Thursday, June 3, 2010

Dulu kekasih, kini saudara

Bila hati sudah terpikat semuanya indah belaka. Tiada yang buruk di ruang mata, demikian lumrah orang bercinta.

Kerana cinta juga manusia menjadi insan paling setia tetapi berapa ramaikah di antara kita yang berani dan ikhlas untuk menzahirkan lafaz cinta yang sebenarnya. Ada yang kecundang di dalam perjalanan cintanya.

Itu mungkin antara kisah cinta yang tidak kesampaian. Bagaimana dengan cinta yang dihalang dan kemudian bertaut semula dalam keadaan yang berbeza.

Inilah cerita yang ingin saya kongsi dengan anda minggu ini. Kisah kiriman seorang pembaca yang hanya mahu dikenali sebagai Izuddin (bukan nama sebenar).

Izuddin adalah lulusan luar negara dan kini berkhidmat di sektor swasta. Kita ikuti cerita Izuddin.

"Semasa menuntut di luar negara, saya pernah terperangkap dalam cinta dengan gadis mat salleh. Tetapi kerana tidak mendapat restu emak dan ayah maka saya putuskan hubungan tersebut dengan cara yang baik.

"Masa berlalu dengan begitu pantas kini saya menjadi suami dan ayah kepada tiga orang cahaya mata.

"Hubungan kami diaturkan keluarga dan saya menerima Shamsiah (bukan nama sebenar ) seadanya. Setelah tiga bulan mengikat tali pertunangan kami disatukan dalam majlis pernikahan yang meriah dihadiri kaum keluarga dan sahabat handai jauh dan dekat.

"Isteri saya seorang penjawat awam dan dengan rela hatinya telah berhenti kerja semata-mata untuk menjadi 'pengurus rumah tangga' yang cemerlang.

"Dia seorang wanita yang cukup sempurna, namun godaan yang melanda mahligai kami satu ujian yang mencabar kesetiaan dan keimanan kami sebagai suami dan isteri.

"Saya selalu keluar negara kerana urusan kerja. Tidak pernah saya lupa untuk menghubungi keluarga ketika di sana dan menjadi satu kemestian saya akan mengirim masej dan bertanyakan khabar.

"Dunia ini terlalu kecil. Tanpa diduga saya bertemu kembali dengan bekas kekasih, gadis mat salleh yang telah lama ditinggalkan.

"Dia masih seperti dahulu, bersendirian sedang bercuti di Malaysia. Inilah yang dikatakan memori silam kembali menjelma.

"Saya tidak dapat menipu perasaan kerana dialah gadis pertama yang bertahta di hati, namun ketentuan Ilahi tiada siapa yang dapat menghalang.

"Kisah ini tidak pernah saya ceritakan kepada isteri kerana yang lepas lebih baik dilupakan sahaja.

"Semasa gadis mat salleh itu di sini, kami sempat pergi bersantai dan makan-makan. Malangnya pertemuan kami dapat dihidu isteri yang terbaca mesej yang tertera pada telefon bimbit saya.

"Entah bagaimana harus saya menjelaskan kepadanya mengenai apa yang terjadi, saya faham hatinya tercalar.

"Pada keesokan harinya saya mempelawa gadis tersebut untuk datang bertandang ke rumah dan hal ini saya maklumkan kepada isteri.

"Syukur hajat saya tercapai untuk memperkenalkan gadis tersebut kepada isteri dengan maksud perhubungan kami hanyalah sebagai kawan yang pernah menuntut bersama dan tidak lebih dari itu.

"Kami sekeluarga menerima dia sebagai tetamu dan ternyata dia seorang gadis yang faham akan adat dan budaya di sini.

"Pada suatu hari rancangan diatur untuk kami membawa dia makan angin sambil menikmati keindahan di sepanjang percutian.

"Malang tidak berbau. Kenderaan yang kami naiki terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya . Syukur kerana tiada kehilangan jiwa, tetapi anak bongsu saya yang berusia tiga tahun cedera parah dan kehilangan banyak darah.

"Ketika kami diminta untuk menderma darah kepada anak bongsu saya, gadis yang berhati mulia itu tampil dengan menawarkan dirinya sebagai penderma.

"Syukur segalanya selamat dan kini sebahagian daripada darah yang mengalir dalam tubuh anak saya adalah milik si dia yang pernah suatu ketika saya sayangi.

"Sehingga kini kami sekeluarga masih berhubungan dan dia kini adalah anak angkat kepada kelurga kami.

"Kasih sayang kami terjalin kembali kerana keikhlasan dan kemuliaan hati insan yang sanggup berkorban tanpa mengira taraf dan warna kulit dan itulah yang dinamakan kehidupan dan kemanusiaan.

"Isteri saya yang pada mulanya curiga dengan persahabatan kami kini mulai faham kerana tidak semua yang kita hajati dapat menjadi milik kita sepenuhnya.

"Sebagai suami saya telah bertindak sebijak mungkin untuk menjaga hati kedua-dua wanita yang saya sayang terutama isteri.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Hari ini saya amat bahagia kerana mempunyai isteri dan anak-anak yang menceriakan hidup saya serta keluarga baru yang menjadi sebahagian kehidupan kami sekarang.

"Semoga hubungan keluarga ini akan terus kukuh dan kekal sehingga bila-bila," demikian Izuddin menamatkan ceritanya.

Saya amat kagum dengan apa yang dilalui oleh Izuddin.Sebagai suami sikap Izuddin patut dipuji dan dicontohi oleh lelaki lain.

Syabas Izuddin, saya doakan agar hubungan keluarga anda dengan gadis itu akan berpanjangan dan rumah tangga anda aman sehingga ke akhir hayat.

Menutup kata, sepatah kata daripada saya, ada masanya tidak semua yang kita miliki akan kekal untuk kita seorang tetapi harus dikongsi dengan orang lain kerana segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita hanyalah untuk sementara, sampai masa akan diambil semula.

Harum cempaka dalam taman,

Putih bersih bunga kemboja,

Kasih sayang tiada sempadan,

Hati ikhlas terpancar di wajah,

Salam

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: