terasa menggeletar dan jantung berdegup kencang. Takutnya Tuhan saja yang tahu.
“Tolong … tolong … tak boleh lepas ni,” jerit saya meminta bantuan. Nasib saya baik kerana Steplus (rakan guide) menarik tangan ke atas.
Itulah saat yang paling mendebarkan dalam ekspedisi ini. Dalam pada itu, kedengaran suara Zaidi melaungkan azan pada pukul 5.50 pagi.
Hati mula berbunga kerana puncak sudah semakin hampir.
Tanpa berlengah, lereng terus dipanjat dan tali terus dicapai untuk menarik diri ke atas.
Tepat pukul 6.05 pagi 14 Mei 2010 puncak Gunung Mulu di ketinggian 2,370 meter dijejaki.
Hampir 20 minit kemudian, barulah kesemua peserta tiba. Sebak rasanya kerana berjaya menamatkan misi menawan G12. G12 merujuk kepada 12 puncak-puncak gunung tertinggi di Malaysia iaitu Kinabalu, Trusmadi, Tambuyukon, Murud, Mulu, Tahan, Korbu, Yong Belar, Gayong, Chamah, Ulu Sepat dan Yong Yap.
Selepas sesi bergambar dan berkongsi satu tin longan yang dibawa oleh Benny Mustaffa Dayat di ‘atas awan’, kami turun semula ke Kem 4 dan tiba pada pukul pukul 9.30 pagi.
Tepat pukul 10.30 pagi, kami meninggalkan Kem 4 menuju ke Mulu Park. Epol berkata, kami dibenarkan meneruskan perjalanan ke Mulu Park jika sampai di Kem 1 sebelum pukul 6 petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: