KUALA LUMPUR: Seorang perompak tergamak melepaskan dua das tembakan sehingga membunuh kawan sendiri selepas mendapati rakan jenayahnya itu parah akibat ditembak pengawal keselamatan sebuah kedai emas.
SUSPEK...perompak yang menembak mati rakannya.
Tindakan ganas perompak itu membunuh rakannya dipercayai dilakukan bagi memastikan rahsia kumpulan penjenayah berkenaan tidak terdedah.
Rompakan dikatakan berlaku apabila dua penjenayah berbaju kemeja masuk ke sebuah pusat beli-belah di Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini melalui pintu sebuah restoran makanan segera.
Mereka menuju ke arah kedai emas bersebelahan restoran makanan segera itu untuk melakukan rompakan nekad bersenjatakan sepucuk pistol.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhamad Sabtu Osman, berkata perompak terbabit kemudian menyerang seorang pengawal keselamatan yang bertugas di hadapan kedai emas berkenaan sebelum merampas senapang patah dipegang pengawal terbabit.
“Bagaimanapun, dua perompak berkenaan tidak menyedari kehadiran seorang lagi pengawal bersenjatakan senapang patah yang bersembunyi dalam bilik khas yang dibina menggunakan cermin kalis pandang depan.
“Ketika perompak sibuk memindahkan lapan dulang barang emas ke dalam beg galas dibawa, pengawal keselamatan berkenaan mengacukan senapangnya sebelum melepaskan satu das tembakan tepat mengenai perut dan rusuk seorang daripada perompak terbabit,” katanya.
Muhamad Sabtu berkata, kejadian itu menyebabkan dua perompak berkenaan terkejut dan kelam-kabut melarikan diri bersama barang kemas dianggarkan bernilai lebih RM500,000.
“Dalam keadaan kesakitan dan berlumuran darah, perompak yang cedera itu cuba melarikan diri dengan beg berisi barang kemas tetapi tidak berdaya sebelum jatuh di lantai restoran makanan segera berhampiran.
“Agak mengejutkan apabila rakannya yang bersenjatakan pistol lantas melepaskan dua das tembakan ke arahnya.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), perompak itu melepaskan dua das tembakan ke arah perut rakannya menyebabkan lelaki itu mati serta-merta di tempat kejadian.
“Dia kemudian merampas beg berisi barang kemas daripada mayat rakannya sebelum melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di luar pusat beli-belah itu,” katanya.
Menurutnya, sebelum melarikan diri, perompak itu sempat mencampakkan senapang patah milik pengawal keselamatan yang dirampas ke kawasan pokok bunga berhampiran.
“Penjenayah terbabit cukup berani dan berpengalaman apabila tidak memakai penutup muka atau topi keledar ketika melakukan rompakan. Setakat ini, polis tidak dapat memastikan punca dia membunuh rakannya sendiri, namun tidak menolak kemungkinan ia dilakukan bagi memastikan identitinya tidak terbongkar.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, perompak yang ditembak mati itu berusia 34 tahun dan mempunyai rekod jenayah kes samun dan penagihan dadah,” katanya.
Sementara itu, polis forensik Kuala Lumpur yang melakukan siasatan terhadap mayat perompak yang mati dalam keadaan tertiarap itu mendapati tubuhnya penuh dengan kesan tembakan peluru penabur.
“Setakat ini polis sudah mendapatkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: