Wednesday, June 9, 2010

Kerabat jadi dalang

GOMBAK: Seorang lelaki dipercayai kerabat istana antara enam suspek dicekup polis selepas dikesan menjadi dalang sindiket kegiatan mencuri dan menyeludup kenderaan mewah terbesar ke negara jiran.

DITEMUI...antara kenderaan mewah yang dicuri disimpan sementara di  IPD Gombak untuk siasatan lanjut.
DITEMUI...antara kenderaan mewah yang dicuri disimpan sementara di IPD Gombak untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, sindiket curi kenderaan mewah aktif sejak tahun lalu itu dipercayai melarikan ratusan kereta mewah bernilai lebih RM10 juta, terutama di Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kegiatan sindiket itu tumpas apabila enam suspek yang mempunyai dengan kaitan kegiatan sindiket men curi kenderaan mewah terbabit ditahan polis, sepanjang dua minggu lalu.


Sumber polis berkata, sindiket dianggap terbesar itu ditumpaskan selepas ahlinya berusia 34 tahun diberkas ketika cuba menghantar kenderaan curi terbabit ke utara tanah air, 24 Mei lalu.


“Berdasarkan siasatan, dia mendakwa ditugaskan menghantar kereta curi yang siap diubah suai ke Terengganu, kemudian diseludup ke negara jiran. Ketika ditahan, suspek memandu BMW.


“Suspek memberitahu dia menerima RM500 bagi setiap kereta diseludup. Setakat ini, suspek memberitahu pernah membawa 22 kereta dicuri dari Lembah Klang, Selangor dan Seremban,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan itu, polis Selangor menjalankan operasi memburu ahli sindiket berkenaan sebelum memberkas lima suspek dalam beberapa tangkapan berasingan.

“Suspek kedua berusia 22 tahun yang ditahan mendakwa diberikan peranan ‘budak’ penghantar kereta curi dengan upah sehingga RM500 bagi setiap kereta.


“Selain dua suspek terbabit, polis turut menahan kerabat istana dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket mencuri dan menyeludup kereta mewah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis menahan dua lelaki warga Timur Tengah dikesan membeli kenderaan curi terbabit daripada sindiket berkenaan.

“Sehingga ini, polis menemui semula kenderaan dicuri antaranya BMW, Toyota Harier, Toyota Estima dan pelbagai model kenderaan lain dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.


“Berdasarkan siasatan, sindiket mencuri kenderaan mewah itu dianggap profesional berikutan mempunyai bengkel khas yang digunakan untuk mengubah suai kenderaan terbabit terutama membabitkan nombor casis dan enjin kenderaan,” katanya.


Menurutnya, siasatan polis mendapati, suspek terlebih dahulu menukar nombor casis setiap kenderaan dicuri termasuk plet kenderaan selain cukai jalan palsu.


“Malah, polis percaya mereka turut mampu menghasilkan dokumen palsu bagi membolehkan kenderaan itu dijual seolah-olah kenderaan terpakai.

“Bagaimanapun, pihak sindiket lebih tertarik menjual kenderaan mewah yang dicuri di negara jiran.

“Susulan kejayaan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan polis negara jiran bagi mengesan kenderaan curi yang pernah dibawa masuk ke negara terbabit,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dihubungi mengesahkan berhubung tangkapan kes curi kenderaan berkenaan dan memberitahu pihaknya menjalankan siasatan bagi mengesan saki- baki ahli sindiket berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: