Monday, April 12, 2010

Gegaran dua diva


ZIANA ZAIN (dua dari kiri) tidak ketinggalan hadir memberi sokongan kepada Anita dan Sheila.


SENYUMAN manis tidak lekang daripada bibir dua penghibur tersohor, Anita Sarawak dan Datuk Sheila Majid. Ada sebab mereka tersenyum. Ia memperlihat kepuasan tidak terhingga usai menghiburkan golongan setiausaha, majikan dan peminat menerusi acara Up Close Anita Sarawak & Sheila Majid.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur minggu lalu, persembahan Anita, 58, dan Sheila, 45, dengan durasi dua jam meninggalkan momen indah di jiwa tetamu. Sesiapa jua tidak mampu menafikan kehebatan dua sosok dikenali ramai itu.

Menyimpul kembali pertunjukan dilakukan pada petang itu, Anita yang berpengalaman selama 44 tahun sebagai anak seni awal-awal lagi mengingatkan diri agar tidak berlebih-lebihan tatkala menyanyi di atas pentas.

"Paling penting, kena sedar ini bukan persembahan saya sendiri. Saya sebaliknya bergabung dengan Sheila di pentas sama. Malah, saya kena ada perasaan bertimbang rasa ditambah kasihan Sheila tunggu lama di belakang pentas.

"Begitupun, saya ingin berterima kasih kepada pengarah muzik, Acis yang buat lagu medley dan mengiringi persembahan saya dan Sheila pada majlis ini. Bahkan, cukup terharu apabila ada peminat terang-terangan mengaku belum puas menikmati persembahan kami.

"Kalau boleh saya dan Sheila mahu nyanyi banyak lagu. Tetapi kami sendiri tidak boleh buat apa kerana masa diperuntukkan terhad. Pada saya, lebih baik tetamu cakap belum cukup tonton persembahan daripada cakap bosan dan suruh berhenti nyanyi," katanya ketika ditemui usai acara anjuran PNB Darby Park itu.

Pada waktu sama, Sheila tanpa berselindung meluahkan keterujaan mengadakan sebuah persembahan khusus buat setiausaha, majikan dan peminat. Malah, berkongsi pentas dengan Anita yang disifat figura inspirasinya juga mencoret kenangan bahagia kepada Sheila.

"Alhamdulillah, saya puas hati ditambah lihat keseronokan penonton nyanyi sama lagu-lagu disampaikan. Dengan sikap terbuka dan spontan audiens, aura mereka tidak dinafikan kembali kepada saya yang berada di atas pentas.


HUMOR. Sheila dan Anita bijak memancing perhatian hadirin yang menyaksikan persembahan ekstravaganza mereka.


"Keadaan ini menyebabkan saya jadi lebih bersemangat hiburkan mereka. Bukan itu saja, aura Anita yang lakukan kemunculan awal pada majlis ini menjadikan saya semakin teruja hendak tonjolkan persembahan terbaik," jelasnya yang menyambut ulang tahun ke-25 bergelar anak seni pada 2010.

Sorakan gemuruh

Berbicara tentang persiapan sebelum merealisasi Up Close Anita Sarawak & Sheila Majid yang dihoskan oleh Fahrin Ahmad, Sheila menjelaskan waktu latihan yang dijalani amat singkat lantas mereka hanya mampu berduet sebuah lagu, Dengar Ini Cerita.

"Kami hadapi masalah kekurangan masa disebabkan pemuzik ada komitmen lain termasuk melibatkan diri pada acara Formula 1 di Sepang baru-baru ini. Terus-terang, kami ada masa dua hari saja berlatih sebelum menyanyi pada acara Minggu Setiausaha ini.

"Kalau ikut hati kami, memang ada banyak lagu duet yang ingin dinyanyikan. Tetapi hendak buat macam mana kerana kami kena ambil kira soal latihan. Tetapi, pemilihan lagu-lagu saya dan Anita dianggap paling sempurna untuk golongan setiausaha yang diraikan.

"Meskipun waktu singkat berada di studio dengan Anita, hakikatnya kami benar-benar gembira dapat menjalankan kerjasama. Bayangkan, saya dan Anita asyik bercanda dan tertawa semasa buat latihan. Harap selepas ini kami dapat buat kolaborasi lagi," jawab Sheila bersungguh-sungguh.

Biarpun Anita dan Sheila sudah punya selaut pencapaian di belantara seni, kedua-duanya tanpa segan silu memuji antara satu sama lain. Yang satu malu-malu apabila dipuji. Sementara seorang lagi tetap merendah diri sambil tidak henti-henti mengucap kalimat syukur. Begitulah ragam Anita dan Sheila saat mereka bertemu mata.


SHEILA meluahkan keterujaan di atas pentas.


Muncul pada segmen pertama, Anita yang menyarung busana rona serba merah menyala menerima sorakan gemuruh daripada peminat. Lebih indah apabila persembahannya turut disaksikan oleh anak tiri, Matthew Edward Cox, 24, bersama teman wanitanya dikenali sebagai Amy.

Antara lagu-lagu yang dinyanyikan Anita adalah Bisikan Cinta, Joget Sayang Di Sayang, Asmara, Cinta Nan Satu, Bercanda dan Addicted To Love. Sheila pula mendendangkan lagu-lagu seperti Percayalah, Mengapa Kasih, Dengarkanlah, Manusia, Gemilang serta medley Lagenda, Antara Ayer & Jakarta dan Aku Cinta Padamu.

Sebaik selesai persembahan, kemuncak acara diakhiri penyampaian hadiah utama berupa barang kemas sumbangan Habib bernilai RM40,000 dan pemenang pakaian terbaik kepada tetamu yang muncul dengan tema Red Carpet - Glitz & Glam pada petang itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: