Saturday, April 10, 2010

Penangan isteri-isteri terdesak




DESPERATE HOUSEWIVES apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bermaksud isteri-isteri terdesak. Banyak persepsi yang boleh diberikan apabila ia berkaitan dengan isu 'isteri-isteri terdesak'. Jika salah tafsiran, anggapan negatif yang selalu singgah adalah sikap isteri yang terdesak untuk melakukan sesuatu tanpa pengetahuan suami.

Malah, pada kemunculan awal drama bersiri ini, ramai yang tidak sabar mahu menonton inti Desperate Housewives untuk melihat betapa terdesak para isteri yang dimaksudkan. Namun sebaik dihidangkan kepada audiens, drama bersiri ini memberi lebih daripada sekadar cerita terdesak.

Sebaliknya drama yang mengangkat kisah empat suri rumah lakonan Teri Hatcher (Susan Mayer), Felicity Huffman (Lynette Scavo), Marcia Cross (Bree Van de Kamp) dan Eva Longoria Parker (Gabrielle Solis) di kawasan penempatan Wisteria Lane, Fairview ini mempunyai sejuta cerita tentang persahabatan, kasih sayang, cemburu serta konflik peribadi mereka.

Pemilihan watak yang tepat untuk setiap karakter serta skrip penceritaan yang cukup menarik banyak menyumbang kepada kejayaan drama bersiri yang telah diiktiraf beberapa kali dalam anugerah berprestij seperti Emmy, Golden Globe dan Screen Actors Guild

Menurut penerbitnya, Marc Cherry, siri yang kini hangat ditayangkan di 8TV, tidak akan berakhir dalam tempoh terdekat. Marc sendiri baru mengikat kontrak bersama ABC sehingga tahun 2013 yang menjadi petunjuk bahawa Desperate Housewives akan bersiaran untuk tiga tahun lagi iaitu sekurang-kurangnya sehingga sembilan musim.

Bagaimanapun, sehingga kini, empat tonggak utama siri ini hanya baru menandatangani komitmen sehingga tahun 2012. Teri, Felicity, Marcia dan Eva Longoria bercerita secara ringkas tentang karakter dan pengalaman selama enam musim bersama siri paling popular di dunia ini.

EVA LONGORIA PARKER (Gabrielle Solis)


MUSIM keenam Desperate Housewives muncul tanpa watak Edie Britt lakonan Nicollette Sheridan (kanan), namun masih mengekalkan watak Katherine Mayfair lakonan Dana Delany (kiri) di samping empat watak utamanya, Lynette, Gabrielle, Bree dan Susan.


Ironi, Eva Longoria bukan menjadi terkenal hanya melalui Desperate Housewives. Sebaliknya dia terlebih dahulu mencipta nama dalam beberapa siri terkenal seperti The Bold And The Beautiful, General Hospital dan Beverly Hills, 90210. Menerusi watak Isabella dalam siri telenovela Amerika, The Young And The Restless, Eva pernah menggondol anugerah membuktikan kredibilitinya.

S: Mengapa kamu fikir Desperate Housewives menjadi ketagihan di kalangan peminatnya?

E: Saya rasa semua orang boleh jatuh cinta dengan siri ini kerana karakter-karakter yang dibentuk pihak penerbit. Saya percaya, seorang wanita sekurang-kurangnya akan cuba meletakkan sifat mereka dalam diri Lynette, Gabriellle, Susan atau Bree. Itu juga yang kebanyakan peminat beritahu saya. Mereka akan kata: "Sikap saya sama seperti Gabrielle atau oh, saya memang macam Bree." Jadi sebab itu saya rasa siri ini menjadi kegilaan peminat seluruh dunia.

Anda adalah orang pertama yang dipilih untuk berada dalam siri ini. Kalau bukan watak Gabrielle, rasanya watak apa yang ingin anda mainkan?

Tak ada. Saya hanya mahu memainkan watak Gabrielle. Lagipun saya tak mahu mempunyai anak lagi.

Apabila membaca skripnya, anda tahu bahawa siri ini akan sukses?

Saya tahu siri ini adalah sebuah cerita yang cukup berbeza dan menarik. Ia sangat misteri. Ya, pada awalnya, saya ada bermimpi bagus jika siri ini meletup, tapi tak menjangka ia sukses luar biasa. Dan kini memang ia sukses!

Teri Hatcher (Susan Mayer)




Menjalani kehidupan lampau yang sukar, melalui episod penceraian yang memedihkan dan karier yang hampir musnah, keputusan Teri Hatcher untuk terbabit dalam siri ini nyata menyelamatkan kehidupannya sekarang. Sudah berkahwin semula dengan bekas suaminya, Mike Delfino, Teri atau Susan memberitahu musim keenam Desperate Housewives masih mengujakan.

S: Kamu rasa, mengapa Desperate Housewives begitu sukses di seluruh dunia?

Saya berasa seperti satu keajaiban apabila siri ini mendapat sambutan hangat di seluruh dunia. Kehidupan saya dulu tidak sebaik sekarang, tapi apabila siri ini mula disiarkan, saya dapat melihat semua orang menonton saya di mana-mana. Saya rasa yang membuatkan siri ini sukses kerana masyarakat sudah terbuka untuk menerima topik atau konflik yang cuba disampaikan. Saya juga fikir, jika siri ini tidak dibikin lima tahun lalu atau sekarang, mungkin isu yang disampaikan tidak dipedulikan langsung. Jadi, siri ini telah keluar tepat pada masanya.

Selepas enam musim, anda masih seronok untuk bersama produksi ini?

Ya, malah saya berharap agar ia terus disambung untuk beberapa tahun lagi. Saya juga sangat sayangkan karakter Susan. Saya bangga menjadi sebahagian daripada siri ini.

Siapa teman baik anda dalam siri ini?

Wow! Saya tak pasti kalau saya harus memilih hanya seorang daripada mereka kerana setiap orang mempunyai sikap berbeza yang menarik buat saya.

Marcia Cross (Bree Van de Kamp)

Sebelum terkenal sebagai Bree Van de Kamp dalam siri Desperate Housewives, pemegang Ijazah Sarjana Psikologi ini terlebih dahulu meraih perhatian melalui wataknya sebagai doktor Kimberly Shaw dalam siri Melrose Place.

S: Bagaimana anda memberi penilaian terhadap watak Bree?

M: Sebenarnya, sejak menjadi Bree, saya sendiri telah terpengaruh dengan watak ini. Saya kini menjadi wanita yang terlalu obses terhadap kebersihan dan dunia masakan. Malah sekarang, saya akan memastikan rumah saya kemas dan makanan dihidangkan dan merapikan semua benda sebelum suami saya, Tom Mahoney pulang ke rumah. Sehingga dia sendiri rimas dan kata: "Sayang, ini bukan tahun 1950-an. Saya boleh lakukan semua hal sendiri, kamu jangan terlalu obses," Tapi saya tetap obses dan mahu semuanya sempurna.

Sejak musim pertama sehingga enam, anda sentiasa kelihatan kurus. Bagaimana anda menjaganya?

Bertahan sebagai wanita kurus seperti satu mimpi ngeri buat saya. Saya berusaha makan dan menjadi manusia biasa. Malah sebenarnya saya tak punya sebarang rahsia kekal kurus. Tapi menjadi kurus bukan satu obsesi buat saya. Ia macam satu penderaan.

Felicity Huffman (Lynette Scavo)

Digambarkan sebagai wanita tabah yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak-anaknya dan diserang barah, Felicity Huffman si pemegang watak Lynette Scavo pada musim baru ini 'diserang' trauma apabila disahkan mengandung anak kembar. Dia menjadi trauma kerana berasa terlalu tua untuk menjadi ibu semula.

S: Desperate Housewives sudah memasuki musim keenam. Tidakkah anda rasa jalan ceritanya mula diulang pakai?

F: Setakat ini saya rasa ia tidak berulang. Ya, formatnya mungkin sama seperti lima musim sebelum ini - penuh kejutan dan misteri. Dan audiens juga masih melihat muka yang sama dengan lokasi yang sama. Tapi ia diolah tanpa ulangan.

Jadi apa yang lain untuk musim ini?

Penuh dengan tekanan. Seperti mana musim lalu, suami Eddie, Dave sebenarnya seorang psiko dan pembunuh, musim ini ia juga penuh misteri. Untuk watak saya, saya berasa musim ini lebih bertenaga kerana saya mengandung kembar!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: