Friday, April 23, 2010

UNGU Gegar KL, 1 Mei

BAND popular dari Indonesia, Ungu bakal menggegar peminat setianya di Malaysia sekali lagi menerusi Mega Konsert 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Mei 2010, jam 8.00 malam.

Sebagai sebuah band kegilaan anak muda, Ungu pastinya merasa amat bangga kerana berpeluang beraksi buat kali ketiga di Kuala Lumpur di hadapan peminat fanatiknya, Ungu Cliquers.

Cuma kali ini penampilan Ungu jauh lebih besar dan memerlukan persiapan terperinci agar semuanya berjalan dengan lancar. Ungu memulakan persiapan sejak awal Mac 2010.

Konsep yang dibawakan khas oleh Celebes Production ini disiapkan oleh Ungu sendiri. Istimewanya konsert ini nanti akan menggunakan kesan cahaya dan visual dengan kerjasama dari mereka yang professional.

Terdapat beberapa buah lagu yang akan disusun kembali dan sebahagian lagu-lagu nanti disampaikan dalam versi akustik.

Ungu mempersiapkan 18 lagu hit yang bakal membuai perasaan para penonton dengan melodi cinta yang mengasyikkan dan membuat penonton melayang bersama mereka.

Ungu Mega Concert 2010 ini direalisasikan selepas kejayaan besar beberapa persembahan Ungu di Kuala Lumpur sebelum ini, seperti di Planet Hollywood (25 Jun 2006) dan di Ruums, Life Center, Kuala Lumpur (2008) yang mendapat pujian dan liputan yang cukup meluas di kalangan media tempatan dan di Indonesia.

Ungu mula meniti kejayaan di Malaysia apabila lagu Demi Waktu yang dipetik dari album pertama mereka yang memasuki pasaran Malaysia, Melayang sering dimainkan di stesen-stesen radio.

Kali pertama Ungu menembusi pasaran Malaysia adalah dengan usaha gigih syarikat rakaman Suria Records Sdn Bhd.(SRC).

Dari situlah nama Ungu terus berkembang apabila lagu-lagu daripada setiap album mereka menjadi kegilaan peminat seperti Cinta Dalam Hati, Kekasih Gelapku, Untuk Mu Selamanya, Andai Ku Tahu, Hampa Hatiku dan banyak lagi.

Ungu dibarisi oleh Pasha (Penyanyi), Enda (Gitar), Once (Gitar), Makki (Bass) dan Roman (Drum). Di Indonesia, Ungu adalah artis di bawah label Trinity Optima Production.

Ungu Mega Concert Malaysia 2010 dianjurkan oleh Celebes Production dengan kerjasama TV3 selaku rakan media. Selain itu, Grand Dorsett Subang merupakan hotel rasmi konsert Ungu dan Dorsett Regency Kuala Lumpur sebagai penaja sidang media.

Pengurusan jualan tiket pula dilaksanakan oleh TicketPro melalui cawangan mereka serta di laman web www.ticketpro.com.my. Harga tiket bermula dari RM50 (Tribune 3), RM80 (Tribune 2 dan Festival), RM100 (Tribune 1) dan RM200 (VIP).

Menariknya, Celebes Production menawarkan kaedah beli 2 tiket percuma 1 tiket khas buat pembeli terawal (early bird promo).

Tawaran ini khas untuk Tribune 1, 2, 3 dan Festival kecuali VIP. Pembeli akan menerima tiket percuma yang sama jenis dengan 2 tiket yang dibelinya di semua cawangan TicketPro.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: