Monday, April 5, 2010

Tarian poco-poco jadi pilihan

SENAMAN menggunakan bola adalah latihan berkesan untuk memantapkan otot pada bahagian perut, badan, punggung dan kaki.

POCO-POCO...tarian yang membabitkan pergerakan badan.
POCO-POCO...tarian yang membabitkan pergerakan badan.
pix_topright
Caranya dengan meletakkan bola di kedua-dua belah kaki kemudian pergerakan dilakukan sambil mengepitkan bola. Namun untuk mereka yang mengalami tekanan atau sering sakit belakang, berehat dengan berbaring di atas bola adalah latihan paling berkesan untuk mengurangkannya.


Menurut pemilik Adilla Fitness Studio, Fadzilah Idris, senaman menggunakan bola atau dikenali sebagai fit ball yang dilakukan selama 20 minit mampu memberi kesan pada otot kerana pergerakannya membabitkan semua bahagian badan sama ada dilakukan ketika duduk atau berbaring.

“Pergerakan menggunakan bola walaupun nampak ringkas, tetapi sangat berkesan untuk mengempiskan perut, memantapkan otot badan, memejalkan pinggul serta bahagian lengan.

“Ini kerana pergerakan yang dilakukan bersama bola menyebabkan otot bekerja keras dan pada masa sama, kaki perlu mengawal kedudukan bola supaya tetap berada di tempatnya,” katanya.

Menariknya di Adilla Fitness Studio di Shah Alam, Selangor itu semua latihan senaman tidak menggunakan mesin, sebaliknya 100 peratus menerusi kelas aerobik, tarian gelek, kick boxing, tarian latin dan salsa, senam seni serta poco-poco.

Namun sebelum bersenam, Fadzilah melakukan pemanasan badan, regangan seterusnya senaman membabitkan kardiovaskular.

“Kepelbagaian senaman yang terdapat di Adilla Fitness Studio adalah bagi memenuhi permintaan ahli yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Ada yang berusia 20 sehingga 40 tahun jadi sekiranya saya mengkhususkan kepada aerobik saja, ini tidak sesuai kepada wanita yang sudah berumur,” jelasnya.


Dia memberitahu, kini tarian poco-poco sangat digemari bukan saja oleh remaja, malah mereka yang sudah berusia.

Ini kerana gerak tari tarian ini diiringi muzik yang mengasyikkan menyebabkan sesiapa saja leka menghayatinya.

Di Malaysia, tarian poco-poco dianggap medium senaman yang boleh dilakukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia mahupun status, daripada majlis korporat hinggalah ke sekolah dan padang senaman.


Gerak tariannya umpama senaman aerobik, membuatkan badan berpeluh dan berasa lebih sihat.

Menurutnya, tarian poco-poco di Malaysia pada asalnya popular di kalangan golongan kenamaan termasuk kerabat diraja.


“Sekitar 2001, tarian poco-poco sering ditarikan untuk bersuka ria pada majlis kenamaan. Selain untuk tujuan riadah, ia juga adalah sebagai tanda silaturahim antara wakil Indonesia dan Malaysia.

“Di samping itu, ia memperkenalkan kebudayaan Indonesia kepada Malaysia.

“Sejak itu, tarian poco-poco mula diajar oleh jurulatih senaman di pusat kesihatan dan tarian poco-poco kini mula dipelajari oleh setiap golongan masyarakat tanpa mengira usia,” katanya.

Poco-poco juga boleh ditarikan dengan apa juga lagu berentak rancak seperti cha cha, rumba dan beguine, selain dangdut atau inang.


Selain lagu poco-poco, lagu lain yang biasa dipilih seperti Rindu Lukisan, Juwitaku Sayang dan beberapa lagi lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee.


Selain menjadi jurulatih, Fadzilah juga adalah kareografer untuk senam-seni Malaysia di bawah Majlis Kecergasan Kebangsaan dan Istana Budaya.

Dia bertanggungjawab mencipta gerak tari iaitu menggabungkan pergerakan beberapa tarian seperti zapin, inang, joget, rewang, India serta tarian yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

“Jika Indonesia terkenal dengan poco-poco, Malaysia juga apa kurangnya. Tarian senam-seni menggabungkan beberapa tarian tradisi Malaysia.

“Jadi di samping bersenam kita boleh menghayati keaslian budaya tradisi nenek moyang kita,” katanya.


Pusat kecergasan yang dibuka pada awal Februari 2009 kini sudah mempunyai 75 ahli berdaftar. Ada juga yang menjadi ahli ketika singgah di pusat kecergasan itu dengan bayaran RM10 untuk satu jam.

Pusat ini dibuka mulai Isnin sehingga Sabtu bermula jam 9.30 pagi sehingga 10.30 pagi. Kemudian bersambung jam 6 hingga 7 malam dan 8.30 malam sehingga 9.30 malam.

Menurut Nor Sarida Dawod, 33, dia menyertai pusat kecergasan itu pada mulanya hanya untuk menguruskan badan.

Ketika itu berat badannya adalah 89 kilogram dan sekarang selepas enam bulan dia mencapai berat badan 71 kilogram.


“Memang menyeronokkan kerana hasrat untuk menguruskan badan tercapai. Tetapi kini selain menguruskan badan saya ingin mengekalkan tahap kesihatan menjadi lebih baik.

“Bayangkan saya tidak bekerja sudah tentu kurang melakukan pergerakan berbanding wanita bekerja. Jadi dengan bersenam, ia bukan saja menyihatkan badan malah peluang mendapat ramai kawan,” katanya.

Menurut Nor Sarida, keistimewaan di pusat kecergasan itu adalah kepelbagaian aktiviti yang menjurus kepada pelbagai pergerakan.

“Misalnya senaman menggunakan bola baik untuk mengempiskan perut, manakala gerak tari untuk menambah kesihatan serta kecergasan badan,” katanya yang mengikuti aktiviti dua kali seminggu iaitu pada Selasa dan rabu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: