Tuesday, April 27, 2010

Faridah rayu belas kasihan masyarakat


FARIDAH Mohamad memangku salah seorang anaknya sambil melihat bantuan yang diterima daripada orang perseorangan, Middle Earth dan Kelab Redah.


''Terima kasih Utusan. Teruslah bantu kami ini. ''Harapan saya, anak-anak dapat tinggal dalam rumah yang lebih selesa.''

Itulah kata-kata harapan Faridah Mohamad, 40, sebaik sahaja penulis mengunjungi rumahnya buat kali kedua di Kampung Kuala Sat, Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Kehadiran penulis bersama kelab rekreasi Middle Earth untuk menyerahkan bantuan itu, memang tidak dijangka oleh Faridah.

Kunjungan pertama kami ke rumah Faridah ialah pada awal November lalu, semata-mata untuk mendedahkan penderitaan ibu bersama sembilan orang anak itu.

Setelah kesengsaraan hidup Faridah itu disiarkan dalam Utusan Malaysia melalui sisipan Mega, bantuan daripada orang ramai mula mencurah-curah.

Bantuan-bantuan itu disalurkan melalui Middle Earth memandangkan untuk ke Kampung Kuala Sat, seseorang perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dan mengambil masa empat hingga lapan jam untuk sampai bergantung kepada keadaan cuaca.

Kini setelah lebih lima bulan berita kesengsaraan Faridah disiarkan, beberapa bantuan seperti pakaian, barangan dapur dan sedikit wang ringgit berjaya dikumpulkan.

Menurut Faridah, dia hanya mengetahui berita mengenai kisah kehidupannya bersama keluarga disiarkan dalam akhbar selepas diberitahu oleh penduduk kampung.

''Di sini mana ada surat khabar, tapi ada penduduk bagi tahu mengenai kisah kami sekeluarga dalam Utusan.

''Terima kasihlah,'' katanya.

Namun kata Faridah, sejak kehadiran penulis bersama Middle Eart pada tahun lalu, belum ada bantuan yang diterima terus daripada masyarakat.

''Mungkin kampung ini terlalu jauh dan sukar untuk ke sini. Saya sendiri pun dah lebih setahun tidak ke bandar Jerantut,'' katanya.

Dengan mengambil upah menoreh getah setiap hari membolehkan Faridah memperoleh pendapatan RM100 sebulan.

Dia juga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan dan bantuan itu hanya diserahkan tiga bulan sekali.

Sudah 22 tahun Faridah bersama sembilan ahli keluarganya tinggal di rumah usang berkenaan.

Para penghuni rumah itu termasuk Norazuwa, 23; Mohamad Fazrol, 18; Mohamad Faizal, 13; Mohamad Azahum, 11; Nor Asma, 10; Mohamad Zulhelmi, 8; Norahayuwati, 7; Mohamad Khairul Irwan, 4 dan Mohamad Nor Iskandar, 3.

Menceritakan kisah hidupnya, Faridah berkata, dia mula mendirikan rumah tangga sejak berusia 16 tahun.

Katanya, tugas menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan 'bapa' sekali gus dilakukan sejak suaminya dipenjarakan tiga tahun lalu.

''Memang kami kesempitan hidup. Dua anak saya, Norazuwa dan Mohamad Fazrol hanya belajar setakat tahun enam disebabkan saya tidak mampu menyekolahkan mereka.

''Mohamad Fazrol kini membantu saya menoreh getah untuk tambah pendapatan,'' katanya.

Menjawab pertanyaan, Faridah berkata, dia sekeluarga memang mengharapkan ada pihak dapat membantunya membina rumah baru yang lebih selesa.

''Saya bukan hendak rumah besar, tapi biarlah rumah yang lebih elok. Rumah sekarang dengan lantai, dinding dan atapnya bocor sana sini.

''Kalau dapat rumah kecil pun memadai, asalkan ada bilik tidur untuk anak-anak.

''Selama ini kami semua tidur di atas tikar,'' katanya sambil merenung jauh masa depannya.

Setelah diam seketika, Faridah meneruskan keluhan dengan menyatakan dia kini risau mengenai masa depannya.

Ini kerana kebun tempat dia mengambil upah menoreh dikatakan akan ditebang untuk tanaman pokok baru.

''Kalau ini berlaku, mana saya nak cari kerja. Di kampung ini bukan ada banyak pekerjaan lain.

''Tapi demi masa depan anak-anak saya sanggup mengambil upah apa sahaja asalkan rezeki yang diperolehi halal,'' katanya.

Faridah bagaimanapun berterima kasih kerana bantuan yang diberi dan disalurkan melalui Middle Earth sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka sekeluarga.

''Kalau dulu setiap hari kami makan nasi berlaukkan ikan-ikan sungai dan sayur kampung.

''Tapi bantuan ini dapatlah juga mengubah selera kami,'' katanya.

Selain kehadiran penulis dan kumpulan Middle Earth, turut sama ialah ahli-ahli Kelab Redah 4x4.

Sementara itu , Pengarah Urusan Middle Earth, Marodzuan Abd. Ghani berkata, segala bantuan yang diterima akan dikumpul sebelum dihantar kepada Faridah.

''Memang sukar untuk berkunjung ke Kampung Kuala Sat ini kerana kita memerlukan kenderaan pacuan empat roda.

''Masa perjalanan pula antara empat hingga lapan jam untuk sampai.

''Kadangkala dalam perjalanan pula banyak halangan seperti keadaan jalan, masalah kenderaan dan sebagainya,'' katanya.

Namun menurut Marodzuan, dia dan ahli-ahlinya berazam untuk terus membantu Faridah sekeluarga.

''Jika ada pihak yang ingin menghulurkan bantuan bagi membina rumah baru untuk Faridah, Middle Earth sedia membantu,'' katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai kehidupan Faridah boleh menghubungi Marodzuan di talian 012-9819145 atau e-mel matdu.ninety@yahoo.com.

1 comment:

  1. kkkaaahhhpppuuuiiitttApril 27, 2010 at 1:50 PM

    amboi.. kes kes macam nie .. mintak bantuan semua.. takde plak yang nak komen2 apa2.. semua dok senyap ! kalau tempat lain, comment panjang jela macam orang bersyarahan, berceramah... sampai terjuih2 bibir semua nak mengata2 orang lain... nie la ragam manusia yang kononnya dianggap lebih beriman dan tahu bab agama dari para artis... keluar je bab orang minta bantuan ke, nasib malang seseorang insan, mengenai anak yang dilahir kurang sempurna, mengenai perniagaan seseorang, semua senyap... mentang2 cerita tak sensasi la kan? lau sensasi, semua bukak mulut siap maki hamun dan bersyarah !! Pirahhhhh !!! boleh BLAH ! gi cermin diri dulu !!!!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: