Thursday, June 10, 2010

Ke arah TUDM generasi baru


Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berkenan melancarkan logo "Air Force - Next Generation" selepas majlis perbarisan sempena hari ulang tahun Tentera Udara Diraja Malaysia ke-52 di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MENGINJAK usia 52 tahun, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selaku pasukan pertahanan barisan hadapan utama negara, kini dilihat telah cukup matang untuk mendepani apa jua ancaman mendatang.

Apatah lagi dengan pegangan pelbagai aset tempur canggih seperti pesawat Hawk, pesawat pemintas MiG-29N, pesawat tempur pelbagai peranan F-18D Hornet dan Sukhoi 30-MKM bagi mengawal ruang udara negara.

Selain itu menjelang 2015 pula, TUDM akan menerima pesawat pertama daripada empat buah pesawat pengangkut strategik, Airbus A400M.

Pada masa yang sama, pasukan itu juga bakal menerima helikopter moden berdasarkan komitmen kerajaan yang bersetuju untuk mendapatkan 12 buah helikopter Eurocopter EC725 pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2010 lalu bagi tujuan mencari dan menyelamat tempur (CSAR).

Semua aset berkenaan bukan sahaja berjaya meletakkan TUDM sebagai sebuah pasukan udara yang setanding dengan negara serantau tetapi dalam beberapa aspek terutamanya dalam penguasaan udara secara dominan, negara lebih terkehadapan.

Namun, itu bukan satu alasan bagi TUDM untuk mudah berpuas hati kerana organisasi berkenaan sedar, ancaman keselamatan khususnya dalam usaha untuk mempertahankan ruang udara negara yang semakin kompleks ekoran kepesatan teknologi.

Sehubungan itu, sempena sambutan ulang tahun penubuhannya kali ke-52 minggu lalu, organisasi tersebut melancarkan visi strategik barunya iaitu 'TUDM-Generasi Masa Depan' dalam usaha memastikan TUDM sentiasa digeruni lawan dan dihormati rakan.

Pelan jangka panjang itu dirangka bukan sahaja untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan TUDM, tetapi pada masa yang sama ingin mengekalkan status quonya sebagai tentera udara dominan di rantau ini.

Pelancaran visi strategik dengan meletakkan harapan kepada sumber manusianya sebagai generasi masa depan dilihat tepat pada masanya selepas imej TUDM tercalar teruk ekoran kes kehilangan enjin pesawat F-5E yang didalangi oleh anggotanya sendiri.

Kejadian tersebut walaupun kes terpencil tetapi menjadi pengajaran yang sangat berguna kepada pasukan itu.

Atas kesedaran itu, TUDM melalui Panglimanya, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud merangka dan memberi penekanan utama pada aspek kekuatan, organisasi, doktrin dan modal insan dalam pembangunan visi strategiknya agar kejadian seumpama tidak berulang dan TUDM terus 'diangkasarayakan'.

Menurutnya, penekanan kepada empat teras transformasi itu bertujuan membolehkan pasukan itu bukan sahaja memiliki aset tercanggih tetapi turut mempunyai modal insan berkualiti serta mempunyai tahap disiplin yang tinggi.

"TUDM perlu lebih dinamik dan fleksibel agar berupaya menyesuaikan diri bagi menghadapi sebarang perubahan pantas dalam aspek ketenteraan. Melalui pelan ini, TUDM akan muncul sebagai sebuah pasukan udara yang mempunyai spektrum menyeluruh.

"Ia penting kerana TUDM perlu sentiasa dipastikan berupaya melaksanakan misi dalam segala bentuk bidang operasi secara berkesan," katanya dalam perutusan khas sempena sambutan ulang tahun ke-52 pasukan itu di Pangkalan Udara Sungai Besi, baru-baru ini.

Tambahnya, bagi memastikan hasrat itu tercapai, TUDM akan terus mendapatkan sistem-sistem berteknologi tinggi, memanfaatkan teknologi masa hadapan dan mengintegrasikannya secara bersama dengan sumber manusia.

Tegas beliau, visi strategik itu tidak hanya bersandar pada kecanggihan aset tempur semata-mata, sebaliknya tumpuan lebih khusus diberikan kepada sumber manusia kerana TUDM tidak mungkin digeruni lawan jika anggotanya gagal menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan mempunyai moral yang rendah.

perkembangan teknologi

Oleh itu, Rodzali berkata, setiap anggota TUDM harus melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kecekapan agar sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini terutamanya yang berkait dengan bidang aeroangkasa, di samping mengelak daripada melakukan sebarang pelanggaran prosedur dan arahan.

Namun, pada masa yang sama beliau mengakui masih terdapat banyak keperluan aset tempur yang perlu dimiliki oleh TUDM bagi memastikan pasukan itu benar-benar mantap dalam mempertahankan ruang udara negara daripada dicerobohi.

Mengenai perolehan baru, beliau memberitahu, TUDM merancang untuk memiliki beberapa jenis pesawat tempur baru bagi mengukuhkan lagi pasukan itu sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Bagi tujuan itu katanya, satu pasukan penilaian telah ditubuhkan untuk mengkaji beberapa jenis pesawat yang telah dikenal pasti terutamanya pesawat pelbagai peranan F-18F Super Hornet buatan Amerika Syarikat (AS).

"TUDM mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pesawat F-18D Hornet dan kita sedang mengkaji faktor keupayaan pesawat F-18F Super Hornet yang lebih canggih daripada pesawat berkenaan," katanya.

Rodzali menambah, pada masa yang sama, TUDM turut meneliti beberapa pesawat lain seperti Gripen dan Eurofighter yang dianggap pesawat berteknologi tinggi dalam kelasnya.

Minat TUDM terhadap F-18F Super Hornet itu terserlah kerana pesawat berkenaan mempunyai kemampuan yang tinggi sama ada untuk serangan darat, maritim dan udara selain telah terbukti keampuhannya dalam beberapa konflik sebelum ini.

Malah, jika ia menjadi kenyataan, Super Hornet akan menjadi gandingan mantap kepada pesawat strategik sedia ada, Sukhoi Su-30MKM, khususnya bagi tujuan memusnahkan kapal perang dan pesawat musuh.

Dalam pada itu, TUDM kini juga sedang berusaha untuk memperoleh pesawat Sistem Amaran Awal dan Kawalan Udara (AWACS) melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi memperkukuhkan lagi pertahanan negara.

Ini kerana dengan keupayaan memantau ruang angkasa dan daratan pada jarak kira-kira 350 kilometer, pesawat berkenaan adalah sistem pertahanan masa kini yang perlu dimiliki untuk bertindak sebagai 'mata dan telinga' di udara.

Rancangan perolehan ini telah dipertimbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 10 tahun lalu dan beberapa pesawat AWACS generasi terkini antaranya dari Sweden, Brazil dan AS telah diuji oleh TUDM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: