Sunday, April 25, 2010

Pierre Andre Tak Syok Sendiri

Pengarah, penulis skrip dan berlakon filem arahan sendiri, mungkin muncul tanggapan sesetengah pihak, Pierre Andre syok sendiri. Seolah-oleh tiada aktor yang layak memegang watak utama filem arahannya. Tiga tanggungjawab besar yang digalas selepas 'kehilangannya' dalam industri mencabar kredibiliti untuk mengangkat kembali nama yang pernah gah suatu ketika dulu.


"Tak dinafikan tanggungjawab yang dipegang sangat berat. Walau penat macam mana pun, saya harus melakukannya kerana tahu keupayaan diri sendiri. Lagipun saya hanya mahu sebarkan propaganda dan serapkan nilai-nilai positif melalui filem.

"Saya tak rasa berlakon dan mengarah filem arahan saya syok sendiri. Lebih senang sekiranya saya melakonkan watak utama kerana lebih mengerti apa yang mahu ditonjolkan kepada khalayak.

"Saya banyak belajar buat filem sewaktu bersama Metrowealth dan merindui saat-saat itu. Tapi kalau boleh saya mahu pulang ke sana dengan kejayaan. Saya perlu buktikan 'kehilangan' saya dulu bukan sia-sia," ujarnya.

Bakal muncul dengan filem seram berjudul Hijab yang mampu membuatkan degupan jantung terhenti. Pierre yakin skrip yang disimpan sejak berumur 18 tahun mampu dilaksanakan sebaik mungkin berkat kepercayaan YB Pictures Sdn. Bhd.

"Ini pertama kali saya bekerjasama dengan YB Pictures dan saya tahu pasaran filem hantu mudah mendatangkan pulangan. Namun secara jujurnya, saya lebih berminat genre romantik komedi.

"Hijab akan menampilkan pelakon baru, Nur Fathia kerana saya nak meriahkan lagi industri dengan kemasukan pendatang baru. Lagipun susah sebenarnya untuk handle superstar so lebih elok saya built up yang baru," tambah Pierre.

Doakan Kebahagiaan Bekas Kekasih

Mengakui masih sayang kepada wanita yang pernah bertakhta di hatinya, Norliana Samsudin, namun Pierre akur jodoh antara mereka tidak panjang. Hanya mampu mendoakan kebahagiaannya dari kejauhan.

"Saya masih sayangkan dia. Saya ada baca artikel yang mengatakan dia memang saja menghilangkan diri daripada saya tapi tak apalah. Saya tahu dia seorang yang baik.

"Perpisahan kami ada hikmah kerana jika tidak mungkin kami tak berada di tahap seperti ini. Saya doakan all the best dan harap dia terus fokus terhadap karier seni yang dibina," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: