Thursday, April 22, 2010

Terima kasih!


Ceramah disulami dengan aktiviti yang membuatkan peserta tidak berasa bosan.


LEGA! Itu yang dirasakan sebaik juruacara Hamimah Mohd Yusof atau Mimi mengumumkan seminar WANITA Bersama Setiausaha ditamatkan.

Saya memanjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana perancangan yang dilakukan sejak dua bulan lalu itu sempurna diadakan. Alhamdulillah!

Terima kasih tidak terhingga kepada Datuk Rothiah Omar, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi, Penerangan dan Kebudayaan kerana sudi hadir merasmikan seminar.

Juga tidak lupa kepada penaja utama Datuk Sosilawati Lawiya dari Novelle Visages serta rakan strategik, Nestle Nesvita dan Alfio Raldo atas sokongan dan kerjasama menjayakan seminar ini.

Seperti saya maklumkan sebelum ini, seminar ini tidak meletakkan hiburan sebagai acara utama. Sebaliknya memberi pengisian ilmu untuk dimanfaatkan oleh para peserta. Saya gembira kerana mencapai matlamat yang majalah Wanita sasarkan. Harapan saya apa yang kami sajikan memberi kesan kepada usaha meningkatkan prestasi kerja kesemua para peserta yang hadir.

Rasa penat dan mengantuk saya hilang apabila seawal pukul 7 pagi 10 April. Waktu itu peserta sudah mula tiba walaupun pendaftaran hanya dibuka pada pukul 8 pagi.

Teruja saya dengan sokongan para peserta yang datang daripada pelbagai agensi, kerajaan, swasta dan individu walaupun pada pagi itu hujan turun dengan lebat.

Penceramah ternama

Dibarisi tokoh penceramah ternama seperti Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Toh Puan Datuk Paduka Noor Aini Abdullah, Datuk Dr. Norashikin Mokhtar, Datuk Fadzilah Mohd. Ali, Sharifah Raudhah Al-Qudsy (Berani Guard Sdn. Bhd.) dan Nurul Ilani Ahmad (Nesvita) peserta telah mendapat apa yang mereka harapkan.

Saya yakin apa yang telah dilontarkan oleh para penceramah boleh membantu para peserta menjadi setiausaha yang dikagumi kerana ada wawasan, berfikiran terbuka dan peka kepada keadaan keliling terutama menjaga imej syarikat serta nama bos.

Para penaja juga tidak ketinggalan bertungkus-lumus menyediakan booth yang disediakan untuk mereka meletakkan produk jualan kepada para peserta.

Sambil menimba ilmu, kecantikan juga tentu tidak boleh dipisahkan. Booth Nouvelle Visages selaku penaja utama menjadi tumpuan peserta tambahan pula mereka diberi kupon diskaun sebanyak 30 peratus.

Di booth Primanora, pusat rawatan kesihatan dan kecantikan peserta yang singgah diberi makluman tentang khidmat nasihat dan diskaun rawatan istimewa yang diberikan jika mahu mendapatkan rawatan.

Berdasarkan sambutan dan komitmen yang diberikan saya merasakan ia satu petanda baik di dalam memartabatkan kerjaya setiausaha di negara ini.

Jelas sekali mereka yang memegang jawatan sebagai setiausaha serius terhadap tanggungjawab mereka sekali gus menghapuskan persepsi masyarakat bahawa setiausaha itu hanya menyimpan rahsia bos dan tukang bancuh air untuk bos.

Sebaliknya saya menyifatkan setiausaha adalah cermin kepada bos dan majikannya. Sehubungan itu ceramah seperti ini adalah sesuatu yang tepat dan penting untuk mereka sertai.

Wajah-wajah ceria peserta pelbagai usia mewakili majikan mereka yang prihatin dengan bidang kerja mereka menjadi contoh kepada majikan lain yang selama ini mungkin terlepas pandang akan seminar positif seperti ini.

Begitu juga dengan kemunculan Datuk Azizul Khamis yang mengisi slot kecantikan Novelle Visages dengan aksinya yang bersahaja dan mencuit hati peserta.

Nyanyian beliau membawakan lagu Inggeris bertajuk Sway dan menari bersama salah seorang peserta menggamatkan suasana. Begitu juga demonstrasi solekan oleh jurusolek Nouvelle Visages, Iskandar turut mendapat perhatian.

Butik Jarumas tampil dengan pelbagai fesyen terkini sesuai dengan semua acara untuk melengkapkan seri seminar Wanita Bersama Setiausaha.

Biarpun hanya sekejap saya pasti lenggok gadis-gadis manis yang baru berjinak-jinak dengan dunia peragaan tanah air ini tetap melekat di hati peserta.

Kemunculan Rosyam Nor di akhir segmen menerima tepukan gemuruh apatah lagi apabila terpandang wajah manis Vanida Imran bersama aktor terkenal itu.

Jika sebelum ini tidak ramai yang tahu sejarah hidup hero Malaya itu, peserta seminar Wanita Bersama Setiausaha tentunya mendapat cerita eksklusif tentang susah payah Rosyam untuk menjadi anak wayang.

Saya percaya apa yang telah dimuatkan pada seminar ini boleh dijadikan panduan dan ingatan oleh para peserta dalam menentukan asas hidup yang lebih cemerlang di dunia dan akhirat.

Tidak dapat saya lupakan, setiap kali Mimi mengumumkan cabutan bertuah hendak dilakukan, kedengaran jeritan dan sorakan.

Apa pun, setiap peserta tidak pulang dengan tangan kosong. Sebaliknya 60 orang daripada mereka menerima hadiah misteri yang cukup lumayan.

Orang berbudi kita berbahasa, sekali lagi terima kasih kepada semua penceramah, dan peserta serta mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam seminar ini khasnya kepada Datuk Sosilawati Lawiya (Nouvelle Visages) Alfio Raldo dan Nestle Nesvita dan juga semua penyumbang yang tidak dapat saya sebut satu persatu. Terima kasih banyak-banyak.

Budi baik dan jasa anda tetap terpahat di dalam ingatan kami.

Menutup kata, bagi pihak penganjur, seandainya saya terlepas pandang atau terdapat sebarang kesilapan dan kekurangan sepanjang seminar berlangsung saya menyusun sepuluh jari memohon maaf dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.

Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah S.W.T yang buruk itu daripada saya hambaNya yang kerdil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: