TIDAK pernah terlintas dalam minda Farawahida bahawa dia akan melihat dirinya di skrin layar ataupun di kaca televisyen. Baginya, menjadi pelakon bukan sesuatu yang diimpikan. Namun, Farawahida tidak membataskan dirinya.
Walaupun sudah berkali-kali ditawarkan peluang berlakon, ada sebab mengapa Farawahida hanya bersetuju sekarang. Menjayakan watak Suraya dalam filem Baik Giler yang turut dibintangi Zizan, Farawahida menyatakan peranan itu mendekati jiwanya.
Selain daripada itu, Farawahida juga tidak perlu melalui proses uji bakat kerana pihak penerbitnya, Layar Dimensi Sdn. Bhd. menulis watak itu khas kepadanya.
"Mereka menelefon saya untuk menawarkan watak itu. Mungkin mereka berpendapat saya sesuai dengan watak itu selepas menyaksikan lakonan saya dalam teater Sinbad tahun lalu. Lagipun watak itu memang sesuai dengan jiwa saya. Jadi saya bersetuju untuk mencuba," kata Farawahida ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon Baik Giler.
Menjadi teman wanita kepada Zizan (Afik), Farawahida yang tidak rapat dengan pelawak itu berdepan dengan kesukaran untuk menjayakan babak bersama. "Pada mulanya saya berasa kekok kerana tidak rapat dengan Zizan. Walaupun lebih serasi, saya berdepan dengan kesukaran untuk berlakon babak bercinta dan sedih.
"Ini kerana semua orang tahu dia seorang pelawak. Jadi apabila saya melihat muka dia sahaja, saya akan terus ketawa. Ia amat sukar bagi saya untuk menjadi serius atau sedih. Saya tidak dapat menahan ketawa," tambahnya.
|
|
Menjalankan penggambaran di Melaka, Farawahida juga bersyukur kerana mendapat ilmu lakonan daripada pelakon senior lain seperti Esma Daniel, Awie dan Kenchana Dewi.
"Penggambaran babak saya berjalan selama sebulan. Pertama kali di lokasi penggambaran, saya merasakan lakonan itu satu tugas yang sukar kerana proses menunggu.
"Pengalamannya berlainan daripada menyanyi kerana ia sesuatu yang baru. Tapi saya tidak berputus asa. Lain kali jika saya tidak berpeluang untuk berlakon lagi, sekurang-kurangnya saya sudah ada pengalaman," ujarnya lagi.
Adakah ini bermaksud Farawahida tidak akan berlakon lagi?
"Semuanya bergantung kepada skrip. Kalau bercakap mengenai menjiwai watak, ia bukan satu masalah. Tapi saya merupakan pelakon baru.
"Jadi saya belum bersedia untuk sebarang watak ekstrem atau yang terlalu mencabar. Mungkin kita lihat dahulu respons penonton terhadap filem pertama saya," katanya.
Berpendapat lakonan dalam teater lebih sukar berbanding filem, Farawahida juga tidak sangka dirinya boleh memainkan watak heroin. Lagipun sebelum ini, ramai lagi aktres lain yang melobi untuk mendapat watak itu.
"Mula-mula saya ingat mereka bergurau sahaja kerana ada aktres lain yang berminat. Jadi ini merupakan pertaruhan pertama saya," tambahnya yang sedang bersiap untuk merakamkan single baru ciptaan Audi Mok.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: