
PARIS - Seorang lelaki Perancis kelahiran Algeria, Lies Hebbadj mencetuskan kontroversi mengenai polemik suami yang berpoligami apabila mendakwa memiliki perempuan simpanan yang merupakan cara hidup rakyat negara itu.
Dia menimbulkan kenyataan itu ekoran komen seorang peguam pakar dalam isu imigresen, Rabah Hached yang mengesahkan, berkahwin mengikut upacara agama tidak boleh dikira sebagai perkahwinan menurut undang-undang Perancis.
Hached kemudian menjelaskan, jika berlaku perkahwinan secara agama sama ada di Algeria atau Perancis, isteri itu dianggap sebagai wanita yang tidak berkahwin dan layak untuk menerima bantuan kebajikan negara untuk anak-anak mereka.
"Ia tidak salah untuk memiliki perempuan simpanan tetapi saya beranggapan lelaki itu (Hebbadj) sedang memperkatakan mengenai hak-hak dia untuk memiliki ramai isteri dengan berkahwin mengikut upacara agama Islam," kata Hached.
Hebbadj kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Perancis kerana disyaki mengamalkan poligami untuk mendapat subsidi negara itu bagi seorang isterinya yang sah dan kemudian diagihkan pula kepada setiap isterinya yang lain.
Menteri Dalam Negeri, Brice Hortefeux berkata, beliau mahu melucutkan kerakyatan lelaki itu jika didapati mengamalkan poligami dan menyiasat sama ada Hebbadj pernah berkahwin dengan empat isteri mengikut upacara sivil Perancis.
Hebbadj mempertahankan poligami kerana dia berkahwin mengikut upacara agama dan berkata, jika kerakyatan dirinya dilucut, ia bererti ramai lelaki di Perancis juga akan hilang kerakyatan kerana memiliki ramai perempuan simpanan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: