Monday, April 5, 2010

Pierce berasa tidak popular


ROBERT (kiri) dan Pierce melakonkan watak anak dan bapa dalam filem, Remember Me.


AKTOR Pierce Brosnan mungkin digilai ramai semasa menjayakan watak James Bond sekitar sedekad lalu. Namun, dia yang berganding dengan pelakon remaja, Robert Pattinson dalam filem Remember Me baru-baru ini mula merasakan dirinya tidak lagi popular.

Melakonkan watak sebagai bapa kepada Robert dalam filem itu, Pierce mendapati pelakon berusia 23 tahun itu telah menarik perhatian sekumpulan gadis yang menjerit di lokasi penggambaran setiap hari.

Semasa menjalani penggambaran di New York, Pierce telah memberitahu majalah Empire: "Saya masih mengingati saat-saat di luar hotel Plaza, Manhattan. Kami menjalani penggambaran di bilik Oak dan terdapat 2,000 gadis berusia di antara 12 hingga 21 menunggu di luar.

"Ada antara mereka yang kelihatan menarik tetapi mereka langsung tidak memandang ke arah saya. Cuma ada beberapa peminat yang lebih tua melambai ke arah saya. Ketika itu, saya berasa agak bangga. Namun, apabila saya berjalan ke arah koridor, saya dapat mendengar gelombang suara menjerit nama Robert."

Pelakon berusia 56 tahun itu bagaimanapun berpendapat Robert yang menjadi kegilaan remaja di seluruh dunia selepas menjayakan watak Edward Cullen dalam filem Twilight mampu berdepan dengan popularitinya. Cuma apa yang tidak difahaminya adalah kenapa Robert begitu digilai ramai.

Tambahnya: "Saya tidak pernah mengalami situasi seperti ini semasa berusia 23 tahun. Tapi saya percaya dia akan membiasakan diri dan saya mengharapkan yang terbaik untuknya."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: