
BARU dua bulan merantau ke negara orang, pelakon jelita, Ummi Nazeera atau nama penuhnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin yang pernah panas seketika gara-gara kontroversi perselisihan faham dan kes pukul dengan bekas kekasihnya, Remy Ishak, kembali semula ke tanah air buat seketika.
Tempoh seminggu di Malaysia digunakan sebaik-baiknya dengan menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular, membuat proses alih suara bagi filem lakonannya arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan yang penting, menghabiskan masa bersama keluarga.
Menghubungi Ummi menerusi telefon pada minggu lalu, ternyata suaranya begitu ceria dan bersemangat menceritakan pengalamannya menjadi pelajar baru di Royale Melbourne Institute of Technology, Melbourne, Australia.
Pengalamannya di Melbourne membuatkan Ummi menjadi lebih matang dan lebih berdikari.
Menurut Ummi, khabar angin yang mengatakan pemergiannya ke Melbourne berpunca daripada pergaduhannya dengan Remy adalah tidak benar sama sekali.
"Sebelum ke Melbourne lagi, saya dah lupakan cinta lama saya. Perasaan saya juga sudah pulih. Malah kawan-kawan sempat lagi membuat parti dan keluarga membuat kenduri doa selamat.
"Pada awal tahun lalu, saya ada merancang untuk menyambung pelajaran di Amerika Syarikat dan pada bulan Ogos 2009, saya nekad untuk berhenti berlakon. Tapi bila macam-macam tawaran datang, rasa macam 'saya nak juga berlakon!'. Bila kejadian antara saya dan Remy timbul, rasanya inilah masa yang paling sesuai untuk saya melanjutkan pelajaran.
"Kalau nak katakan saya cuba lupakan sejarah lama, tidak juga kerana ia sudahpun berlaku dan saya anggap ia sebagai sebuah kenangan yang memberi pengajaran.
Sebaliknya kata Ummi, dia ke Melbourne untuk mencari kehidupan baru. Gembira di negara yang terkenal dengan kanggaru itu, menurut Ummi segala yang berlaku sebelum ini termasuk insiden dengan Remy dulu mempunyai hikmah tersendiri.
Ditanya pula adakah Ummi sudah menemui pengganti cinta di Melbourne atau mungkin serik mahu bercinta lagi, gadis berusia 20 tahun itu ketawa sebelum menjawab dalam nada seloroh: "Kekasih? Tidak. Baru dua bulan saya di sana. kalau cakap pasal ramai kawan lelaki, itu saya akui.
![]() |
| PENAMPILAN terbaru Ummi saat kembali seketika ke Malaysia menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular baru-baru ini. |
"Namun saya tak nafikan, saya ada kenal seseorang. Tapi terlalu awal untuk saya ceritakan. Saya pun masih muda lagi dan perlu fokus pada pelajaran. Lagipun buat masa ini, saya tak mahu komitmen."
Kata Ummi lagi, dia sendiri tidak serik untuk bercinta. Malah menjadi remaja, dia mengutip kesilapan lalu sebagai panduan masa kini. Ditebak adakah selepas ini dia senang memilih orang biasa sebagai teman lelaki, pantas Ummi memberitahu dia tidak pernah memandang keji pekerjaan seorang artis.
"Jadi ia bukan soal status orang biasa atau artis yang jadi kekasih saya. Kerana saya tidak label artis jahat kerana saya pun artis juga. Apatah lagi manusia juga ada pelbagai ragam," katanya serius.
Ditanya bagaimana hubungannya dengan Remy kini, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengatakan hubungannya dengan Remy ibarat seorang sahabat yang terputus hubungan tanpa menghubungi sesama sendiri.
Tidak pula membenci, Ummi menganggap antara dia dengan Remy tiada jodoh. Apatah lagi ketika hadir ke majlis Anugerah Bintang Popular di Arena Of Stars, Genting Highland baru-baru ini, Ummi langsung tidak berselisih dengan bekas teman lelakinya yang memenangi Anugerah Pelakon Drama Paling Popular pada majlis anugerah tersebut.
Buka bisnes
Dalam pada itu, menjadi seorang pelajar juga membuatkan perasaan rindu untuk berlakon juga kurang kerana perlu fokus pada pelajarannya.

Cuma bila bersendirian, perasaan ingin berada di persekitaran penggambaran mengulit jiwa gadis ini.
Beritahu Ummi, sejak bergelar pelajar, masanya banyak dihabiskan dengan pengajian dan terasa dirinya begitu berbeza berbanding sebelum ini yang banyak fokus dengan penggambaran lakonan.
Menariknya, Ummi mudah menyesuaikan diri dengan orang sekeliling memandangkan ramai pelajar asing termasuklah Malaysia dan kebetulan pula, ramai temannya yang sedang melanjutkan pengajian di sana.
"Kalau nak tahu, pensyarah di universiti saya buat macam-macam program supaya kami tidak rasa terlalu rindukan kampung halaman. Alhamdulillah, saya boleh menyesuaikan diri di sana dengan cepat.
"Mula-mula saya ingat mereka bencikan orang-orang Asia. Tapi bila memahami budaya dan loghat Inggeris mereka, barulah saya tahu mereka mudah mesra sebenarnya," ujarnya.
"Ingatkan, bila tinggal di Melbourne, saya rasa bebas dan tidaklah terlalu sibuk. Tapi tak sangka pula, macam-macam kerja pengajian yang harus saya lakukan. Sampaikan segala perasaan rindu di Malaysia lebih-lebih lagi rindu berlakon hilang seketika.
"Saya terpaksa tumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran saya kerana tak mahu gagal dan mengulang semula semester. Kalau boleh saya nak skor semua mata pelajaran yang diambil.
"Lagipun, menjadi satu budaya di sana, bila tamatnya pembelajaran di universiti, para graduan akan berkawat di sepanjang jalan yang ditetapkan dan saya mahu menjadi salah seorang daripadanya. Ia adalah satu pengalaman yang unik," tuturnya.
Malah, biarpun baru saja merasai kehidupan di Melbourne, pelbagai perancangan sudah disusun. Status sebagai seorang pelajar jurusan media dan komunikasi tidak membuatkan fikirannya tersekat dengan pelajaran.
Sebaliknya, Ummi sudah membayangkan sebuah perniagaan di sana dan ingin membeli sebuah rumah untuk disewakan kepada pelajar-pelajar universiti.
"Sekarang ini, saya sedang berbincang dengan Mama untuk membuka perniagaan di sana kerana ia sebuah lokasi yang sangat sesuai dan aman. Saya juga sedang pujuk mama untuk beli rumah. Lagipun, tak rugi kerana ia ibarat seperti pelaburan. Kalau sewakan pada pelajar universiti, kita masih boleh mendapat untungnya kerana nilai harga sewa rumah di Melbourne agak tinggi," ucap Ummi bersemangat.
Akuinya lagi, dia juga mempunyai impian untuk menetap di Melbourne. Suasana separuh bandar separuh kampung di Melbourne selain sikap rakyatnya yang tidak kepoh membuat dia selesa di sana.
![]() |
| |
"Mungkin juga kerana saya tidak dikenali berbanding di Malaysia, jadi saya tak rasa pun orang sedang memerhati pergerakan saya. Mereka adalah jenis yang tidak ambil tahu hal orang. Jangan anggap pula yang saya kata masyarakat di Malaysia ni penyibuk. Bukan itu maksud saya. Cuma, budaya mereka berbeza," katanya.
Mendengar keterujaan Ummi menceritakan pengalamannya di Melbourne, Ummi ditanya pula, adakah dia tidak merasa rindu tanah air sendiri?
Menurut Ummi, walaupun sudah serasi berada di negara orang, dia begitu rindukan keluarganya. Apatah lagi ketika terbang semula ke Malaysia, Ummi rasa tidak sabar untuk melihat negaranya serta keluarga.
Bagaimanapun, kerana satu insiden ketika di majlis Anugerah Bintang Popular, perasaan rindu Ummi terus pudar.
"Pada mulanya, memang saya rindu sangat nak lihat KL. Tak sampai sehari saya di sini (Malaysia), telefon bimbit saya hilang pada majlis Anugerah Bintang Popular dan bila cuba menghubungi nombor saya, ia dimatikan. Saya marah dan sakit hati sebab baru saja beberapa bulan saya beli telefon bimbit itu.
"Sedangkan di Melbourne, saya pernah tercicir telefon bimbit saya di sebuah kedai coklat. Bila saya telefon, seseorang telah menjawab telefon saya dan mengatakan, yang telefon saya masih disimpan dengan selamat dan mereka menantikan panggilan daripada saya.
"Tapi nak buat macam mana, salah saya juga. Takkan nak salahkan orang pula," tuturnya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: