![]() |
| Bantahan penganut Roman Katholik terhadap kes pencabulan kanak oleh pihak gereja yang semakin menjadi-jadi. |
INI bukan kali pertama Vatican - pusat dunia bagi agama Roman Katholik - digegar kontroversi melibatkan pencabulan kanak-kanak.
Namun kali ini kes itu mencapai kemuncak apabila nama pemimpin tertingginya, Pope Benedict XVI turut terjejas.
Malah ia turut menggugat keyakinan 1.1 bilion penganutnya terhadap agama itu di seluruh dunia.
Kontroversi itu berlarutan dengan pendedahan kes demi kes setiap hari. Ia melibatkan paderi terjebak dengan fidofilia atau pencabulan seksual ke atas kanak-kanak di Eropah yang mengaitkan gereja utama Roman Katholik di Vatican.
Ia kembali menjadi bualan hangat dunia sejak awal tahun ini apabila laporan di Ireland pada tahun lalu mendapati ketua-ketua gereja di Dublin melindungi paderi pencabul kanak-kanak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Paderi lain berpura-pura tidak mengetahui insiden yang berlaku di depan mata mereka - di sekolah, tempat kerja dan rumah anak yatim kelolaan Katholik di negara itu.
Sebenarnya, pencabulan seks ke atas kanak-kanak di kalangan paderi mula menjadi tumpuan umum sejak dua dekad lalu. Pada awalnya ia dianggap terpencil, sebelum ia semakin terdedah sehingga ke Kanada dan Amerika Syarikat (AS). Malah ia turut membabitkan banyak gereja lain merentasi global.
Laporan paderi terjebak dengan fidofilia turut berlaku di banyak negara Eropah, termasuk di Jerman, negara kelahiran Benedict sendiri.
Malah tindakan Benedict ketika menjadi ketua biskop Munich dan sebagai kardinal yang mengetuai pejabat moral Vatican sebelum ini, turut dipertikaikan.
Sebaliknya, gereja mempersoalkan liputan media yang dikatakan berlebihan melaporkan isu itu. Walhal kes yang sama turut berlaku dalam institusi lain.
Namun, krisis tersebut telah mencetuskan persoalan mengenai kepincangan berhubung mandatori pembujangan paderi Katholik dan cara Vatican mengendalikan kes-kes yang didedahkan serta dakwaan-dakwaan yang dilaporkan.
Jumlah kes tertinggi direkodkan di AS, diikuti Ireland dan beberapa negara lain seperti Australia, New Zealand, Kanada serta benua Eropah, Amerika Latin dan Asia.
Pencabulan seks
Di AS, kes pencabulan seks paderi ke atas kanak-kanak menjadi tumpuan pada 1985 apabila paderi Lousinia, Gilbert Gauthe mengaku mencabul 11 budak lelaki.
Keadaan kembali hangat pada awal 2002 berikutan laporan akhbar Boston Globe mengaitkan lima lagi paderi dalam fidofilia.
Laporan John Jay pada 2004 kendalian Kolej Kehakiman Jenayah John Jay atas permintaan Persidangan Biskop Katholik AS, menunjukkan 10,667 pendakwaan melibatkan 4,392 paderi berlaku dari 1950 hingga 2002 di negara itu.
Kajian menyeluruh terhadap paderi fidofilia di AS mendapati kes itu berlaku berpunca daripada kegagalan gereja memahami betapa seriusnya masalah tersebut, selain mahu mengelakkan skandal, menggunakan rawatan tidak bertauliah, kemaafan yang salah dan kebolehbergantungan yang tidak mencukupi.
Gelombang dakwaan fidofilia yang melanda Eropah menyaksikan linangan air mata Benedict ketika melawat mangsa cabul paderi di Malta awal minggu lalu, bagaimanapun ia tidak cukup untuk mengubah pandangan skeptikal kumpulan mangsa cabul di AS, 'Rangkaian Mangsa yang Dicabul Paderi' yang menuntut agar tindakan konkrit diambil bagi melindungi kanak-kanak.
Hujung bulan lalu, dokumen gereja yang diperolehi The New York Times mendedahkan seorang paderi AS mencabul sehingga 200 budak lelaki pekak di Wisconsin dari 1950 hingga 1974 dan kaitannya dengan Benedict ketika dikenali sebagai Kardinal Joseph Ratzinger semasa mengepalai pejabat moral Vatican.
Perbicaraan terhadap Reverend Lawrence Murphy dihentikan selepas paderi itu sendiri menulis terus kepada Ratzinger membantah tindakan ke atas perbuatannya dan mahu menghabiskan baki hidup sebagai paderi bermaruah.
Keadaan bertambah buruk apabila Benedict dan pemimpin tertinggi Katholik sebelum beliau, Pope John Paul II didapati secara berulang kali menangguhkan pelucutan jawatan seorang lagi paderi AS, Stephen Kiesle yang mencabul budak lelaki dan perempuan di California sekitar 1970-an.
Kiesle ditahan dan didakwa pada 2002 atas 13 tuduhan cabul termasuk ke atas seorang budak perempuan pada 1995.
Ireland yang majoriti rakyatnya penganut Katholik, juga dikejutkan dengan dua laporan paderi fidofilia pada tahun lalu dan penglibatan pemimpin gereja menyembunyikan kes itu.
Skandal sebelum ini menyebabkan Biskop Brendan Comiskey di Ferns, tenggara Ireland meletak jawatan pada 2002. Manakala kejatuhan kerajaan Ireland pada Disember 1994 dikaitkan dengan kontroversi paderi fidofilia, Brendan Smyth.
Smyth telah mencabul lebih 100 budak selama 40 tahun di kawasan kariah gereja di Belfast, Dublin dan juga AS.
Kes-kes serupa juga timbul di negara kelahiran Benedict sendiri, Jerman, diikuti Austria, Belanda dan Switzerland.
Ia juga memaksa biskop Ireland, John Magee yang juga setiausaha sulit kepada tiga pope sebelum ini meletak jawatan kerana malu.
Brazil yang merupakan negara berpenganut Katholik paling ramai di dunia dengan hampir 170 juta orang, turut dikejutkan dengan penahanan seorang paderi warga emas berusia 83 tahun yang didakwa mencabul budak 12 tahun awal minggu lalu.
Dakwaan fidofilia terhadap Luiz Marques Barboso dan dua paderi lain itu memarakkan lagi skandal gereja yang mula merebak membabitkan paderi Roman Katholik di Amerika Latin pula.
Kes bertambah sensasi ekoran tindakan sebuah stesen televisyen menyiarkan rakaman video menunjukkan Barbosa di atas katil bersama seorang remaja berusia 19 tahun yang tersebar meluas di Internet.
Seorang paderi di Chile, juga didakwa terbabit dengan lapan kes cabul budak termasuk seorang kanak-kanak perempuan sehingga hamil.
Turut menimbulkan kontroversi ialah kenyataan yang dibuat di Chile oleh orang kanan Benedict, Kardinal Tarcisio Bertone yang mendakwa punca fidofilia ialah amalan homoseks dan bukan amalan membujang paderi. Ini bercanggah dengan aduan oleh kanak-kanak perempuan dan wanita Amerika Latin yang turut menjadi mangsa cabul.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: