Sunday, June 27, 2010

Erfan belajar fesyen di Malaysia


Erfan


ORANG kita selalu memandang ke luar negara apabila memilih pusat pengajian fesyen moden dan terkini kerana sering menilai yang di luar itu lebih baik.

Tapi ada juga orang luar yang memandang tinggi perkembangan industri fesyen di Malaysia, khususnya Kuala Lumpur. Buktinya ramai yang memilih untuk mendalami ilmu itu di sini.

Penghias ruangan Kacak Bergaya minggu ini, Erfan Jalalpour dari Iran bakal memulakan pengajian dalam jurusan fesyen di salah sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur bulan depan.

“Saya akan memulakan pengajian pada sesi baru yang akan bermula Julai ini. Saya pilih Kuala Lumpur sebab saya lihat industri di sini baik.

“Rekaan fesyen di sini sangat berbeza dengan apa yang ada di Iran. Saya mahukan sesuatu yang baru dan mahu belajar cara dan kongsi kreativiti orang sini.

“Saya memang meminati rekaan fesyen sebab itulah saya memilih jurusan ini. Sebenarnya saya ke Malaysia sejak enam bulan lalu dan saya mengikuti pengajian jangka pendek dalam jurusan perniagaan,” kata Erfan kepada Pancaindera.

Erfan belum dapat membayangkan fesyen yang bagaimanakah bakal dihasilkannya nanti kerana masih baru dalam bidang ini dan segala-galanya bergantung kepada ilmu yang bakal ditimba nanti.

“Kalau di Iran, kebanyakan fesyennya hanya untuk wanita. Lagipun fesyen di sana jenis bertutup dan tidak banyak variasi.

“Saya harap dapat menghasilkan rekaan baru yang kreatif apabila tamat belajar sekitar tiga tahun lagi,” sambungnya lagi.

Dalam tempoh enam bulan di Malaysia, Erfan semakin dekat dengan budaya orang Malaysia, baik Melayu ataupun Cina kerana memiliki kawan di kalangan masyarakat tempatan.

Malah kawan lokalnya lebih ramai berbanding rakan senegara. Erfan juga tinggal serumah dengan beberapa rakan tempatan.

“Saya tak banyak kawan yang berasal dari Iran sebab itu saya tak pernah mengunjungi mana-mana restoran masakan Iran yang ada di sini.

“Saya juga semakin gemar makan masakan orang sini, antaranya nasi goreng pattaya,” kata anak muda berdarah kacukan Rusia itu.

Dia juga gemar ke pasar malam bersama kawan-kawan sekiranya ada masa lapang dan tiada sebarang masalah untuk menikmati juadah yang dijual di pasar malam.

Walaupun memiliki ramai kawan Malaysia dan ada anak tempatan tinggal bersama, namun belum banyak perkataan Bahasa Melayu yang dipelajarinya daripada mereka.

“Kawan-kawan banyak bertutur Bahasa Inggeris, bagaimana saya nak belajar Bahasa Melayu?” tanyanya balik.

Namun daripada pemerhatiannya dalam berkomunikasi, Erfan dapat menangkap beberapa ayat lazim antaranya perkataan ‘jom’ yang selalu digunakan semasa mengajak ke mana-mana.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: