|
|
MELIHAT kepada usianya, lelaki ini sepatutnya menghabiskan masa di rumah sambil berehat atau melancong bersama keluarga.
Tetapi tidak bagi M. Balakrishnan. Setiap Isnin hingga Jumaat, dia memilih untuk berada di Institut Jantung Negara (IJN) selama tiga hingga empat jam. Kadang kala lebih daripada itu termasuk pada hujung minggu.
Pesara kerajaan berusia 73 tahun itu mempunyai sebab mengapa berbuat demikian.
"Saya terhutang budi kepada IJN kerana memberi 'kehidupan' baru selepas mengalami serangan jantung serius," katanya yang pernah menjadi penghuni hospital tersebut lebih 10 tahun lalu.
Mengimbas kembali peristiwa tersebut, bapa kepada dua anak lelaki itu diserang penyakit jantung kali pertama pada 1998. Dia dimasukkan ke Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya) dan menjalani angiograms bagi memperbaiki injap yang rosak.
Walaupun belum sembuh sepenuhnya, dia mengunjungi seorang rakan di utara tanah air dan mendapat serangan kedua.
Balakrishnan dimasukkan ke hospital dan disebabkan tiada pakar di situ, dia terlantar selama 10 hari tanpa sebarang rawatan.
Atas usaha anaknya yang juga seorang doktor, beliau dipindahkan dari hospital tersebut ke IJN.
Sekali lagi beliau menjalani pembedahan memasukkan sejenis tiub (stent) pada jantungnya.
"Berkat kesungguhan pihak IJN terutama Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim yang merawat saya, keadaan kesihatan saya pulih seperti sedia kala. ''Saya sangat terhutang budi kepada IJN kerana saya tidak perlu mengeluarkan satu sen pun untuk pembedahan dan rawatan susulan. Kerana itu saya mengambil keputusan untuk menyertai Rakan IJN pada 2002," katanya yang lebih dikenali sebagai Mr. Bala di kalangan penghuni wad.
Berkongsi pengalaman dengan pesakit dan keluarga mereka di wad tidak menjadi masalah buat beliau. Ini kerana semua pengalaman yang dilaluinya memudahkan komunikasi dengan pesakit.
Sebagai antara ahli yang paling aktif, Balakrishnan dilantik jawatan Setiausaha Kehormat Rakan IJN pada 2003. Memegang jawatan itu hingga kini, beliau percaya setiap kebaikan pasti mendapat balasan setimpal.
Pengalaman rumahnya dirempuh lori lebih dua tahun lalu masih segar di ingatan.
"Lori itu merempuh ruang tamu rumah kami lebih kurang pukul 9 pagi. Memang itu antara ruang kegemaran saya dan biasanya saya akan berada di situ pada waktu tersebut. Syukur kerana hari itu saya sedang bermesyuarat di sini," katanya.
Menceritakan mengenai Rakan IJN, Balakrishnan berharap lebih ramai individu akan menyertai pertubuhan itu sebagai ahli aktif di samping mendapat sokongan banyak pihak.
"Kami mahukan ahli yang berkualiti. Tidak ramai tak mengapa, yang penting mereka menjalankan kerja dengan aktif," katanya.
Menurut beliau ketika ini Rakan IJN mempunyai lebih 100 ahli namun hanya sekitar 30 orang sahaja yang aktif menjalankan tugas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: