SALINA mendengar perkembangan terbaru mengenai suaminya menerusi televisyen di kediamannya dengan ditemani kakak iparnya Rozita Abdul Latif (kiri), ibu, Juslen Mohd Yunus dan Zarith Zakuan, semalam.
KUALA LUMPUR: Hanya kerana memegang kamera video, jurukamera stesen televisyen Astro Awani, Samsul Kamal Abdul Latip, diarahkan oleh komando Israel supaya menanggalkan seluarnya di depan lebih 60 tahanan untuk pemeriksaan lanjut pada tubuhnya ketika kapal berlabuh di Haifa, Israel.
Beliau berkata, selepas mengenakan semula seluar, semua tahanan yang berada di tempat berkumpul selama dua jam setengah sebelum diarahkan turun dari kapal dan disumbat ke penjara.
Menceritakan serangan itu, Samsul Kamal berkata, beliau sedang tidur dalam kabin dan mendengar letupan sebelum menjenguk ke arah tingkap kecil dan melihat berpuluh-puluh anggota tentera sedang menuruni tangga helikopter untuk mendarat atas kapal Mavi Marmara.
“Saya dapat melihat lebih 30 bot laju mengepung kapal dan bersembunyi di bawah tempat duduk penumpang. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi saya kerana mereka dapat mengesan lokasi persembunyian dan diarahkan berkumpul di tingkat tiga kapal itu.
“Pada masa itu, saya melihat anggota komando yang memakai pakaian kalis peluru, bertopeng dan bersenjata mengarahkan semua tahanan menyerahkan semua barang yang dipegang termasuk kamera video saya,” katanya.
Samsul Kamal berkata, selepas diarahkan berkumpul, beliau tidak melihat kelibat wartawan kanan, Ashwad ismail, tetapi masih mengharapkan rakannya itu selamat.
Katanya, ketika dalam penjara selama satu hari dua malam, beliau ditempatkan bersama dua lelaki warga Algeria dan hanya diberi makanan untuk mengalas perut seperti roti dan sup sayur.
“Mereka melayan kami dengan baik dan tiada kekerasan. Saya sempat meminta mereka menyediakan segelas teh panas bagi menghilangkan dahaga dan mereka sediakan. Saya tidak bercakap sangat dengan anggota komando kerana tidak pandai berbahasa Arab, tetapi rakan warga Algeria mendakwa alasan utama kapal Mavi Marmara ditahan kerana ia memasuki kawasan perairan mereka,” katanya.
Samsul Kamal yang terlalu rindu untuk menjejakkan kaki ke Malaysia bersyukur kerana selamat untuk meneruskan kehidupan bersama isteri, Salina Abdullah, 34, dan seorang anak lelaki, Zareif Zakwan, 11.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: