
PODGORICA - Bekas Perdana Menteri Thailand yang digulingkan, Thaksin Shinawatra semalam menyatakan bahawa beliau saling menghubungi para penyokongnya di Thailand yang melakukan bantahan antikerajaan sehingga menyebabkan ibu negara berkenaan, Bangkok berada dalam keadaan huru hara.
"Ya, ya, kami berhubung, kami cuma berjuang untuk demokrasi, biarlah mereka berjuang demi demokrasi dan keadilan," kata Thaksin di sini, Montenegro ketika ditanya tentang kaitan beliau dengan kumpulan penunjuk perasaan Baju Merah.
Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006. Beliau dihukum penjara dua tahun jika pulang ke Thailand kerana kesalahan rasuah.
Dalam keghairahan untuk menarik pelaburan asing, pemerintah Montenegro memberi kerakyatan kepada Thaksin pada tahun lalu sebelum kerajaan Thailand meminta bantuan Interpol untuk membawanya pulang kerana jenayah rasuah.
Thaksin turut berkata, beliau sedang menimbangkan untuk melabur di Montenegro, termasuk di Pulau Sveti Nikola yang terkenal sebagai destinasi pelancongan di kawasan pesisir Adriatik.
Sementara itu, tunjuk perasaan dan sekatan di beberapa wilayah di Thailand semalam selain serangan bom tangan terhadap seorang ahli politik meningkatkan kebimbangan perang saudara mungkin tercetus di Thailand setelah Perdana Menteri, Abhisit Vejajjiva menolak tuntutan penunjuk perasaan antikerajaan dan berikrar akan menawan semula kawasan perniagaan Ratchaprasong di Bangkok yang diduduki penunjuk perasaan Baju Merah.
Beribu-ribu penunjuk perasaan kumpulan itu tidak memakai baju berwarna merah setelah pemimpin mereka memberi amaran supaya bersedia untuk berlindung ekoran amaran kerajaan untuk melancarkan operasi tentera untuk mengusir mereka dari Ratchaprasong.
Kumpulan itu turut menggesa para penyokong mereka di beberapa wilayah di utara negara berkenaan supaya menghalang konvoi polis dan tentera bantuan daripada tiba di ibu negara Thailand itu.
Para penunjuk perasaan antikerajaan menuntut Abhisit meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya semula di negara itu.
Lewat kelmarin, sekurang-kurangnya 11 orang cedera selepas sebutir bom tangan dilemparkan ke sebuah pos kawalan polis berhampiran kediaman Banharn Silapa-Archa iaitu ketua penasihat Parti Chart Thai Pattana yang membentuk kerajaan campuran yang memerintah Thailand.
Dalam pada itu, pemerintah Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej muncul di kaca televisyen negara itu semalam sempena satu upacara pelantikan barisan hakim baru tetapi beliau tidak menyentuh mengenai krisis politik yang sedang melanda negaranya.
Raja Bhumibol sebaliknya, menggesa para hakim berkenaan supaya bersikap jujur dan menjadi teladan baik kepada rakyat Thailand.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: