DARI jauh kelihatan mimik wajah para pelajar Sekolah Menengah Puchong Perdana, Puchong, Selangor begitu bersungguh-sungguh mengasah bakat dan kebolehan masing-masing bermain permainan tradisional masyarakat Cina iaitu diabolo.
Memerlukan penggunaan kedua-dua belah tangan, yoyo Cina itu amat berbeza dengan yoyo yang anda ketahui sebelum ini. Biasanya permainan yoyo moden hanya memerlukan sebelah tangan sama ada kiri atau kanan mengikut keselesaan pemain.
Bagaimanapun, diabolo memerlukan pemainnya memegang stik dengan menggunakan kedua-dua belah tangan.
Fungsi stik tersebut pula ialah sebagai alat untuk menggerakkan tali nilon mengikut cara yang dikehendaki.
Jika dilihat sepintas lalu, diabolo mudah dikendalikan dengan putarannya yang laju. Lebih hebat, ia boleh dilakukan dengan pelbagai aksi yang mengagumkan.
Bagi mereka yang pertama kali menyaksikan permainan itu sudah tentu tertanya-tanya bagaimanakah ia boleh berpusing-pusing?
"Diabolo mudah dipelajari tetapi sukar untuk bergelar pemain handalan. Permainan ini memerlukan seseorang tahu melakukan pelbagai aksi.
"Ia mungkin mengambil masa di antara tiga hingga empat tahun sebelum mahir," jelas jurulatih diabolo, Chan Chee Ee.
Sambil melakukan demonstrasi teknik asas diabolo, Chee Ee yang berpengalaman selama 12 tahun memberitahu, alat berbentuk seperti tempurung yang diperbuat daripada plastik itu merupakan titik tolak sama ada ia boleh berputar lama atau seketika.
Setiap putaran bergantung pada keberatan tempurung tersebut. Sekiranya diabolo ringan, putarannya mungkin hanya seketika.
"Diabolo yang ringan mudah digunakan tetapi putarannya cepat berhenti. Kalau yang berat, putarannya lebih lama dan kedudukannya tegap.
"Kebanyakan mereka yang handal akan memilih diabolo berat kerana mereka boleh melakukan atau mencuba pelbagai aksi," terangnya.
Ukuran diabolo boleh mencecah diameter 20 sentimeter (sm) dan berat 400 gram (g).
Ukuran terkecil pula kira-kira sepuluh sm yang biasanya digunakan oleh kanak-kanak untuk mempelajari teknik diabolo.
Permainan itu juga mampu mengeluarkan bunyi. Semakin laju ia berpusing dan jika ramai bilangan pemainnya, alunan muzik daripada permainan itu dapat didengar dengan lebih kuat.
Permainan diabolo yang dipercayai berusia lebih 4,000 tahun bermula di China. Bagaimanapun, rupa bentuk diabolo ketika itu berbeza dan ia diperbuat daripada buluh atau kayu.
"Hari ini, diabolo yang digunakan lebih banyak diperbuat daripada plastik kerana ia tidak mudah rosak jika terjatuh.
"Diabolo yang diperbuat daripada buluh atau kayu boleh mencederakan pemain lain kerana ia tajam dan keras," beritahu Chee Ee.
Biasanya, masyarakat China mengadakan persembahan jalanan dengan gaya yang ekstrem untuk meraih perhatian penonton.
Kehebatan permainan itu telah menambat hati golongan kanak-kanak dan remaja di Eropah seperti England dan Perancis.
Bercerita mengenai teknik persembahan, ia sungguh menakjubkan. Setiap pemain yang handal mampu memainkannya menggunakan leher, jari, tangan dan kaki sahaja.
Mendidik lebih fokus
Ini bermakna diabolo bukan sekadar permainan hiburan sahaja bahkan salah satu aktiviti senaman untuk menguatkan mental dan fizikal.
"Diabolo boleh dikatakan salah satu tarikan untuk mengajak orang ramai melakukan senaman dengan cara yang berbeza.
"Anda boleh peruntukkan kira-kira 15 minit setiap hari untuk meningkatkan daya ketahanan tubuh.
"Disebabkan anda perlu menjaga keseimbangannya, fikiran akan sentiasa bergerak dengan memberikan sepenuh perhatian terhadap putaran diabolo.
"Jadi, ia merupakan salah satu cara untuk mendidik pemain supaya memberi sepenuh perhatian terhadap apa jua kerja yang dilakukan," ulas Chee Ee.
Sementara itu, di sebalik keriuhan para pelajar yang berlatih, terdapat sekumpulan pelajar lelaki yang begitu teruja mencuba skil baru.
Menariknya, mereka melakukan latihan seolah-olah ingin membuat persembahan di hadapan orang ramai.
Tidak hanya tangan yang bergerak ke atas dan ke bawah untuk mengimbangi diabolo tetapi lenggok tubuh juga merupakan aspek yang penting.
Ia bagi mencantikkan lagi gerakan yang dilakukan seolah-olah anda sedang bermain sambil menari.
Bagi Tan Kim Han, 18, diabolo tidak boleh dimainkan tanpa memberi perhatian sepenuhnya, apatah lagi iringan muzik juga tidak boleh dipisahkan. Semakin rancak alunan muzik dimainkan, rentak permainan diabolo semakin laju dan lancar.
"Biasanya kita bukan sekadar berlatih bermain diabolo sebaliknya gerakan badan merupakan kriteria penting supaya persembahan itu menarik.
"Secara tidak langsung apabila kita mainkan lagu dan meneruskan permainan, pastinya lenggok itu ada," katanya yang sudah mengenali dunia diabolo sejak empat tahun lalu.
Dalam pada itu, Kim Han mengakui dirinya masih dalam proses pembelajaran memandangkan skil diabolo perlu sentiasa dipraktikkan.
Keseronokan permainan tersebut terletak terletak pada putarannya yang laju sekali gus membolehkan anda menukar skil dengan mudah.
"Tidak perlu memberhentikan putaran itu sewaktu ingin menunjukkan skil. Sebaliknya, mereka yang handal boleh melakukannya sewaktu diabolo itu berpusing.
"Ini bermakna pada satu-satu masa pemain boleh melakukan pelbagai aksi," ulas Kim Han yang berpeluh-peluh bermain diabolo.
Lain pula dengan rakan sepasukannya, Fong Wai Loon, 17. Permainan yang diperkenalkan oleh rakan sekolahnya itu akhirnya membuatkan dia jatuh hati untuk bermain secara serius.
Pada awalnya dia tidak berminat memandangkan peralatan yang digunakan tidak menarik seperti yoyo moden yang mempunyai pelbagai corak termasuk dilengkapi lampu.
"Kalau tengok nampak mudah tetapi bila saya pegang sendiri untuk mencuba, sangkaan itu tidak benar.
"Permainan ini memang susah. Saya hampir putus asa sebab diabolo saya berhenti berpusing dalam masa beberapa saat sahaja," terangnya yang menggemari diabolo kerana tidak memerlukan belanja yang besar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: