|
|
SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, kemunculan April akan dinanti dengan penuh harapan khususnya oleh para setiausaha untuk menjamu selera di samping berhibur dengan persembahan artis pujaan masing-masing.
Pelbagai pihak terutama hotel mengambil kesempatan minggu setiausaha ini untuk menyediakan pakej yang menarik dan terbaik. Tidak ketinggalan, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) turut memeriahkan kalendar minggu setiausaha ini dengan menganjurkan Seminar Setiausaha 2010 dengan tema Memperkasa Peribadi, Menjana Produktiviti.
Bertempat di Hotel Istana Kuala Lumpur pada 27 April ini, seminar tersebut akan bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang. Seperti biasa, UP&D menganjur majlis dengan gabungan nilai akademik, maklumat dan persembahan hiburan. Antara pengisian seminar, pengacara terkenal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Adamaya Marketing Sdn. Bhd., Sharifah Shawati Syed Mohd akan berkongsi pengetahuan mengenai nilai-nilai peribadi setiausaha dan imej anggun dalam meningkatkan produktiviti syarikat. Beliau juga berkongsi petua komunikasi cemerlang, potensi dan kebolehan diri, perubahan sikap, mengenali ketua dengan lebih mendalam serta kesanggupan menghadapi cabaran.
"Ini merupakan kerjasama saya yang pertama bersama UP&D dan saya berharap peserta akan mendapat manfaat serta menyerap ilmu yang berguna melalui penyertaan dalam seminar ini," katanya.
Pada seminar itu nanti, Sharifah Shawati akan turut menyentuh mengenai pemilihan warna yang sesuai mengikut situasi juga bagi menyerlahkan penampilan.
Seorang lagi panel, Andi Muhammad Fajar dari ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd. pula akan memfokuskan mengenai keterampilan melalui emosional dan spiritual bertujuan melahirkan setiausaha yang unggul. Beliau akan menyentuh mengenai cara mengembangkan potensi keperibadian supaya dapat mencapai nilai-nilai dasar untuk membangkitkan kekuatan tersembunyi.
Peranan
Konsep dan kandungan seminar berfokus kepada kepekaan, peranan dan tanggungjawab seorang setiausaha untuk membina semangat bagi meningkatkan keterampilan, pemahaman, kesedaran, merebut peluang, motivasi diri dan pembinaan organisasi ke arah kecemerlangan serta kegemilangan.
Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar berkata, pihaknya menyediakan tempat sehingga 300 peserta dan berharap seminar ini akan mencapai objektifnya.
Pelakon dan bekas ahli kumpulan X-Factor, Danny akan bertindak sebagai pengacara majlis manakala penyanyi popular, Awie akan menghiburkan peserta ketika makan tengah hari.
Yuran dikenakan RM280 termasuk cenderamata, cabutan bertuah, makan tengah hari, minum petang dan buku terbitan UP&D. Pelbagai hadiah menarik menanti peserta tajaan Rafflesia, Jojoba International, Jamu Mak Dara, Sendayu Tinggi, Adabi dan POTO Travel Sdn. Bhd. Maklumat hubungi Nurul Wahida atau Nurlailatul Qamar di talian 03-92856577 sambungan 162 atau dapatkan borang di www.upnd.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: