Thursday, April 22, 2010

Rentak Juara tawar RM200,000


KESEMUA 30 kumpulan yang akan bertanding bagi merebut gelaran juara Rentak Juara musim keempat mulai 1 Mei ini bersama-sama krew yang terlibat pada sidang media baru-baru ini.


GEGARAN pentas Rentak Juara (RJ) musim keempat semakin terasa apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menemui 30 buah kumpulan yang bakal berentap merebut gelaran juara RJ4 pada tahun ini.

Dahulunya dikenali sebagai Rentak Juara Rythm of Champions, pertandingan yang diadakan buat kali keempat ini telah meredah seluruh Malaysia bagi mencari bakat kumpulan muzik baru sama ada dari kalangan yang professional mahupun amatur.

Bakal memulakan siarannya pada 1 Mei ini iaitu setiap Sabtu pada pukul 8.30 malam di TV2, setiap minggu sebanyak lima buah kumpulan akan beraksi sebelum melayakkan diri pada pusingan seterusnya.

Lapan buah kumpulan yang terpilih menerusi penilaian juri profesional akan bertanding pada peringkat akhir RJ4 2010 yang dijangka diadakan pada 17 Julai depan.

Menampilkan beberapa kelainan bagi menghangatkan lagi pertandingan ini, RJ4 turut disertakan dengan Dentum Rentak Juara, diari gelagat dan latihan kumpulan-kumpulan ini yang akan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, pada pukul 4.30 petang di TV2.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM, Datuk Norhyati Ismail, pelbagai pembaharuan dilakukan pada pertandingan yang menobatkan kumpulan Aisunam sebagai juara pada musim lalu.

"Berbeza dengan musim sebelum ini, RJ4 menggabungkan kumpulan profesional dan amatur bagi meningkatkan persaingan antara mereka.

"Walaupun kumpulan profesional sudah mempunyai pengalaman dalam bidang seni namun mereka tetap perlu bersaing dengan kumpulan yang amatur yang mempunyai kreativiti dan bakat tersendiri," katanya pada sidang media memperkenalkan 30 buah kumpulan yang bertanding di RJ4 2010: Julang Jati Diri di Auditorium Perdana, Angkasapuri baru-baru ini.

Norhyati turut menjelaskan, RJ4 yang menampilkan slogan Julang Jati Diri menitikberatkan persembahan yang mempunyai identiti sendiri namun perlulah menggunakan lagu tempatan dan di dalam bahasa Malaysia.

Ganjaran

Dalam aspek ganjaran yang ditawarkan kepada pemenang pula, RTM kata bersetuju untuk menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM200,000 kepada johan pertandingan itu.

Manakala pemenang tempat kedua pula akan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.

Ganjaran lain yang turut disediakan ialah RM20,000 kepada pemenang kategori Lagu Terbaik sementara kategori Kumpulan Paling Popular pula akan menerima RM30,000.

Saguhati bagi enam buah kumpulan masing-masing akan menerima RM5,000 berserta trofi dan sijil.

Menambahkan nilai pada pertandingan ini, RTM turut menawarkan peralatan muzik bernilai RM4,020 kepada pemenang Pemain Gitar Terbaik.

Kategori lain yang turut disediakan ialah kategori Pemain Bass Terbaik yang akan membawa pulang peralatan muzik bernilai RM3,960 serta Pemain Drum Terbaik menerima alat muzik bernilai RM4,020.

Dalam usaha mengekalkan kualiti bintang yang dilahirkan oleh RTM, stesen itu ujar Norhyati akan mengekalkan sistem penjurian menggunakan khidmat juri profesional.

Namun begitu, pengaruh para penonton dan peminat muzik tanah air juga dikekalkan untuk memilih Kumpulan Paling Popular menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Diacarakan oleh DJ Pool, Muaz, Nurata dan Odey Petra, RJ4 menemui 30 buah kumpulan terbaik pada tahun ini yang melibatkan seramai 157 orang pemuzik di serata Malaysia.

Sebanyak enam buah kumpulan dari Johor yang layak menyertai pertandingan ini iaitu D'Rough Mixture, Zabarjad, Nakal, Yusidthira, Mistaken dan The Crown.

Kumpulan-kumpulan yang terpilih di uji bakat yang diadakan di Kuala Lumpur ialah Bintang, Enava, Jesselton, Superfriend's Anthem, Car Crash Herts, Kugiran Aweeram Razor, Sons Of Adam, Reversed Head, Enigmatic-Six (E-6) dan Alternature.

Selain itu, enam kumpulan dari Melaka iaitu Brownies, Project 2000, Puterasari, Spirit C, Chemistry serta HB Four Six turut terpilih.

Pencarian beberapa kumpulan dari bahagian Utara Semenanjung Malaysia juga tidak ketinggalan iaitu Silversound dan Symbolic dari Perak dan X-Treme'z dari Kedah.

Kumpulan yang layak dari Sabah ialah The Fingers dan Run-Now manakala dari Sarawak pula ialah Fatboz Slim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: