Sunday, June 20, 2010
Armada intai Malaysia
Armada, sebuah kumpulan yang namanya agak asing bagi peminat muzik tempatan. Kumpulan yang berasal dari Palembang, Indonesia ini dalam rangka promosi mengintai negara-negara luar Indonesia dalam usaha mengembangkan karier mereka di dalam industri seni.Ditubuhkan pada 2007, kumpulan yang dianggotai lima anak muda yang terdiri daripada Rizal (vokalis), Andhit (drummer), Radha (gitaris), Endra (Bass) dan Mai (gitaris) ini, pada asalnya menggunakan nama ‘Kertas’ di awal kemunculan mereka.
Bagaimanapun, nama ini ditukar selepas mereka beralih ke syarikat rakaman baru. Nama Armada dipilih kerana mengambil dari gabungan nama mereka berlima.Pada tahun 2008, kumpulan ini melancarkan album berjudul ‘Balas Dendam’, namun ia tidak mendapat sambutan baik daripada peminat muzik Indonesia.
Atas dasar itulah, Armada mencuba formula baru dengan menukar konsep daripada ‘melankolik pop’ ke ‘popen’ atau pop enak untuk album kedua mereka, ‘Hal Terbesar’.Ternyata perubahan itu membuahkan hasil apabila album yang dilancarkan pada 2009 ini mendapat sambutan memberangsangkan.
Album yang memuatkan 10 buah lagu ini mempertaruhkan tema percintaan bagi mencuri perhatian peminat. Tiga ‘single’ daripada album ini iaitu ‘Buka Hatimu’, ‘Mau Dibawa Ke Mana’ dan ‘Kuingin Setia’ menjadi pertaruhan mereka untuk dikenali di sini. Ditanya media mengenai kemampuan mereka dikenali seperti Ungu, Sheila On 7, Peterpan, ST12, Rizal selaku vokalis berkata, mereka masih terlalu baru jika ingin di bandingkan dengan senior mereka itu.
“Mengikut pengalaman-pengalaman oleh artis-artis di Indonesia yang pernah melakukan promosi di sini, mereka akan diterima oleh kerana itu kami percaya peminat muzik di Malaysia lebih terbuka dan boleh menerima kehadiran kumpulan baru asalkan muzik yang dibawakan bagus dan menepati citarasa,” katanya kepada media pada sesi pelancaran mereka di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita tentang album kedua ini, Andhit memberitahu mereka menggunakan tajuk ‘Hal Terbesar’ kerana ia adalah sebagai ungkapan atas semua pengalaman pahit dan manis ketika berada di dalam industri muzik. Walaupun banyak rintangan yang terpaksa dihadapi, mereka masih mampu bertahan sehingga kini.
“Berbanding album terdahulu, ‘Hal Terbesar’ menampilkan muzik yang lebih harmonis dan lebih menonjolkan kesan keindahan pada setiap lagunya. Malah, kami juga menyuntik elemen orkestra bagi mencipta kelainan. Kami percaya muzik kami kali ini lebih matang dan enak didengar. Jadi, kami sangat berharap album ini boleh menembusi pasaran Malaysia sebagaimana album-album kumpulan Indonesia yang lain,” katanya.
Sementara itu, Armada sempat berkongsi cerita tentang ‘nazar’ atau niat mereka sekiranya berjaya mencipta kejayaan besar dalam industri. Menurut lima anak muda ini, jika diizinkan Allah, mereka mahu menghantar kedua ibu bapa mereka menunaikan haji menggunakan wang yang diperoleh daripada penjualan album dan pertunjukan pentas.
“Ini memang niat kami dari awal-awal lagi. Mudah-mudahan niat ini dapat ditunaikan dalam sedikit masa lagi. Setakat ini wang simpanan kami sudah mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menunaikan haji,” kata Rizal berterus-terang.Album Armada telah pun berada di pasaran Malaysia dan ia dijual pada harga RM21.90.
Sama seperti pasaran Indonesia, Armada menjangkakan lagu 'Buka Hatimu' dan 'Kuingin Setia' mampu menjadi hits di sini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: