TEMASYA bola sepak Piala Dunia 2010 yang bermula kelmarin di Afrika Selatan ternyata menjanjikan keterujaan kepada jutaan peminat bola sepak khasnya bagi 32 negara yang layak beraksi.
Dianggarkan 450,000 pelancong asing memasuki negara tersebut terutamanya di Soccer City di Johanesburg. Jumlah hampir setengah juta orang itu dikatakan mampu mengundang aktiviti jenayah, sama ada melibatkan warga tempatan mahupun pelancong yang cuba mengambil kesempatan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Afrika Selatan menubuhkan sekurang-kurangnya 54 Mahkamah Istimewa untuk membicarakan dan menyelesaikan masalah jenayah yang dilakukan sepanjang musim bola yang berlangsung selama sebulan itu.
Melibatkan anggaran kos kira-kira AS$131,659 (RM436,713), mahkamah tersebut ditempatkan di sembilan bandar yang terlibat dalam perlawanan bola. Waktu operasinya adalah selama 15 jam sehari bermula 28 Mei lalu sehingga 25 Julai depan.
Menurut Menteri Kehakiman Afrika Selatan, Tlali Tlali, pihaknya tidak akan berlembut dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah di sisi undang-undang.
"Mahkamah tersebut diadakan sebagai langkah untuk mempercepatkan proses perbicaraan. Rayuan tidak dibenarkan sama sekali. Kami akan mengendalikan semua kes jenayah yang berkaitan dengan perlawanan tersebut," katanya ketika ditemu bual wartawan AfricaNews baru-baru ini.
Menurut laporan indeks jenayah negara tersebut, secara purata 50 orang mati sehari di beberapa kawasan di Afrika Selatan manakala 250,000 rumah disamun sepanjang tahun.
"Inisiatif tersebut menunjukkan kami sangat prihatin dengan kadar jenayah di negara ini terutamanya apabila ada temasya besar seperti perlawanan bola sepak Piala Dunia.
"Kami sangat bangga menjadi tuan rumah dan sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memberi keselesaan dan tahap keselamatan yang optimum buat pemain dan pelancong yang berkunjung ke negara kami," ujar Tlali.
Dirompak
Biarpun kehangatan temasya Piala Dunia baru bermula, keyakinan Afrika Selatan terhadap benteng keselamatannya mula tergugat apabila seorang jurugambar Portugal, Antonio Simoes, diacu pistol oleh seorang penyamun, Rabu lalu.
Insiden awal pagi itu berlaku di sebuah resort menempatkan petugas media yang membuat liputan pasukan Portugal dan Sepanyol. Ketika itu, mangsa bersama dua wartawan lain sedang tidur di bilik berasingan.
Pasukan Sepanyol dan Portugal sedang mengikuti latihan pemanas badan di sebuah bandar indah, Magaliesburg, kira-kira sejam perjalanan ke arah utara Johannesburg.
"Dua orang penyamun menyelinap masuk ke bilik dan mereka mengejutkan saya daripada tidur. Seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah saya manakala seorang lagi menyelongkar barang sebelum mengambil kamera, wang tunai dan kad kredit saya.
"Kejadian itu hanya berlaku dalam masa dua minit tetapi saya rasakan seperti dua jam. Ia adalah perkara paling menakutkan yang pernah berlaku dalam hidup saya," cerita Antonio kepada agensi berita antarabangsa, Reuters.
Penyamun yang masih bebas itu turut melarikan komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai daripda dua rakannya.
Menurut jurucakap polis, Leon Engelbrecht, pihak berkuasa itu belum menemui menahan sesiapa sehingga kini.
Sementara itu, tiga pemain Greece terpaksa berputih mata apabila wang tunai yang disimpan di hotel dicuri. Seorang wartawan dari China juga disamun pada 3 Jun lalu.
Tiga insiden yang berlaku dalam masa seminggu itu sedikit sebanyak mencalarkan imej Afrika Selatan, apatah lagi sebelum ini mereka berjanji untuk memastikan keselamatan pelancong asing terutamanya pemain dan petugas media.
Biarpun apa yang berlaku tidak melibatkan kehilangan nyawa namun ia cukup untuk memberi gambaran awal tentang masalah keselamatan di negara tersebut.
Kejadian kemalangan melibatkan sebuah bas pelancong di bahagian utara Afrika Selatan yang meragut nyawa dua pelancong Britain awal bulan lalu juga masih menjadi bahan bualan.
Biarpun ia adalah kemalangan yang tidak disengajakan, namun sedikit sebanyak ia mampu membawa kepada perbincangan tentang isu keselamatan di negara itu iaitu sistem pengangkutan yang bermasalah dan kemudahan jalan raya yang merbahaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: