SELEPAS digosipkan dengan jejaka dari Jepun, nama penyanyi popular dari seberang, Agnes Monica dikaitkan pula dengan pelakon Rezky Aditya, 24, sejak kebelakangan ini.
CERIA...Agnes berkunjung lagi ke Kuala Lumpur.
"Saya akui memang banyak gosip mengenai saya dipaparkan di akhbar. Contohnya, hubungan saya dengan jejaka dari Jepun itu. Itu cerita lama yang tidak perlu diungkit lagi. Saya juga lebih suka menyimpan kisah peribadi untuk diri sendiri dan bukan untuk pengetahuan peminat.
"Saya juga mempunyai alasan kukuh untuk tidak berkongsi kisah peribadi dengan peminat. Biarlah peminat fokus pada pencapaian saya dalam bidang seni saja," katanya.
Secara peribadi, kata Agnes yang menempa populariti menerusi lagu Matahariku dan Tak Ada Logika, dia lebih suka memilih lelaki biasa sebagai kekasih hatinya.
"Saya mencari lelaki yang boleh menjadi ketua dalam rumah tangga yang bakal dibina nanti.
"Dia perlu mempunyai kerjaya yang lebih stabil. Seperti mana yang kita tahu, lelaki yang terbabit dalam industri hiburan, pendapatannya tidak stabil.
"Industri hiburan juga membabitkan aktiviti sosial di kelab hiburan di sana sini. Saya pula tidak mengamalkan cara hidup seperti itu. Ke mana saja saya pergi, saya sentiasa ditemani ibu dan ahli keluarga lain. Maklumlah, saya dibesarkan dengan nilai kekeluargaan yang kukuh," katanya.
Agnes yang tampil menawan dengan potongan rambut pendek pada sidang media petang itu berkata, dia perlu bijak menyeimbangkan karier seni dan pelajaran.
Maklumlah, dia masih menuntut dalam jurusan Sains Politik di University Oregon State.
"Pelajaran adalah keutamaan saya sejak dulu. Keluarga terutama ibu sangat tegas dalam soal pelajaran ini. Saya juga mendapat biasiswa selama enam tahun untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"Saya juga banyak membaca buku biografi. Bagi saya, pendidikan bukan sekadar gred yang bagus sebaliknya mengembangkan lagi jiwa dan minda kita.
"Menyanyi pula sebahagian dari hidup saya. Agenda seni saya setiap hari sangat padat, tapi apa boleh buat sebab muzik memang menjadi minat saya sejak dulu," katanya.
Agnes ditemui pada sidang media Minggu Setiausaha yang akan dijayakannya di Hotel Quality, Jalan Raja Laut di ibu kota, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Residen Quality Hotel City Centre, Kuala Lumpur, Hidzir Hamid.
Berkongsi cerita mengenai konsep persembahan sempena sambutan Minggu Setiausaha nanti, Agnes yang menyanyi seawal usia tiga tahun berkata, dia akan menjadi dirinya sendiri nanti.
Agnes pernah berkunjung ke Malaysia beberapa tahun lalu.
"Mungkin ada peminat di Malaysia tidak tahu saya juga sebelum ini pernah menjayakan persembahan anjuran syarikat korporat di Indonesia.
"Untuk persembahan di Kuala Lumpur, saya akan muncul dua kali dan diiringi penari saya sendiri dan gabungan band saya dan pemuzik dari Malaysia yang diketuai pengarah muzik, Jenny Chin.
"Selain lagu yang digubah semula, persembahan saya juga banyak tarian, remix dan bunyi yang berbeza. Saya juga ada kejutan buat tetamu nanti.
Dari segi persiapan pula, Agnes berkata, dia memang buat persiapan secara berterusan dari sekarang.
"Saya bukan hanya buat persiapan akhir sebaliknya dari awal lagi. Contohnya, persiapan dari segi vokal selama seminggu, aspek fizikal pula tiga kali seminggu," katanya.
Mengenai perkembangan karier seni, Agnes yang mencuri hati peminat dalam drama bersiri Jelita berkata, dia baru kembali dari London bagi urusan berkaitan bidang muziknya.
"Terbaru, saya akan muncul dengan single terbaru ciptaan seorang komposer terkenal Indonesia, Andi Riyanto. Selain itu saya juga berlakon dalam satu projek drama," katanya.
Selepas single Matahariku, Agnes mempertaruhkan album Sacredly Agnezious tahun lalu. Single keduanya dari album itu, Godai Aku Lagi juga mendapat sambutan hangat dengan muat turun mencecah 1.5 juta, sekali gus melayakkan lagu itu menerima anugerah platinum berkembar tiga.
Minggu Setiausaha bersama Agnes akan berlangsung di Matrade Exhibition & Convetion Centre (MECC), Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 28 dan 29 April ini.
Tetamu bakal dihiburkan dengan pelawak popular Dee sebagai pengacara majlis. Untuk tempahan dan keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-26939233 sambungan 8023/8017 atau e-mel: fnb@quality.com.my.
>Profil
NAMA SEBENAR: Agnes Monica Muljoto
NAMA KOMERSIAL: Agnes Monica/Nez
TARIKH LAHIR: 1 Julai 1986
USIA: 23 tahun
ASAL: Jakarta, Indonesia
STATUS: Bujang
KARIER: Penyanyi, pelakon, penari, penerbit album dan komposer.
ALBUM: Si Meong (1992), Yess! (1993), Bala-Bala (1993) ... And the Story Goes (2003), Whaddup A..`?! (2005), NEZ (2008) dan Sacredly Agnezious (2009) SINETRON (DRAMA): Antaranya 1999: Lupus Milenia, Mr Hologram (1999), Amanda (2002), Pernikahan Dini (2002), Ciuman Pertama (2002), Cinta Selembut Awan (2002), Cewekku Jutek (2003), Cantik (2004), Bunga Perawan (2004), Ku Tlah Jatuh Cinta (2005), Pink (2006), Kawin Muda (2007), Jelita (2008) dan Kawin Masal (2008)
DRAMA LUAR NEGARA: Romance In The White House (Taiwan- 2005) dan The Hospital (Taiwan- 2006)
PENCAPAIAN: Antaranya, Anugerah Penyanyi Wanita Terbaik di Asia Song Festival 2008, Penyanyi Wanita Paling Popular di Kids Choice Awards 2008 dan Anugerah Platinum Berkembar 3 (lagu Godai Aku Lagi).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: